CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 24867|Reply: 201

Arkib Dayang

[Copy link]
Post time 22-8-2006 10:43 AM | Show all posts |Read mode
jom kita kumpulkan koleksi keratan2 akhbar / majalah berkenaan kerjaya seni Dayang...

kalau korang nak buat topik pasal keratan akhbar tu bleh tapi letak la satu salinan kat sini jgk...mudah utk buat revision...

p/s : MOD bleh ke ???
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 22-8-2006 11:50 AM | Show all posts
okey..nanti, aku tolong paste kan artikel2 yg lepas. tapi..aku harap untuk arkib dayang ni, hanya untuk artikel2 je. x de message2 lain. kita buat khas untuk kumpulkan artikel mengenai dayang k..

[ Last edited by  bintang^hati at 22-8-2006 11:54 AM ]
Reply

Use magic Report

Post time 22-8-2006 03:08 PM | Show all posts
on no prob...ade masa nanti aku sumbangkan yer......
Reply

Use magic Report

Post time 22-8-2006 11:17 PM | Show all posts
ari tu bukan ade ke?ke aku yg confuse?
Reply

Use magic Report

Post time 22-8-2006 11:47 PM | Show all posts
Originally posted by puteri-jelmaan at 22-8-2006 11:17 PM
ari tu bukan ade ke?ke aku yg confuse?


mane ade... kau yg confuse lah 2...
Reply

Use magic Report

Post time 23-8-2006 11:06 PM | Show all posts
ek..tkde ek
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 25-8-2006 10:18 AM | Show all posts
Originally posted by puteri-jelmaan at 23-8-2006 11:06 PM
ek..tkde ek



pu3, aku dah nak start post artikel2 dayang. mintak delete msg2 yg x de kena mengena. aku nak buat topic ni, betul2 utk arkib je. boleh kan??
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2006 12:06 PM | Show all posts

Petikan mengenai dayang daripada akhbar-akhbar yang lepas

UTUSAN online 29/12/2002

November lepas pula, penyanyi muda, Dayang Nurfaizah membuat keputusan mengejut apabila beliau dengan beraninya mengheret syarikat pengurusan kerjaya seninya, Broadway Entertainment dan dua anak syarikatnya, Lindung Seni Sdn. Bhd. dan Bintang Seni Sdn. Bhd., ke mahkamah.

Penghibur yang popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi dan membatalkan perjanjian pengurusan dengan syarikat berkenaan.

Dayang menuntut ganti rugi sebanyak RM600,000 termasuk faedah lapan peratus.


UTUSAN online 07/01/2003

SERENTAK dengan kehadiran tahun baru dan ke arah pengkorporatan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), rancangan Hiburan Minggu Ini turut dirombak. HMI yang dulunya ditayangkan di TV1 setiap hari Ahad kini menemui penonton di saluran TV2 pada pukul 8.30 malam, setiap Sabtu. Perpindahan HMI ke TV2 tepat dengan imej saluran itu yang menekankan komersial dengan rancangan bercorak hiburan. Sehubungan itu, penyanyi remaja Dayang Nurfaizah menjadi pilihan pertama sebagai hos format baru yang disiarkan Sabtu lalu.

Sementara itu dalam persembahan sulung HMI format baru, Dayang memilih lagu-lagu yang telah menaikkan namanya sebagai penyanyi. Lagu-lagu petikan album sulung dan kedua seperti Kembalilah Sayang, Di Sini Bermula, Seandainya Masih Ada Cinta dan Sedingin Mana Cintamu menjadi pilihannya.``Kepada peminat yang mahu menikmati lagu-lagu terbaru saya jangan lupa menonton persembahan saya minggu hadapan,'' kata Dayang. Lagu-lagu cinta seperti Unbreak My Heart, I Have Nothing dan Natural Woman turut menjadi pilihan Dayang. Lenggok suara yang tersendiri menjadikan lagu-lagu tersebut begitu indah.Meski pun Dayang kurang petah berinteraksi dengan penonton namun kekuatan vokalnya menutup kelemahan tersebut. Penyanyi kecil molek itu turut berduet lagu popular Broery Marantika dan Sharifah Aini berjudul Seiring Sejalan dengan Suresh. Turut diundang membuat persembahan kumpulan Exists, penyanyi Indonesia Iva dan penyanyi keturunan Cina, Maple Liew. Dayang dan penyanyi undangan menutup persembahan dengan lagu We Are Family.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 25-8-2006 12:07 PM | Show all posts
UTUSAN online 15/02/2003

Sementara Dayang Nurfaizah jujur mengaku dirinya bukanlah orang yang meminati sukan tetapi gembira diundang sebagai penyanyi.

Dayang yang baru saja tampil dengan album baru, Hembusan Asmara mendendangkan lagu Bahagia dan Seandainya Masih Ada Cinta.

Jelas Dayang, beliau tidak berpeluang untuk mendendangkan lagu dari album terbarunya kerana tidak mendapat kelulusan dari pihak Broadway.

