|
AMPANG , 9 Disember : Tindakan tiga lelaki cuba memecah sebuah mesin juruwang automatik (ATM) milik sebuah bank di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, di sini, menggunakan pemotong gas Oxy gagal apabila kejadian itu disedari pegawai bank bertugas melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum menghubungi polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3 pagi sebelum sepasukan peronda (MPV) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kehadiran polis disedari tiga suspek berkenaan yang kemudian cuba melarikan diri. Anggota polis cuba menahan suspek, namun berlaku pergelutan sebelum seorang daripada mereka berjaya diberkas.
“Dua lagi suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Amiruddin berkata, suspek berusia 38 tahun yang berjaya ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat tiga mesin ATM, namun hanya satu telahpun dipecahkan. Mereka tidak berjaya mengambil wang dalam mesin itu.
“Kami akan memeriksa CCTV bagi mengesan dua suspek yang melarikan diri itu,” katanya memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merakam keterangan suspek.
Beliau berkata, suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.- Harianmetro
p/s sepandai-pandai kanggaroo meloncat, akhirnya jatuh ke lubang jua...versi Australia...
|
|