16 OKTOBER 2013 (RABU) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra berkenan berangkat ke majlis korban anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini hari ini.
Pada majlis itu, Sultan Muhammad V berkenan menyembelih dua ekor daripada 59 ekor lembu yang disediakan pada majlis itu. Baginda turut menyumbangkan dua ekor lembu untuk ibadah korban itu sempena Aidiladha yang disambut umat Islam semalam.
Turut berkenan menyumbangkan lembu korban pada majlis itu ialah Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan yang juga Yang Dipertua Maik, Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan orang perseorangan.
Setiausaha MAIK, Dr. Hj Che Hamat bin Hj Che Muda berkata daging korban itu akan diagih kepada 1,500 penerima termasuk fakir miskin. Turut hadir Penasihat Khas Kepada YTM Tengku Yang Dipertua, YABhg. Dato’ Nik Kamaruddin bin Ismail, Mufti Kelantan Sahibul Samahah Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan ketua jabatan persekutuan serta negeri.