Seorang pemandu lelaki berusia 21 tahun maut selepas Perodua Bezza dipandunya merempuh pokok di bahu jalan dekat Bangunan Persekutuan Seri Manjung, di sini, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba
MANJUNG: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas dan merempuh pokok di Jalan Iskandar Shah, dekat Bangunan Persekutuan Seri Manjung, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi
Nor Ahmad, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 2.10 pagi.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati kereta jenis Perodua Bezza merempuh pokok di bahu jalan dan terdapat pemandu lelaki berusia 21 tahun tersepit dalam kenderaan itu.
"Bagaiamanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan peralatan khas dan menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi disertai sepasukan 10 anggota bomba itu ditamatkan jam 2.58 pagi.
|