|
Kota Bharu: Perebutan lima awang import Kelantan untuk beraksi dalam Liga Super semakin sengit apabila sesi pendaftaran baru dibuka 8 April ini selepas masing-masing mempamer aksi cemerlang.
Terbaru, juara tiga piala musim lalu itu menang bergaya selepas membenam SHB Da Nang dari Vietnam 5-0 dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Kemenangan itu juga menyaksikan gergasi Pantai Timur itu melakar kejayaan terbesar dalam saingan AFC yang disertainya sejak musim lalu sekali gus melaungkan amaran kebangkitan untuk menguasai kembali Liga Super yang kini memasuki pusingan kedua.
Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak berkata, selepas mencatat kemenangan di luar jangkaan ke atas SHB Da Da Nang, tugas sukar menanti jurulatih dari Croatia itu untuk memilih dua daripada lima pemain importnya untuk beraksi dalam Liga Super.
Katanya, lima pemain import, Keita Mandjou (Guinea), Dimitri Petratos (Australia), Lek Kcira (Crotia), Obinna Nwaneri dan Dicson Nwakaeme masing masing dari Nigeria sudah menemui keserasian dan membantu pasukan dengan berkesan.
“Masing-masing sudah menemui sentuhan dan keserasian. Mandjou sudah mengumpul lima jaringan peribadi dalam Liga Super. Petratos dan Nwakaeme cemerlang sepanjang saingan AFC. Malah Nwaneri dan Kcira juga menyerlah mengukuhkan pertahanan.
“Saya belum membuat keputusan untuk memilih dua pemain untuk beraksi dalam Liga Super selepas pendaftaran baru dibuka. Peluang masih terbuka buat mereka,” katanya.
|
|