Meskipun dengan lagu lama, penampilan Dayang tetap mendapat sambutan hangat daripada penonton yang sanggup berpanas dan hujan semata-mata untuk melihat acara penutup tersebut.

UTUSAN online 16/02/2003

GOSIP hubungan intim Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain semakin tersebar di kalangan peminat-peminat seni tanah air. Lebih-lebih lagi, apabila majalah Rias (terbitan Kumpulan Utusan) meletakkan wajah mereka berdua sebagai penghias kulit majalah berkenaan, seakan-akan menjawab persoalan yang berlegar sebelum ini.

Sejauh mana kebenaran bahawa pasangan penyanyi terkenal ini bercinta masih menjadi teka-teki kerana dalam temu bual dengan Rias, mereka masih berselindung.

Lantas, Pancaindera mengajukan pertanyaan itu kepada mereka berdua dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Dayang awal-awal lagi sudah menunjukkan reaksi wajah yang terkejut, apabila diajukan pertanyaan benarkah beliau sedang bercinta dengan Anuar.

``Tidak adalah, kami hanya berkawan. Lagipun, bukan sehari dua kami kenal, sudah lama. Hubungan baik kami seperti juga abang dan adik. Abang Anuar banyak membantu dan memberi sokongan padu kepada saya,'' kata Dayang yang kini semakin popular dengan lagu Pintaku Yang Terakhir.

Menjelaskan lebih lanjut hubungan beliau dengan Anuar, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, pada masa ini beliau sememangnya selesa berkawan dengan Anuar.

Anuar dari kaca mata Dayang, seorang lelaki yang berhemah tinggi dan penyabar.

``Paling istimewa, saya kagum dengan kemantapan vokal yang ada pada abang Anuar. Kerana itu saya suka apabila mendapat peluang untuk menyanyi secara duet dengan abang Anuar,'' ujar Dayang lagi.

Bagi Anuar pula, Dayang memiliki keperibadian yang menawan sebagai seorang wanita.

``Sesiapa sahaja lelaki yang berkahwin dengan dia pasti bertuah kerana Dayang memiliki pelbagai kriteria istimewa sebagai wanita,'' Anuar menjelaskan peribadi Dayang.

Katanya, hubungan baiknya dengan Dayang bukanlah seperti pasangan kekasih yang lain. Sebaliknya, Anuar memberitahu, keakraban mereka lebih banyak tertumpu kepada perjalanan karier seni mereka.

``Kami berkongsi minat. Saya percaya kerana persamaan itu kami boleh menjadi begitu akrab,'' Anuar menyambung bicara.

Dayang dan Anuar bagaimanapun, tidak menolak ketentuan takdir andai kata ada jodoh antara mereka berdua.

``Itu semua kerja Tuhan. Kalau sudah ditakdirkan jodoh kami berdua, kami terima,'' ujar mereka lagi.

Sementara itu, Pancaindera turut meminta reaksi Dayang berhubung pandangan banyak pihak bahawa penyanyi itu seakan-akan membunuh karier seninya kerana menyaman pihak pengurusan syarikat rakaman yang dinaunginya.

Menurut Dayang, beliau bukanlah tidak sebijak yang disangka sehingga sanggup mengambil keputusan sedemikian.

``Sebaliknya, saya mengambil tindakan untuk menyelamatkan karier seni saya, tidak lebih daripada itu,'' jelas Dayang lagi.

Mengulas lanjut, Dayang berkata, tidak ada mana-mana artis di dunia ini yang akan mengambil keputusan seperti mana yang dilakukannya pada masa ini andai kata tidak ada asasnya.

``Saya masih Dayang Nurfaizah yang anda kenal. Anggaplah selepas ini saya akan menjadi orang baru dalam dunia hiburan, itu sudah memadai,'' katanya lagi.

Pada perbualan yang sama, Dayang menjelaskan, kehadiran wanita bernama Syaliza yang sering bersama-samanya pada setiap masa dan ketika.

Menurut Dayang, kehadiran Syaliza tidak lebih seperti seorang perunding imej dan kecantikan beliau.

``Kalau nak tahu, Syaliza banyak membantu saya dalam hal-hal yang berkaitan dengan imej dan kecantikan diri.

``Saya bukannya arif dan mahir tentang kecantikan, jadi apa salahnya saya menggunakan khidmat orang lain,'' katanya lagi.

Dayang juga memberi jaminan akan sentiasa memenuhi perancangan yang sudah diatur oleh syarikat rakamannya Broadway Entertainment untuk mempromosikan album terbarunya.

``Saya akan buat apa yang sudah dirancang oleh Broadway,'' ikrarnya lagi.

Secara peribadi, Dayang mengakui beliau cukup menggemari lagu Pintaku Yang Terakhir yang kini semakin popular di kalangan peminat muzik tanah air.
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2006 12:08 PM | Show all posts
AIM 2003 - Penyanyi baru lebih menyerlah

Dalam kategori persembahan vokal, Sarah dan Misha Omar bakal menggugat keupayaan penyanyi senior Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

Phyne Ballerz, NowSeeHeart, Teh Tarik Krew serta Urban Exchange turut tersenarai bersama-sama Ajai dan Nurul dalam kategori persembahan vokal berkumpulan.

