Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua puterinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebutir kurma lalu aku berikan kepadanya. Lalu wanita itu membahagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua puterinya sedangkan dia tidak memakan sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera pergi. Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku khabarkan masalah itu, maka Baginda bersabda: “Siapa yang memberikan sesuatu kepada anak-anak ini, maka mereka akan menjadi pelindung dari api neraka baginya”. (HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan untuk anak termasuk penyediaan makanan.
2. Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.
3. Orang yang memberikan sesuatu makanan yang baik dan halal kepada anaknya, akan menjadi saham (pahala) melindunginya dari api neraka.