|
Rentetan pelbagai pendedahan dibuat Nur Fazura, Fattah Amin mendakwa menyimpan satu rahsia besar membabitkan bekas isterinya itu.
Bagaimanapun, Fattah enggan 'membocorkan' perkara itu kepada umum kerana sudah berjanji untuk menjaga aib masing-masing termasuk tidak memfailkan nusyuz terhadap Fazura.
"Saya sebenarnya ada tahu suatu benda, tetapi kami sudah bersetuju untuk tidak membuka aib masing-masing. Saya pun sudah bersetuju untuk tidak failkan nusyuz.
"Janganlah buat benda yang bukan-bukan macam ini (pendedahan), memalukan. Saya tak nak," kata Fattah ditemui selepas sah bercerai talak satu dengan Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, pagi tadi.
Fattah menegaskan, kenyataan dikeluarkan Fazura akan memberi kesan buruk terutama kepada anak, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
"Malulah kepada anak, bila besar boleh tengok mummy (Fazura) dan daddy (Fattah) bergaduh cara macam ini. Saya tak nak, saya kasihankan anak," katanya.
Terdahulu, Fazura dalam sidang media selepas bercerai dengan Fattah mendakwa punca perceraiannya disebabkan kecurangan Fattah.
Selain itu, Fazura mendakwa Fattah culas memberi nafkah kepadanya dan Fatima dan tiada lagi persefahaman antara mereka.
Fattah melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh pada jam 9.45 pagi tadi.
Ini selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Sumber - Harian Metro
|
|