|
ni pun barangan kot
: 16 Januari 2006
Mudah cetak | E-mel
TAMAN PERITMATA
Bukan saja kemudahan belum siap walau harga sudah dibayar, kini bank pula mahu lelong rumah di Taman Permata
Masalah demi masalah menimpa sekumpulan pembeli rumah teres rakyat Singapura di Taman Permata berdekatan Taman Perling di Johor Bahru. Setelah pemaju hartanah mereka tutup kedai akibat masalah kewangan, kini mereka menghadapi kemungkinan rumah mereka dilelong pula. Apakah yang berlaku sehingga mereka membuat laporan polis dan membawa kes itu ke muka pengadilan? Norhaiza Hashim melaporkan.
RUMAH sudah pun didiami dan harga rumah sudah pun dibayar.
Namun, sekumpulan pembeli rumah teres rakyat Singapura di Taman Permata di Johor Bahru menghadapi kemungkinan rumah mereka dilelong bank.
Sekitar 40 pembeli, yang hampir 80 peratus merupakan orang Melayu Singapura, kini memperjuangkan nasib mereka di Mahkamah Tinggi di Johor.
Taman Permata, estet perumahan berkonsep kondominium ala Mediterranean dekat Taman Perling, mempunyai 136 unit rumah - kebanyakannya teres dua setengah tingkat berharga antara RM322,000 ($140,000) dengan RM420,000.
Berdasarkan kunjungan Ekoniaga ke sana Sabtu lalu, hampir 75 peratus daripada rumah itu sudah berpenghuni.
Sebanyak 82 daripada 136 unit rumah itu dibeli oleh orang Singapura, kebanyakannya orang Melayu.
Berita Harian telah beberapa kali melaporkan nasib malang yang menimpa para pemilik itu sejak enam tahun lalu.
Ia bermula apabila syarikat pemaju projek, Focus Development Sdn Berhad, tidak dapat melangsaikan hutang kepada bank dan sekali gus menyebabkan projek itu terbengkalai.
Bank yang membiayai projek itu mengambil alih bagi menghidupkannya semula.
Sejak dua minggu lalu, Ekoniaga cuba mendapatkan komen dari bank tersebut, tetapi sehingga laporan ini disiarkan, ia belum memberikan jawapan.
Setelah bank itu mengambil alih, ia meminta pembeli - terutamanya yang sudah membeli secara tunai dan masih belum mendapat geran tanah - menokok tambahan 10 peratus daripada harga belian jika mahu projek diteruskan agar mereka mendapat sijil kelayakan rumah (CFO), serupa permit menghuni sementara (TOP) di sini.
Para pemilik berjaya mendapat CFO, tetapi mereka mendakwa ia atas usaha dan perbelanjaan mereka sendiri yang sama-sama mengumpulkan RM350,000 bagi membuat jalan raya utama, lampu jalan dan sistem pembuangan sampah.
Selepas itu, pihak bank meminta pula wang tebus milik sebanyak RM104,700 jika tidak mahu rumah mereka dilelong.
Apabila pelanggan enggan, pihak bank meminta pula tokokan 15 peratus daripada harga pembelian, sebelum ia diturunkan kepada 10 peratus.
Tokokan 10 peratus itu adalah untuk mendapat surat penafian (letter of disclaimer).
Jika terdapat tindakan undang-undang antara bank dengan pemaju hartanah, surat penafian itu akan memastikan bank tidak akan menyertakan rumah pembeli dalam kes undang-undang itu.
Sedang pembeli menimbangkan sama ada ingin membayar tokokan tersebut, mereka mendapati bank pada masa sama meminta kebenaran mahkamah melelong rumah mereka yang kemudian diluluskan pada 15 Mac tahun lalu.
Bagaimanapun, ini tidak diberitahu kepada mereka.
Pada saat-saat akhir, mereka mendapat tahu berita itu dan terus campur tangan memberitahu mahkamah mereka merupakan pembeli yang sah.
