Setelah kira kira 4 dekad berada dalam industri, A Rahim Muda, kini bergelar Datuk.
Nama Imuda bukanlah nama asing di dalam arena seni tanah air. Namanya melonjak naik selepas terlibat dalam beberapa siri sitkom legenda seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Dia juga aktif berlakon dalam drama dan filem ketika era kegemilangannya. Di luar bidang lakon layar, Imuda merupakan seorang pelukis yang pernah menyumbang karya kepada majalah Gila Gila, Berita Minggu dan juga Gelihati.
Imuda menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Pulau Pinang.
Imuda akui dia bangga dan berbesar hati dengan penganugerahan yang diterimanya. Imuda menganggap kejayaan ini sebagai sesuatu yang harus diraikan setelah 40 tahun berada dalam industri seni.
Dipetik dari sumber Xtra, Imuda berkata: “Saya berasa amat bangga kerana menerima penganugerahan daripada TYT Pulau Pinang. Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan.
“Bukan saja untuk diri saya tetapi juga buat seluruh anak seni yang lain di negeri Pulau Pinang.”
Rata rata peminat tumpang gembira dan bangga dengan kejayaan Imuda mendapatkan gelaran Datuk. Di mana menurut mereka, Imuda selayaknya mendapat gelaran tersebut.