Hanya vokal lelaki yang menyaksikan perebutan sengit penyanyi lama Anuar Zain, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Rem dan Zamani.

Album Sarah dan Hazami juga turut menyaingi album Anuar Zain, Dayang Nurfaizah dan Siti Nurhaliza dalam kategori Album Pop Terbaik.
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2006 12:09 PM | Show all posts

UTUSAN online 23/09/2003

Keputusan halang Dayang buat persembahan 22 Okt


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 22 Oktober ini keputusan bagi permohonan injunksi oleh sebuah syarikat pengurusan bagi menghalang penyanyi Dayang Nurfaizah Awang Dowty membuat persembahan agar terlebih dahulu mendapat keizinan daripadanya.

Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memutuskan demikian dalam kamar beliau hari ini. Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk keputusan.

Prosiding hari ini kemudian ditangguhkan setelah syarikat pengurusan itu, Bintang Seni Sdn. Bhd. memerlukan masa bagi menjawab afidavit yang difailkan oleh Dayang Nurfaizah berhubung permohonan itu.

Dalam permohonan injunksi itu, Bintang Seni memohon supaya Dayang Nurfaizah dihalang daripada membuat sebarang persembahan dan mengenakan atau mendapat bayaran daripada persembahan itu agar terlebih dahulu mendapat keizinan daripada syarikat itu.

Syarikat itu juga memohon supaya Dayang Nurfaizah dihalang daripada melantik seseorang atau badan untuk bertindak mewakilinya sebagai pengurus peribadi untuk mendapat sebarang kontrak kepada penyanyi itu.

Pada 4 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan syarikat itu supaya Dayang Nurfaizah merujuk setiap tawaran dan persembahan yang diperoleh oleh beliau kepada syarikat itu.

Pada 21 November tahun lalu, Dayang Nurfaizah menyaman tiga buah syarikat yang terbabit dengan album pertamanya kerana beliau mendakwa telah menandatangani Perjanjian Pengurusan yang berunsur menindas dan merugikannya.

Dalam writ saman itu, Dayang Nurfaizah, 21, juga memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah supaya tiga syarikat berkenaan memulangkan wang termasuk jumlah yang sepatut beliau peroleh sebanyak RM600,000.

Beliau juga menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun dikira di atas jumlah RM600,000 atau lebih bermula daripada tarikh 31 Julai 2002 sehingga penyelesaian penuh kesnya.

Dalam saman tersebut, Dayang Nurfaizah menamakan defendan pertama syarikat pengurusan, Bintang Seni Sdn. Bhd.; defendan kedua syarikat rakaman Broadway Entertainment (M) Sdn. Bhd., dan defendan ketiga syarikat rakaman Lindung Seni Sdn. Bhd.
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2006 12:11 PM | Show all posts

UTUSAN online 09/10/2003

Gamat di Planet Hollywood

PARA pengunjung Planet Hollywood, Kuala Lumpur, pada malam Ahad, 5 Oktober lalu bukan sekadar menyaksikan dendangan hebat persembahan Dayang Nurfaizah, Hazami dan Reshmonu, tetapi turut bergelak ketawa dengan keletah tiga penyanyi tersebut.

Sebelum dan selepas menyampaikan lagu, tiga orang penyanyi itu sering sahaja mencuit hati penonton dengan aksi dan celoteh-celoteh yang mengundang ketawa.

Persembahan pada malam itu yang mengenakan bayaran masuk sebanyak RM40 bermula pada pukul 10.40 malam apabila Dayang, Hazami dan Reshmonu muncul di pentas dengan menyanyikan sebuah lagu berjudul Too Close.

Rata-rata penonton yang hadir pada malam itu terdiri daripada peminat Dayang Nurfaizah dan Hazami. Hal itu dapat dilihat apabila kebanyakan penonton bersorak gembira ketika Hazami muncul dengan lagu Sonata dan Dayang pula dengan lagu Get Down On You.

Walau bagaimanapun, Reshmonu juga tidak kurang hebat apabila dia mendapat tepukan gemuruh daripada penonton ketika menyampaikan lagu Melayu berjudul Cintaku Pergi.

Secara keseluruhan kebanyakan lagu-lagu yang didendangkan oleh tiga penyanyi terbabit berunsurkan R&B yang pernah dipopularkan oleh penyanyi luar negara.

Persembahan mereka pada malam itu dibahagikan kepada dua bahagian. Selama hampir sejam pertama, 10 buah lagu telah disampaikan manakala 10 lagu selebihnya pula pada set kedua.

Antara lagu-lagu lain yang disampaikan oleh mereka pada malam itu ialah Wherever You Call, It's You That Matters, I Still Believe, Someone To Love, Ain't Nobody, Crazy In Love, Sexual Healing dan Closer I Get To You.

