Dakwaan campur tangan: PM serah kepada PDRM, Peguam Negara ambil tindakan
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
KUALA LUMPUR: "Saya serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat, selain Peguam Negara perlu mengambil tindakan bersesuaian," tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penegasan Perdana Menteri itu dibuat sekiranya Bloomberg secara jelas membuat laporan berunsur fitnah mengaitkan beliau dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, baru-baru ini. Beliau memaklumkan, PDRM setakat ini, sudah membuat beberapa tindakan, termasuk memanggil wakil Bloomberg dan individu berkaitan untuk merakam percakapan, masing-masing pada 1, 8 dan 11 Oktober lalu. "Oleh kerana, ia di bawah siasatan PDRM, saya serahkan kepada PDRM untuk menyiasat dan Peguam Negara untuk mengambil tindakan bersesuaian.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri juga sudah membuat kenyataan tegas menafikan tohmahan terbabit kerana apa yang berlaku hanya arahan umum, termasuk kenyataan saya di Dewan Rakyat," katanya. Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai tindakan perundangan ke atas Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Anwar dalam siasatan SPRM di Dewan Rakyat, hari ini. Bloomberg sebelum ini, melaporkan Anwar meminta SPRM tidak menyiasat Farhash berhubung kes pembelian saham bernilai jutaan ringgit. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, Rabu lalu, dilaporkan berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) kanun sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Berita lanjut menyusul
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1311011/dakwaan-campur-tangan-pm-serah-kepada-pdrm-peguam-negara-ambil
|