Edited by Syd at 9-2-2015 02:29 PM
Harapan genius negaraMengapa di sebalik kepintaran mereka yang kebanyakan kita fikir akan menjadi aset negara yang terbilang, berakhir dengan episod hitam?
DI mana silapnya sehingga Sufiah Yusuf yang genius matematik memilih kerjaya sebagai pekerja seks di Britain?
PENGHUJUNG Mac lalu, bukan sahaja Malaysia bahkan seluruh dunia gempar dengan laporan yang didedahkan oleh media News of The World. Tiada siapa yang menyangka seorang genius matematik yang berjaya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun, berakhir dengan tragedi yang sangat malang.
Dengan kebanyakan orang membayangkan Sufiah Yusuf bakal menjadi seorang genius atau sesuatu yang luar biasa sewaktu dia menjejakkan kaki ke Oxford, sebaliknya pula berlaku apabila Sufiah mencatatkan sesuatu yang lebih dahsyat apabila mencari nafkah dengan menjadi pekerja seks.
Sufiah mendapatkan wang dengan menjaja tubuhnya untuk memperoleh kira-kira RM828.99 untuk satu sesi perkhidmatan. Yang pasti di sebalik pendedahan itu, ia bagaikan halilintar kepada masyarakat Malaysia, lantaran berita yang tidak pernah terlintas itu akan berlaku.
Sejak pendedahan itu, sehingga hari ini, kisah gadis genius, Sufiah Yusuf anak kepada pasangan Yusuf Farooq dari Pakistan dan Halimahthon dari Muar, Malaysia menghiasi dada akhbar dan kaca televisyen dunia hampir setiap hari.
Daripada kisah malang keluarganya, kesedihan serta doa ibunya dan lebih mengejutkan lagi pengakuan Sufiah sendiri yang memberitahu hidupnya lebih bahagia bergelar pekerja seks berbanding genius matematik.
Kisah malang anak genius Malaysia ini, pasti mengingatkan kita tentang satu lagi peristiwa malang yang turut menimpa kanak-kanak pintar bernama Mohd Shukri Hadafi yang kebijaksanaannya telah menarik hati pakar akademik, Profesor Diraja Ungku Aziz.
Ungku Aziz telah mengambil kanak-kanak genius itu sebagai anak angkat bagi membolehkannya mendapat perhatian dan pendidikan yang lebih rapi. Bagaimanapun, beliau juga akhirnya melalui detik-detik hitam sepanjang menempuh alam remaja dan dewasa.
Paling malang apabila beliau dikatakan terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.
Justeru itu, kita terfikir apakah malang nasib anak Melayu yang genius? Mengapa di sebalik kepintaran mereka yang kebanyakan kita fikir akan menjadi aset negara yang terbilang, berakhir dengan episod hitam?
Dalam kes Shukri, ada yang menyalahkan sistem pendidikan kita yang tidak cukup baik. Sistem pendidikan kita dikatakan tidak cukup menyokong pelajar pintar. Tetapi mengapa Sufiah juga menemui kegagalan. Dengan sistem pendidikan yang lebih moden dan tersusun, mengapa Sufiah turut terjerumus dengan pekerjaan keji.
Memang tidak dapat kita nafikan sistem pendidikan kita, masih perlu dipertingkatkan untuk menyediakan satu ruang pembelajaran yang lebih kondusif untuk pelajar istimewa yang dikurniakan kepintaran luar biasa.
| RAKYAT Malaysia mendoakan agar Ady Putra mencapai cita-citanya untuk menjadi pakar matematik Islam.
|
Bagaimanapun, jika kita renungkan kembali, kita perlu kembali kepada kekuatan pegangan agama. Betapa sebenarnya tanpa kekuatan ilmu agama yang kukuh, pasti ramai tersimpang daripada jalan Allah.
Ilmu dunia tanpa diperkuatkan dengan ilmu akhirat menyebabkan manusia mudah goyah iman dan pegangannya.
Mengimbas kembali kisah pelajar genius Malaysia, kira-kira dua tahun lalu juga didedahkan tentang kemunculan seorang lagi pelajar genius Matematik yang berasal dari Bagan Serai, Perak. Ady Putra Abdul Ghani yang kini berusia 9 tahun mendapat perhatian luar biasa kerana kebolehannya menyelesaikan soalan matematik peringkat universiti.
Bagaimanapun, dia kini berdepan dengan dilema lantaran sistem pendidikan yang dikatakan kurang menyokong kemahirannya. Soalnya, apakah Ady Putra mampu mengubah kisah malang yang dilalui oleh Sufiah dan Shukri?
Yang pasti, seluruh rakyat Malaysia tidak putus-putus mendoakan agar Adi Putra mencapai impiannya bergelar profesor matematik Islam.
|