Para pemuzik yang mengiringi persembahan pada malam itu pula ialah Jamie Wilson (gitar), Kelly (bass), Fendy (dram), Amir (tabla) serta Acis selaku pemain keyboard dan pengarah muzik.

Pada persembahan hampir dua jam itu sebanyak 20 buah lagu termasuk dalam bentuk medley telah disampaikan oleh tiga penyanyi ini.

Lagu-lagu lama yang disampaikan dalam bentuk medley pada malam itu, antaranya Hello, All Night Long, Careless Whisper, Crazy Love, Truly, Ignition, Rock With You dan Lovely Day berjaya mengimbau nostalgia penonton.

Dayang Nurfaizah, Hazami dan Reshmonu bukan sahaja mampu berinteraksi dengan baik di pentas, tetapi gaya dan kemampuan vokal mereka dalam menyampaikan lagu-lagu bernada tinggi juga sukar dinafikan.

Ruang Planet Hollywood pada malam itu bukan sahaja dipenuhi oleh para peminat tiga penyanyi tempatan ini, tetapi ramai juga rakan artis yang turut hadir memberi sokongan moral.

Antara penyanyi dan artis tempatan yang hadir pada malam itu ialah Shawn Baharin, Hana (Elite) dan Azwan Hj. Ali.

Ini adalah persembahan pertama mereka di Planet Hollywood. Mereka bertiga akan mengadakan dua lagi persembahan pada 12 dan 19 Oktober ini pukul 10.30 malam.
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2006 12:12 PM | Show all posts

UTUSAN online 01/11/2003


Dayang Nurfaizah - Dibebaskan buat persembahan

DAYANG NURFAIZAH lega apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak injuksi permohonan syarikat Bintang Seni Sdn. Bhd., yang menghalangnya daripada mengadakan persembahan dan melantik seseorang sebagai pengurus peribadinya.

Ini kerana, keputusan mahkamah yang diputuskan oleh hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus pada 28 Oktober lalu itu membolehkan Dayang aktif semula sebagai penyanyi tanpa halangan daripada syarikat tersebut yang menguruskannya selama ini.

``Sebelum mahkamah membuat keputusan tersebut, Dayang mengalami kesukaran mengadakan persembahan kerana pihak penganjur teragak-agak untuk menjemput Dayang mengadakan persembahan.

``Alhamdulillah, sekarang ini Dayang bebas mengadakan persembahan di mana-mana juga. Malah, Dayang juga bebas melantik mana-mana individu sebagai pengurus Dayang.

``Walau bagaimanapun, buat masa ini Dayang belum memerlukan khidmat seorang pengurus.

``Ini kerana, selama ini ramai kawan-kawan Dayang termasuk kakak Dayang sendiri iaitu Donna banyak membantu menguruskan karier Dayang sebagai penyanyi,'' kata Dayang Nurfaizah semasa Utusan Malaysia menghubunginya baru-baru ini.

Menurut Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 22, dia kini harus teliti menentukan haluannya sendiri sebagai penyanyi.

``Buat masa ini, Dayang tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman. Jadi, Dayang harus membawa haluan Dayang sendiri.

``Dulu sewaktu berada di bawah naungan Broadway Entertainment (M) Sdn. Bhd., dan Bintang Seni Sdn. Bhd., aktiviti seni Dayang banyak ditentukan oleh mereka.

``Walaupun Dayang mendapat tawaran daripada beberapa buah syarikat rakaman tetapi Dayang belum membuat sebarang keputusan lagi.

``Dayang mahu tumpukan pada rakaman lagu-lagu terbaru Dayang terlebih dahulu. Setakat ini Dayang telah merakamkan dua buah lagu berjudul Kau Pergi Jua dan Akhirnya Di sini.

``Semua kos untuk proses rakaman, Dayang tanggung sendiri,'' ujar Dayang yang kini sedang popular menerusi lagu Mana Mungkin.

Jelas Dayang lagi, lagu-lagu yang telah dan akan dirakamkannya itu nanti akan diterbit serta diedarkan oleh syarikat rakaman pilihannya.

``Kalau sudah ada syarikat rakaman yang sesuai, barulah Dayang akan terbitkan semua lagu tersebut dalam album keempat Dayang nanti.

``Lagipun buat masa ini Dayang mahu kumpulkan seberapa banyak lagu yang sesuai daripada komposer-komposer yang ada.

``Sebabnya, setakat ini Dayang tidak pernah bekerja dengan mana-mana komposer selain daripada Boon Tan. Inilah peluang Dayang untuk menyanyikan lagu-lagu daripada komposer-komposer lain,'' kata Dayang lagi.

Sebelum ini Dayang pernah muncul dalam tiga buah album berjudul Dayang Nurfaizah, Seandainya Masih Ada Cinta dan Hembusan Asmara.
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2006 12:13 PM | Show all posts

UTUSAN online 15/11/2003


Dayang Nurfaizah - Hembusan Asmara dingin
Oleh ABD. AZIZ ITAR

MESKIPUN Dayang Nurfaizah baru muncul menerusi album terbarunya berjudul Hembusan Asmara, tetapi ramai di kalangan peminat yang kurang menyedarinya.

