Pesawat Tigerair Gagal Kesan KLIA Patah Balik Ke Changi May 21, 2015 23
SINGAPURA – Sebuah pesawat tempatan, Tigerair TR2464 dari Singapura ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini, tidak lama selepas baharu berlepas pada lewat Rabu.
Syarikat udara tambang murah berpusat di Singapura itu mengesahkan bahawa insiden disebabkan cuaca buruk dan masalah teknikal pada radar pesawat model Airbus A320-200 yang gagal mengesan lokasi KLIA di Sepang.
Seorang jurucakap Tigerair berkata keputusan untuk berpatah balik dibuat sebagai ‘langkah mengelak nahas’ dan faktor keselamatan tetap menjadi keutamaan syarikat penerbangan kos rendah yang ditubuhkan sejak 2003 itu. Gambar Wilson Tan / Ihsan Channel NewsAsia
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga kesejahteraan para penumpang kami,” tambah jurucakap syarikat tersebut ketika dihubungi stesen penyiaran rasmi milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia.
Seorang penumpang TR2464, Wilson Tan berkata pesawat itu hanya berada di udara selama 25 minit selepas berlepas pukul 4.35 petang, apabila juruterbang mengumumkan bahawa pesawat itu berpatah balik ke Changi.
Ujar beliau: “Juruterbang kata kami berpatah balik akibat ‘cuaca buruk keterlaluan”, tetapi seorang kru pesawat beritahu saya radar tidak dapat mengesan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.” Gambar Wilson Tan / Ihsan Channel NewsAsia
Sejurus selamat mendarat semula di Changi, semua penumpang jelas Tan, diarahkan untuk pergi ke pintu perlepasan yang lain bagi mendapatkan pula penerbangan ganti yang sudah bersiap sedia menunggu mereka. Tan, yang kemudiannya menaiki TR2464D, mendarat dengan selamat di KLIA pada 8.20 malam tadi tetapi menambah terdapat beberapa penumpang yang enggan menaiki penerbangan gantian itu kerana bimbang. Beliau berkata: “Bilangan penumpang dalam penerbangan gantian itu pula lebih rendah berbanding jumlah awal padahal laluan Singapura-Kuala Lumpur biasanya amat laris sehingga habis penuh kesemua 180 kerusi.” Tigerair yang dimiliki Tiger Airways Singapore Pte. Ltd. terbang ke 36 destinasi di rantau Asia tenggara selain Australia, China dan India dengan 26 buah pesawat pelbagai model Airbus. – Agensi/H.A.AMREE
|