|
Pelakon Arash Mohd mengakui malu mendapat gelaran 'Richard Gere Malaysia' menerusi watak Razman yang dilakonkan dalam siri Scammer yang ditayangkan di Astro Ria.
Arash, 52, atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada penonton yang memberi gelaran itu, namun menganggap dia masih terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan bintang ternama Hollywood itu.
Foto: IG
"Saya malu digelar begitu kerana saya belum sampai tahap itu. Namun, sepanjang 30 tahun dalam bidang lakonan, ini jolokan tertinggi yang orang berikan pada saya. Saya belum sampai ke tahap dia lagi, jauh sangat.
"Mungkin penonton melihat dari segi persamaan watak lakonan dengan penampilan Richard Gere dalam mana-mana filem lakonannya. Apa pun, terima kasih pada peminat yang hargai dan letakkan saya pada tahap itu.
"Banyak lagi saya kena belajar. Saya sangat hargai kerjaya dan industri kreatif ini. Saya tahu apabila ada yang membandingkan watak saya dengan pelakon Hollywood, ia sangat tinggi," katanya.
Arash yang ditemui pada sesi bersama media hari ini berkata, drama Scammer antara siri yang memberikan banyak cabaran buat dirinya.
"ada awal penggambaran, banyak babak saya ditegur pengarah. Saya mengaku watak Razman ini bukan mudah kerana dia memang jahat. Dari episod satu hingga lima, saya kena yakinkan penonton dia seorang bapa dan ikon yang baik. Ini lakon layar yang mencabar.
"Terima kasih kepada pengarah, Norhanisham Muhammad yang banyak membantu walaupun kami ada bercanggah pendapat. Namun, dia pengarah yang boleh kongsi pendapat. Cabaran untuk saya lebih kepada watak," katanya.
Selain Arash, Scammer turut dibintangi Fasha Sandha, Kamal Adli, Siti Saleha, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan ramai lagi.
Scammer bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di saluran Astro Ria. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|