Menurut anak kelahiran Bumi Kenyalang ini, dia tidak menafikan sambutan Hembusan Asmara agak dingin berbanding dua albumnya sebelum ini.

``Album ketiga Dayang itu berada di pasaran pada November tahun lalu dan ia diterbitkan oleh Broadway Entertainment Sdn. Bhd.

``Walaupun sudah hampir setahun ia di pasaran tetapi sehingga kini album itu belum lagi dilancarkan. Jadi, ramai peminat Dayang yang tidak mengetahui kemunculan album tersebut.

``Malah, syarikat rakaman yang menerbitkan Hembusan Asmara itu juga tidak melakukan sebarang program untuk mempromosikannya,'' kata Dayang Nurfaizah dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 22, meskipun tiada promosi untuk album tersebut dijalankan tetapi dia tetap mempromosikannya secara sendirian.

``Biasanya semasa mengadakan persembahan, Dayang akan mengambil kesempatan untuk mempromosikan sekali album terbaru Dayang itu.

``Alhamdulillah, setakat ini para peminat Dayang boleh menerima album terbaru Dayang itu terutamanya lagu Mana Mungkin,'' ujar Dayang.

Jelas Dayang lagi, bagi mengatasi masalah itu, dia kini sedang dalam proses untuk merakamkan album terbarunya.

Biarpun Dayang kini tidak lagi bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman tetapi dia akan tetap meneruskan niatnya itu.

``Dayang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk proses rakaman album terbaru Dayang itu. Setakat ini Dayang sudah merakamkan dua buah lagu berjudul Kau Pergi Jua dan Akhirnya Di Sini.

``Apabila sudah siap barulah Dayang akan mencari dan memilih syarikat rakaman yang sesuai untuk menerbit serta mengedarkan album keempat Dayang itu nanti,'' jelas Dayang.

Dalam album terbarunya itu, Dayang bukan sahaja mengekalkan konsep R&B tetapi dia turut terbabit secara langsung dalam pembikinannya.

``Dayang terbabit hampir 80 peratus dalam pembikinan album terbaru Dayang itu.

Sebelum ini, Dayang hanya menyanyikan sahaja lagu yang diberikan.

``Namun, kali ini Dayang akan memilih sendiri lagu dan komposer yang terbabit. Malah, Dayang juga akan cuba mencipta lagu sendiri.

``Kalau tiada aral melintang, insya-Allah album keempat Dayang itu akan berada di pasaran pada tahun depan,'' kata Dayang.

Di kala sibuk menyiapkan rakaman album terbarunya itu, Dayang juga tidak ketinggalan mengadakan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

``Dayang membuat persiapan ala kadar sahaja. Ini kerana, selain menjalani proses rakaman album, Dayang juga sibuk memenuhi undangan rakaman program Hari Raya stesen-stesen TV,'' ujar Dayang lagi yang akan beraya bersama keluarganya di Kuching, Sarawak pada tahun ini.

Selain mencanang tentang kemunculan album barunya itu, Dayang turut mempelawa para peminatnya untuk menyertai kelab peminatnya yang sudah hampir setahun ditubuhkan.

``Setakat ini Kelab Peminat Dayang Nurfaizah mempunyai kira-kira 300 ahli. Walau bagaimanapun, kelab itu dahulunya dikendalikan oleh Bintang Seni Sdn. Bhd.

``Sekarang ini, syarikat itu sudah tidak mengendalikannya lagi,'' jelas Dayang.

Justeru, para peminat Dayang yang ingin berutus surat ataupun menjadi ahli Kelab Peminat Dayang Nurfaizah bolehlah mengirim surat menerusi: No. 7, Jalan 5/3A, 46000 Petaling Jaya, Selangor.
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2006 12:13 PM | Show all posts

UTUSAN online 07/02/2004

Adibah & Dayang - Beradu vokal di Istana Budaya
Oleh Khadijah Ibrahim

KEMANTAPAN vokal yang dimiliki oleh Adibah Nor dan Dayang Nurfaizah menjadi faktor yang menyebabkan pihak Istana Budaya (IB) memilih kedua-dua penyanyi itu menjayakan Konsert Putera Puteri (A Tribute to Past Composers).

Selain kekuatan vokal, kemampuan penyanyi mengadakan persembahan dengan iringan orkestra juga merupakan kriteria yang diutamakan.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Dr. Hatta Azad Khan, pihaknya perlu teliti membuat pilihan penyanyi agar konsert yang dirancang sejak tahun lalu berjalan lancar. Konsert Putera Puteri yang diadakan bertujuan untuk mengimbas kembali sumbangan komposer-komposer tersohor tanah air dan ia akan berlangsung selama tiga hari mulai 20 Februari ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Antara karya yang akan diperdengarkan menerusi konsert tersebut ialah karya hasil ciptaan Jimmy Boyle, Tan Sri P. Ramlee, Pak Lomak, Yusoff B, Ahmad Jaafar, Osman Ahmad, Zubir Said, Saiful Bahri, Achmad C.B dan Abu Kassim.

