KHADIJAH'S Kitchen Sdn Bhd, syarikat milik penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim, akan melebarkan sayap perniagaannya dalam bidang makanan ke Los Angeles, Amerika Syarikat, dalam masa terdekat ini. Khadijah's yang juga pengarah urusan syarikat berkata, mereka masih dalam perbincangan dengan pihak di sana serta sedang meninjau lokasi bersesuaian bagi membuka restoran yang menyajikan makanan autentik Malaysia.
"Kami ditawarkan untuk membuka Khadijah's Kitchen di Los Angeles dan ini adalah satu peluang terbaik bagi mengembangkan sayap perniagaan makanan di luar negara. "Peluang ini secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan makanan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa selain memperkenalkan negara kepada pelancong asing," katanya kepada pemberita selepas perasmian pembukaan cawangan ketiga Khadijah's Kitchen di Banda Hilir, Melaka. ‎
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga diminta untuk mengeluarkan pes masakan autentik Malaysia termasuk sup dalam usaha menembusi pasaran halal di negara tersebut.
Menurutnya, usaha berkenaan akan diakukan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
"Kita kini telah mengeluarkan 14 pes masakan Melayu antaranya asam pedas, kuah sate, rendang tok, pajeri nanas dan kari kepala ikan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Khadijah yang pernah mengusahakan sebuah restoran di New Zealand berkata, syarikatnya akan membuka 13 francais restoran di seluruh negara melalui pemberian lesen kepada individu yang berminat.
Antara syarat yang dikenakan kepada pemegang francais ialah mereka perlu mempunyai latar belakang dunia masakan atau pernah berkecimpung dalam bidang makanan bagi menjaga kualiti dan jenama Khadijah's Kitchen.
Khadijah's Kitchen dijangka membuka cawangan keempatnya di Port Dickson pada pertengahan Februari ini selepas pembukaan restoran di Petaling Jaya, Shah Alam dan Melaka. - Bernama
|