
Pelakon, Johan As’ari memberitahu GUA dia tidak akan menghadiri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) pada 7 April ini kerana menunaikan Umrah pada tarikh tersebut. Jelas pelakon berusia 27 tahun ini, dia akan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 27 Mac hadapan dan hanya berangkat pulang ke tanah air pada 8 April.
“Saya buat keputusan untuk menunaikan Umrah apabila terbaca Twitter Abang Hafiz Hamidun tentang perancangannya untuk pergi Umrah. Entah macamana, hati saya terdetik untuk turut serta dan saya terus hubungi Abang Hafiz untuk dapatkan maklumat lanjut. Selepas beberapa hari hubungi dia, Abang Hafiz hubungi saya semula pada Isnin (18 Februari) dan berikan tarikh keberangkatan ke sana. Tanpa banyak berfikir, saya setuju untuk sama-sama kerjakan Umrah. Hati saya memang kuat hendak ke sana selepas menjalani penggambaran ‘Kau Yang Terindah’ di sana tidak beberapa lama dahulu,” ujar Johan ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Johan lagi, dia sedikit pun tidak berasa rugi atau jauh sekali berasa terkilan kerana tidak dapat menghadiri malam kemuncak ABPBH 2012. Baginya menunaikan Umrah adalah lebih penting.
“Untuk ABPBH kali ini saya tercalon dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular bersama-sama Aaron Aziz, Adi Putra, Beto Khusairy dan Fahrin Ahmad. Sejujurnya, saya tidak terlalu mengharapkan kemenangan kerana saya sedar saingan saya bukan calang-calang orang. Bagaimanapun, seandainya saya menang, sudah pasti saya gembira dan menghargai sokongan peminat yang memilih saya. Saya tak rasa rugi pun tidak dapat naik ke pentas untuk mengambil trofi kemenangan. Bagi saya, peluang mencium Hajar Aswad membawa pengertian lebih besar berbanding mengambil trofi di pentas ABPBH,” ujar Johan lagi.
Dalam perkembangan lain, Johan akan muncul dengan drama bersiri terbaru, ‘Karlos’ bermula 4 Mac ini. Drama mengisahkan perjalanan hidup seorang remaja bernama Irwan Zaid atau Karlos ini akan bersiaran di TV3 pada jam 9.00 malam.
|