Jelas Hatta lagi, selain Adibah dan Dayang, konsert tersebut juga akan diserikan dengan persembahan Roy dan Najib Hanif yang mendapat jolokan Tom Jones Malaysia.

Turut menyerikan konsert tersebut ialah artis-artis Istana Budaya iaitu Jack Dzul, Norehan Saif, Halim Mat Husin dan Ahmad Muriz serta pemuzik undangan dari Unit Persembahan Kebudayaan Petronas.

"Kami ada beberapa nama lain tapi mereka tidak dapat ikut jadual Istana Budaya. Lagipun konsert selama dua jam itu tidak dapat menampilkan barisan artis yang ramai, cuma sekadar enam orang sahaja,'' jelasnya sewaktu sidang akhbar yang berlangsung di Istana Budaya, Khamis lalu.

Menurut Hatta, konsert tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengetengahkan karya komposer-komposer terbabit. Malah ia turut memberi peluang kepada penggubah semasa antaranya Ruslan Mohd. Imam, Danny Francisco dan Ayub Ibrahim menyusun kembali lagu-lagu yang dipilih.

Konsert yang bakal menampilkan lagu-lagu popular di era komposer terbabit bukan sekadar mengembalikan nostalgia silam, sebaliknya bertujuan untuk menarik perhatian generasi muda.

"Kebanyakan lagu-lagu yang dipilih mempunyai maksud tersendiri. Bermula dengan hubungan teruna dara, golongan dewasa, cinta kepada ayah bonda dan seterusnya perasaan cinta kepada pertiwi. Boleh dikatakan lagu-lagu yang dipilih saling berkait,'' terangnya.

Antara lagu-lagu yang akan diperdengarkan dengan iringan 68 anggota pemuzik orkestra ialah Putera-Puteri, Kweek Mambo, Jauh-Jauh, Ibu, Malamku Bermimpi, Seri Mersing, Seri Dewi Malam, Senjakala dan Cincin Belah Rotan.

Bagi Dayang, walaupun tidak membesar dengan lagu-lagu terbabit namun, tetap berazam akan memberikan persembahan yang terbaik.

Jelasnya, ada di antara lagu yang akan dipersembahkannya, tidak pernah didengarnya sebelum ini. Namun sebagai penyanyi yang diberi tanggungjawab, dia akan melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin.

"Konsert ini adalah satu cabaran bagi Dayang kerana kebanyakan lagu-lagu yang bakal didendangkan dicipta bukan dalam era sekarang. Paling seronok, Dayang berpeluang berduet dengan Roy dan Najib yang berpengalaman itu,'' katanya.

Sementara Adibah Nor juga menganggap konsert tersebut sebagai ujian, selain daripada mempertemukannya dengan Najib Hanif yang diminatinya itu.

"Walaupun saya sering mengadakan persembahan, namun untuk konsert ini saya perlu mendalami setiap lagu yang bakal didendangkan. Ini kerana kebanyakan lagu-lagu ciptaan dulu penuh dengan misteri dan begitu artistik. Jadi saya perlu mendalaminya agar persembahan saya nanti berjalan lancar,'' katanya yang akan berduet dengan Najib menerusi lagu Joget Memikat.

Sementara itu tiket-tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM70 dan RM100 bagi menonton konsert tersebut sedang dijual di Box Office Istana Budaya, Video EZY (KLCC), Video EZY (Sg. Wang, Bukit Bintang), Fantasy Music Centre (Sunway Pyramid Shopping Centre), Music Valley (Cheras Leisure Mall), Kaunter Penerangan Lot 10 dan Kaunter Perkhidmatan Pelanggan Starhill.
Reply

Use magic Report

Post time 26-8-2006 12:38 PM | Show all posts
wah byk nye kau dpt...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 27-8-2006 12:30 AM | Show all posts
Originally posted by bintang^hati at 25-8-2006 10:18 AM



pu3, aku dah nak start post artikel2 dayang. mintak delete msg2 yg x de kena mengena. aku nak buat topic ni, betul2 utk arkib je. boleh kan??


ok bos
Reply

Use magic Report

Post time 30-8-2006 12:18 PM | Show all posts

UTUSAN ONLINE 09/02/2004



Dayang Nurfaizah -- Sedar dari mimpi
--------------------------------------------------------------------------------
WALAUPUN karier seni Dayang Nurfaizah pernah menyerlah namun, ia cuma untuk seketika. Ini kerana ketika kaki mengatur langkah ke kemuncak, penyanyi kelahiran Sarawak itu terpaksa mengharungi pelbagai cabaran.

Biarpun dugaannya berat, namun Dayang tetap tabah melaluinya. Kata Dayang, segala dugaan yang ditempuh menjadikan dia semakin matang.

Perbalahan yang terjadi antaranya dengan syarikat rakaman, diakuinya banyak memberi kesedaran kepadanya.