Para pemilik seperti pasangan suami isteri Encik Abdul Ghani Abdul Rahim, 58 tahun, dan Cik Saimah Mingan, 53 tahun, enggan menokok tambahan 10 peratus itu kerana telah membayar penuh harga rumah teres secara tunai sebanyak RM328,000 ($144,300).
'Buat apa saya nak bayar lagi 10 peratus sedangkan saya dah bayar penuh harga rumah itu.
'Apa yang saya kecewakan, rumah itu walaupun siap tidak lengkap seperti yang dijanjikan.
'Banyak yang rosak seperti paip bocor, hawa dingin tak ada, pintu pagar automatik yang semua dijanjikan tak ada.
'Kolam renang bagi estet perumahan yang dijanjikan juga tak ada.
'Dah kira-kira tambahan RM15,000 saya belanjakan untuk baiki rumah itu,' kata Encik Abdul Ghani.
Cik Norsiah Sujai, 61 tahun, dan suaminya, Encik Adanan Bakron, 68 tahun, yang kedua-duanya guru pesara, juga enggan menokok kerana melihat rakan-rakan mereka yang sudah pun menokok 10 peratus masih belum selesai masalah mereka.
'Buat apa saya bayar sedangkan rakan-rakan yang sudah bayar 10 peratus bagi dapatkan geran tanah pun sampai sekarang pun belum mendapatnya,' kata Cik Norsiah.
Seorang lagi pemilik rumah yang hanya mahu dikenali dengan nama Cik Safiah - yang mengetuai satu jawatankuasa penduduk dibentuk oleh sekitar 40 pemilik rumah yang enggan menokok 10 peratus itu - mendakwa bank juga tidak mengiktiraf wang sekitar RM1.65 juta yang telah dimasukkan ke dalam Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) bank itu oleh beberapa pemilik rumah.
'Bank itu memberitahu kami oleh kerana kami membayar kepada pemaju dan pemaju pula tidak membayar kepada bank, oleh itu pihak bank terpaksa melelong rumah kami.
'Namun, yang pe liknya, walaupun separuh daripada kami telah pun membayar langsung kepada bank, rumah kami tetap mahu dilelong.
'Pihak bank berkata wang itu tidak dapat dikira kerana sebab bayaran dibuat tidak dinyatakan. Jadi, saya bayar duit rumah itu untuk apa, untuk bayar pejabat bank?' kata Cik Safiah, dengan nada marah.
Mereka menunjukkan kepada pemberita bukti-bukti dokumen yang mengesahkan bank telah menerima wang tersebut.
Salah seorang pembeli yang wangnya tidak diiktiraf ialah Encik Sugianto Selamat, 42 tahun, jurutera, dan isterinya, Cik Jamela Mohd Fauzi, 41 tahun, suri rumah.
'Kami bayar rumah itu secara bertahap-tahap melalui akaun HDA. Takkanlah selepas 90 peratus daripada keseluruhan harga rumah telah dilunaskan, baru bank kata wang tidak diterima?
'Biasanya, kalau sebulan tak bayar, bank sudah pun kejar pembeli untuk membayarnya,' kata Encik Sugianto, yang telah pun membayar sejumlah RM300,000 bagi rumah itu.
Kumpulan Cik Safiah itu telah mendapatkan peguam dari firma guaman Rosli Kamaruddin & Company bagi mewakili mereka.
Perbicaraan pertama di Mahkamah Tinggi di Johor telah pun diadakan pada 6 Oktober tahun lalu dan perbicaraan kedua akan diadakan 22 Mac ini.
Walaupun isu itu berlarutan sehingga bertahun, Encik Nazim Aziz tidak putus asa.
'Rasa geram itu amat sangat. Dah ratusan ribu ringgit saya belanjakan untuk rumah yang sepatutnya menjadi rumah idaman kami di Johor. Kami tidak akan mudah mengaku kalah,' katanya. |
|