PETALING JAYA – Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menjadi penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) atas kejayaan cemerlang yang dilakukan pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Atlet berusia 25 tahun itu menerima jumlah keseluruhan RM1.02 juta ekoran pencapaiannya meraih pingat emas kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan 232kg yang turut meleburkan rekod dunia.
Justeru, Bonnie mendapat RM1 juta hasil kejayaan menyumbang pingat emas buat kontinjen negara selain RM20,000 lagi merupakan bonus atas pencapaiannya memecahkan rekod dunia.
“Saya rasa kali ini lebih istimewa dan bermakna kerana ketika di Paris, saya berada dalam kesakitan semasa melakukan angkatan. Jadi memang bangga dengan pencapaian kali ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian SHAKAM Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua atlet kelahiran Serian, Sarawak itu meraih habuan RM1 juta selepas turut mendapat insentif sama ketika memenangi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Selain Bonnie, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou turut menerima ‘durian runtuh’ RM1 juta selepas memenangi pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki SU5.
Dalam pada itu, atlet lompat jauh T20, Datuk Abdul Latif Romly dan jaguh lontar peluru F20, Muhammad Ziyad Zolkefli masing-masing meraih RM300,000 selepas menyumbang pingat perak buat Malaysia.
Pelari pecut, Eddy Bernard yang melakar kejutan memenangi pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) T44 turut tidak terkecuali apabila membawa pulang RM100,000.
Sementara itu, turut diraikan adalah dua pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, iaitu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia masing-masing meraih RM100,000.
Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jumlah keseluruhan insentif tersebut adalah RM3.6 juta yang turut meliputi jurulatih.
“Saya amat menghargai kewujudan SHAKAM kerana ianya merupakan hasil keringat rakyat Malaysia yang bekerja kuat dan menunaikan tanggungjawab membayar cukai pendapatan. Tidak kira sama ada terima RM200,000 atau 300,000, ianya dibiayai pendapatan sama ada guru, penjual goreng pisang mahupun pemandu teksi.“
Mari sama-sama kita teruskan merendah diri dan sentiasa bersyukur kepada rakyat Malaysia. Terapkan dalam niat dan sanubari bahawa apabila kita berlatih dab bertanding, ianya demi rakyat Malaysia dan bukan untuk ganjaran semata-mata,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/10/25/bonnie-pemenang-tertinggi-shakam-paris-2024/