Kata Dayang, jika perbalahan tersebut tidak berlaku dia mungkin masih lagi berada di takuk lama.

``Dayang mungkin boleh naik tapi Dayang tetap akan seperti dulu, menyerahkan segala-galanya kepada syarikat rakaman. Tapi bila berlaku krisis dengan syarikat rakaman, Dayang seakan sedar dari mimpi. Kini barulah Dayang tahu betapa susahnya untuk menghasilkan album,'' kata Dayang terus terang.

Menurut Dayang, sekarang dia sedang menjalani rakaman untuk mini albumnya yang bakal berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.

Katanya, oleh kerana rakaman itu menggunakan perbelanjaan sendiri maka proses pembikinan mini album tersebut terpaksa dibuat mengikut aliran kewangan.

``Nak rakam lagu macam selalu perlu bajet yang banyak. Sebab itu sekarang ini, Dayang lebih selesa menampilkan mini album yang hanya memuatkan lima lagu sahaja. Walaupun lima lagu, namun lagu yang ditampilkan adalah yang terbaik.

``Pada album kali ini Dayang lebih pentingkan muzik kerana kebanyakan lagu menggunakan alat muzik secara langsung. Malah ada satu lagu dibuat di Indonesia,'' kata Dayang yang memperuntukan kos antara RM5,000 hingga RM7,000 untuk satu lagu mengikut penggunaan alat muzik.

Setakat ini, Dayang sudah rakam lagu ciptaan Afdlin Shauki. Kata Dayang, pertama dengar lagu yang liriknya juga ciptaan Afdlin itu, hatinya terus berkenan.

Malah untuk album yang berkonsepkan pop R&B itu juga, Dayang turut menaruh kepercayaan kepada hasil kerja Acis yang dipertanggungjawabkan sebagai penerbit.

Kata Dayang, dia senang bekerjasama dengan Acis kerana bekas anggota kumpulan Gersang itu sering menjadi pengarah muziknya setiap kali mengadakan persembahan di Planet Hollywood.

Susah senang

``Kali ini Dayang bukan setakat menyanyi tapi turut memilih lagu. Jika ada yang tidak puas hati waktu rakaman, Dayang terus nyatakan dan kami akan buat semula. Kali ini barulah Dayang tahu susah senangnya mahu hasilkan album,'' katanya yang kali terakhir menghasilkan album, Hembusan Asmara pada November tahun lalu.

Dayang yang dikagumi kerana kemantapan vokalnya mendendangkan lagu secara langsung itu, sehingga kini terus mendapat undangan mengadakan persembahan pentas.

Terbaru Dayang akan mengadakan persembahan di Istana Budaya selama tiga hari bermula 20 Februari ini sempena Konsert Putera Puteri (A Tribute to Past Composers) bersama Adibah Nor, Roy dan Najib Hanif.
Reply

Use magic Report

Post time 30-8-2006 12:21 PM | Show all posts

UTUSAN ONLINE 07/03/2004

Dayang tidak pernah menyesal
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

([email protected])
APABILA penyanyi Dayang Nurfaizah memperjuangkan masa depan karier seninya sehingga berlanjutan ke mahkamah, banyak pihak yang meramal masa depannya akan berkubur.

Kata mereka, Dayang sengaja membunuh kerjayanya kerana mengheret syarikat rakaman ke mahkamah seolah-olah memasukkan pasir ke periuk nasi sendiri.

Persepsi dan pandangan khalayak sedikit sebanyak turut mempengaruhi penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Dalam pertemuan dengan Pancaindera Isnin lalu, artis muda yang begitu popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta meluahkan, ketika di awal tindakannya itu dia seakan-akan hilang punca dan arah.

``Bohong kalau saya katakan saya tidak risau dengan nasib dan masa depan bidang nyanyian yang saya ceburi.

``Sedikit sebanyak tekanan dapat saya rasakan ketika itu. Namun, selepas lama berfikir dan membuat pelbagai pertimbangan, saya yakin dan percaya saya membuat apa yang saya rasa betul untuk masa depan saya,'' ujar penyanyi itu lagi.

Bakal mencecah usia 23 tahun Julai depan, Dayang memberitahu Pancaindera, adalah lebih baik dia berfikir mengenai masa depannya ketika usia mudanya.

``Saya tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi kalau saya mengambil tindakan apabila saya sudah lanjut usia,'' katanya.

Walau apa sekalipun tanggapan dan tafsiran masyarakat terhadapnya, Dayang tetap yakin dan percaya dia tidak keseorangan dalam menghadapi saat-saat yang sukar itu.

Kata Dayang, kehadiran keluarga yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya dianggap sebagai penawar yang cukup bermakna buatnya.

Pada masa ini, Dayang enggan lagi membebankan kotak fikirannya memikirkan persepsi masyarakat yang mungkin skeptikal dengan pendiriannya.

Dia mengakui, semakin bahagia dan lebih berkeyakinan untuk menempuh segala dugaan dan kesukaran dunia hiburan.

