|
Edited by ib-instaforex at 19-3-2015 02:03 PM
SIAPA sangka dengan menjual ayam goreng ‘popcorn’ mampu menampung kos hidup tiga sekawan sepanjang mengikuti pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.
Raja Muhammad Tarmizi Raja Ibrahim, 23; Mohd Amir Amirudin Mohd Sobri, 23; dan A’ataillaah Hazwan Mohd Nasir, 24, mula berkecimpung dalam bidang keusahawanan itu dengan perniagaan 'ice blended' secara atas talian sejak setahun lalu.
Selepas berjaya mengumpul modal, mereka seterusnya membuka kios Ayam Goreng ‘Popcorn’ Al-Ain di Cafe Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Bank Muamalat dan sekitar kampus.
Pelajar tahun akhir Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Raja Muhammad Tarmizi berkata, dia tidak menyangka idea berniaga itu akan membuahkan hasil dan mampu menjana pendapatan RM3,000 sebulan sekali gus dapat menampung kos sara hidup mereka di universiti.
Menurutnya, idea berniaga tercetus apabila mereka bertiga sering mengikuti program keusahawanan dalam kampus yang membantu meningkatkan hasil jualan dan promosi selain minat mencari pendapatan sampingan sambil belajar.
“Usaha kami ini bermula di DPP Bank Muamalat apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada rakan-rakan pelajar. Ayam goreng ‘popcorn’ yang dihasilkan ini tampil dalam dua perisa iaitu pedas dan asli serta dijual pada harga berpatutan.
"Malah, untuk meramaikan lagi pelanggan, kami juga menawarkan perkhidmatan penghantaran dalam kampus," katanya ketika ditemui di Karnival Kebudayaan Kesenian dan Keusahawanan (3K) UUM, baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Amir Amirudin yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pemasaran berkata, perniagaan itu bukan sahaja memberi peluang menjana pendapatan, malah platform baginya melaksanakan praktikal pengajian.
“Jika diberi kesempatan, kami ingin sambung pelajaran dalam bidang perniagaan bagi membolehkan kami mengusahakan perniagaan sendiri suatu hari kelak.
“Sekarang ini peluang untuk mendapatkan pekerjaan payah, jadi wajar sekiranya skop perniagaan diambil perhatian tambah pula 90 peratus daripada punca rezeki adalah perniagaan,” katanya.
Bagi A’ataillaah Hazwan, tidak menjadi masalah kepada mereka untuk bahagikan masa antara belajar dan berniaga kerana aktiviti jualan mereka hanya dijalankan pada waktu petang hingga malam.
"Usaha ini mendapat sokongan keluarga yang turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan secara tidak langsung mempengaruhi minat kami untuk menceburi bidang sama," katanya.
-SinarHarian-
|
|