|
Detik bersejarah Malaysia dalam F1
Daripada MEOR HARMAN MEOR SHAKRI
Pelumba pasukan 1Malaysia-F1 Lotus (dari kiri) Jarno Trulli, pemandu uji Fairuz Fauzy serta Heikki Kovalainen akan menggalas harapan tinggi rakyat Malaysia yang mahu melihat pasukan dari Malaysia ini berjaya pada perlumbaan Formula Satu musim ini, selepas pelancaran rasmi kereta F1 Lotus di London, semalam.
LONDON - Detik yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia tiba semalam, apabila pasukan 1Malaysia-F1 Lotus (1MF1T- Lotus), melancarkan kereta pasukan yang bakal membawa cabaran pada perlumbaan Formulsa Satu (F1) 2010, Lotus Cosworth T127.
Pelancaran penuh gilang gemilang itu disempurnakan oleh Prinsipal pasukan, Datuk Seri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Teknikal, Mike Gascoyne serta tiga pemandu pasukan, Jarno Trulli, Heikki Kovalainen dan Fairuz Fauzy, dengan disaksikan kira-kira 500 tetamu di Dewan Royal Horticultural.
Di atas pentas semalam, kelima-lima mereka membuka pembalut yang menutupi kereta dan memperagakan jentera hijau kuning, Lotus Cosworth T127 kepada khalayak buat kali pertama.
Rasa bangga menyelubungi setiap hadirin di dewan, terutama buat rakyat Malaysia kerana akhirnya kita memiliki pasukan sendiri yang akan meluncur dalam perlumbaan prestij F1.
Bagi Tony, pelancaran semalam adalah detik paling bersejarah dan bermakna kerana akhirnya Lotus berjaya menyiapkan kereta dalam tempoh singkat, iaitu lima bulan sejak diberi kelulusan oleh FIA (badan automobil dunia) untuk bertanding pada Kejuaraan F1.
"Saya amat bangga berada di sini hari ini dan dapat memperlihatkan kepada dunia hasil kerja keras pasukan sejak lima bulan lalu.
"Bagaimanapun, saya serta rakan-rakan pemegang saham yang lain seperti (Datuk) Kamarudin Meranun dan SM Nasarudin (SM Nasimuddin) tetap bersikap rendah diri.
"Lima bulan lalu, pasukan dan kereta ini langsung tidak wujud tetapi ia berkembang maju hasil kerja keras, keghairahan dan kesabaran Lotus Racing.
''Kami menyahut cabaran dan menghasilkan jentera yang cantik dan berkemampuan ini dalam tempoh singkat.
"Sekarang kami telah melakar dua peristiwa besar; mengesahkan penyertaan dalam perlumbaan dan melancarkan kereta, tetapi kerja sebenarnya baru bermula.
"Langkah seterusnya adalah menguji jentera, diikuti mengharungi musim perlumbaan. Saya yakin pasukan ini akan memenuhi pengharapan ke mana saja kami pergi.
''Malah kami telah mendapat sokongan sejak mengumumkan kepulangan Lotus Racing pada September 2009,'' ujar Tony.
Sementara itu Gascoyne mengakui, tempoh lima bulan terakhir lalu adalah detik paling mencabar dalam kariernya.
"Ia juga adalah tempoh mencabar buat seluruh pasukan ini. Kami sudah berkembang sejak kali pertama memulakan kerja membangunkan kereta di Norfolk. Saya gembira kami berjaya mencapai tahap sekarang, hari ini kami memiliki sebuah kereta cantik yang sedia membawa cabaran musim ini.
"Kereta ini berpeluang untuk mencabar dan mentaliti kami adalah mencari kemenangan. Bahagian yang sukar baru bermula hari ini, saya kenal semua pihak yang terlibat dalam pasukan ini dan saya sedia berdepan sebarang cabaran yang mendatang," kata Gascoyne.
Jentera Lotus Racing T127 menggunakan enjin Cosworth, kotak gear Xtrac dan tayar Bridgestone.
Kehadiran Lotus dalam kancah F1 dunia merupakan pencapaian hebat buat Malaysia, yang memulakan penglibatan dengan perlumbaan kereta paling prestij di dunia itu menerusi penganjuran Grand Prix Dunia pertamanya pada 1997.
Penglibatan Malaysia dalam F1 semakin berkembang selepas syarikat petrolium nasional, Petronas pula menaja pasukan Sauber dan BMW, manakala Alex Yoong menambah sejarah dengan muncul pemandu F1 pertama Malaysia beraksi buat pasukan Minardi pada 2002.
Pengaruh Malaysia dalam kancah F1 kini bukan lagi kecil, malah Fairuz turut berkongsi kegemilangan Lotus apabila menjadi pemandu uji pasukan dan berpeluang menjadi pemandu utama pada masa akan datang. - UTUSAN |
|