Menurut Dayang, sudah banyak yang dipelajarinya berhubung perjalanan sebagai anak seni.

``Saya sudah kenal banyak orang dan kesemuanya memberikan sokongan moral buat saya. Secara tidak langsung juga saya semakin fokus dan lebih mengetahui apa yang baik untuk karier saya,'' kata Dayang bersungguh-sungguh.

Dayang juga menyatakan rasa syukurnya kerana tawaran menyanyi tidak pernah putus buatnya.

Apa yang paling utama pada masa ini ialah memberi tumpuan kepada kebangkitan terbarunya sebagai artis rakaman.

Berbekalkan keyakinan diri, sokongan moral pengurusan barunya serta modal yang dikumpul hasil daripada menyanyi, Dayang dijangka memberi kejutan baru dengan album solo terbaru yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

``Saya lebih senang hati hari ini dan saya berdoa kegembiraan ini akan berkekalan sampai bila-bila,'' kata Dayang menyuarakan harapannya.

Kata Dayang, album terbarunya ini amat bermakna sekali kerana ia bakal memuatkan lagu-lagu yang memenuhi kehendaknya dan sekali gus bertepatan dengan selera masyarakat masa kini.

``Percayalah, saya bukannya syok sendiri. Saya sekadar memenuhi kehendak diri dan juga pencinta seni. Saya tahu, kalau saya buat album syok sendiri karier saya tidak akan ke mana,'' jelas Dayang yang enggan menyenaraikan nama-nama komposer yang terbabit dalam album terbaru yang diterbitkan dengan modalnya sendiri.

Dayang turut menjangkakan, Julai depan album solonya bakal dipasarkan dan dia sendiri sudah tidak sabar-sabar untuk melihat reaksi peminat-peminatnya.

Sebagai permulaan untuk menyaksikan kebangkitan terbarunya yang bakal disenangi banyak pihak, Dayang sudah bersedia untuk mengadakan persembahan khusus untuk peminat-peminat mudanya di pusat hiburan Planet Hollywood, Kuala Lumpur pada 27 Mac ini pada pukul 3 petang.

``Persembahan selama sejam ini khusus untuk mengubati rindu peminat buat saya,'' cerita Dayang lagi.


[ Last edited by  bintang^hati at 30-8-2006 12:24 PM ]
Reply

Use magic Report

Post time 30-8-2006 12:22 PM | Show all posts

UTUSAN ONLINE 03/04/2004

Dayang Nurfaizah - Cubaan Di Planet Hollywood berjaya

Menghargai peminat yang tidak pernah gagal memberikan sokongan kepadanya, Dayang Nurfaizah menganjurkan Sepetang Bersama Dayang Nurfaizah di pusat hiburan terkemuka, Planet Hollywood, Kuala Lumpur baru-baru ini. Majlis yang berlangsung lebih satu jam itu menjadi medan pertemuan artis berkenaan dengan mereka yang memberi sokongan cukup padu kepada perjalanan seninya selama ini.

``Hasrat Dayang untuk bersama dengan anda, peminat-peminat yang banyak memberi sokongan akhirnya terlaksana.

``Dayang gembira kerana bertemu dengan anda pada petang ini,'' kata Dayang sebelum mengalunkan lagu popular, Rindu yang menjadi pembuka tirai persembahannya pada petang yang ceria itu.

Dayang menjadi artis pertama yang membuat percubaan mengadakan persembahan petang di pusat hiburan berkenaan. Sebelum ini Planet Hollywood telah berjaya dengan persembahan lewat malam Sunday Nite Live yang menampilkan puluhan artis-artis popular semasa.

Ternyata persembahan Dayang waktu petang hari itu mendapat sokongan peminat setianya.

Tidak sukar bagi penyanyi bersuara mantap seperti Dayang untuk membuatkan penonton yang juga peminat setianya teruja di acara seperti ini.

Kebolehan komunikasi Dayang juga semakin baik dan benarlah kata orang, kalau mahu jadi penyanyi yang baik, kena biasakan diri dengan persembahan langsung seperti itu.

Kontroversi dan musibah yang melanda perjalanan seninya sehingga terheret ke mahkamah, bukanlah pengakhiran kerjaya anak kelahiran Sarawak ini.

Sesuai dengan pertambahan usianya, Dayang juga kelihatan cukup yakin dengan kebolehan vokalnya dalam menambat hati penonton setia dengan lagu-lagu popularnya.

Persembahan Dayang diiringi oleh pemuzik profesional termasuk bekas anggota kumpulan Gersang, Acis sebagai pengarah muzik.

Kombinasi dengan pemuzik-pemuzik muda ini telah memberi nafas yang lebih selesa kepada persembahan Dayang dan nampak dia benar-benar selesa berada di tengah-tengah kelompok itu.

Antara lagu yang dibawa petang itu ialah Sedingin Mana Cintamu, Bahagia, Hanyalah Kasihmu, Hembusan Asmara dan Pintaku Yang Terakhir.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-12-2024 09:51 PM GMT+8 , Processed in 0.075243 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list