Kenyataan Media: PEMBUKAAN KESELURUHAN LALUAN SBK MENINGKATKAN LIPUTAN RANGKAIAN REL BANDAR KUALA LUMPUR Kuala Lumpur, 13 Julai 2017: Pembukaan Fasa Kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang pada hari Isnin, 17 Julai 2017 akan meningkatkan liputan rangkaian rel di bandar raya Kuala Lumpur. Pembukaan Fasa Kedua ini bermakna keseluruhan Laluan SBK sepanjang 51km telah siap dibina. Pengguna kini boleh sampai ke pusat bandar raya Kuala Lumpur, seperti Segitiga Emas atau ‘Golden Triangle’ dan kawasan Chinatown dengan mudah dengan menggunakan Laluan SBK. Fasa Kedua Laluan SBK terdiri dari Stesen Semantan ke Stesen Kajang. Fasa ini merangkumi bahagian bawah tanah dengan panjang 9.5km dan bahagian bertingkat selatan yang panjangnya 20.5km. Fasa ini mempunyai 19 stesen, tujuh daripadanya adalah stesen bawah tanah. Fasa Pertama, yang telah dibuka pada 16 Disember 2016, meliputi jajaran dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan dan terdiri dari bahagian bertingkat utara sepanjang 21km. Di sebuah taklimat media pada hari ini sempena pembukaan keseluruhan Laluan SBK pada 17 Julai 2017, Pengarah Projek Laluan SBK Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Marcus Karakashian berkata semua tujuh stesen pertukaran Laluan SBK akan mula beroperasi dengan pembukaan Fasa Kedua. “Ini akan membenarkan pengguna bertukar dari perkhidmatan MRT ke perkhidmatan rel yang lain dengan mudah, membenarkan mereka untuk tiba ke banyak kawasan di Kuala Lumpur,” jelas Karakashian. Stesen pertukaran di bawah Fasa Kedua ialah:
• Muzium Negara yang dihubungkan melalui laluan pejalan kaki ke Stesen KL Sentral (di mana terdapat perkhidmatan ERL, KTM, LRT Laluan Kelana Jaya); • Pasar Seni yang mempunyai sambungan kawasan berbayar dengan Stesen LRT Pasar Seni (LRT Laluan Kelana
Jaya); • Merdeka yang mempunyai sambungan kawasan berbayar dengan Stesen LRT Plaza Rakyat (LRT Laluan Ampang); • Maluri yang mempunyai sambungan kawasan berbayar dengan Stesen LRT Maluri (LRT Laluan Ampang); • Kajang di mana terdapat ruang legar bersama dengan Stesen KTM Kajang. Stesen Sungai Buloh juga berkongsi ruang legar bersama dengan Stesen KTM Sungai Buloh dan telah dibuka pada tahun lepas di bawah Fasa Pertama Laluan SBK. Sambungan kawasan berbayar dapat menghubungkan kawasan berbayar antara dua atau lebih stesen, dan ini bermakna pengguna tidak perlu keluar ke mana-mana pintu tiket mahupun membeli tiket baru semasa bertukar dari perkhidmatan MRT ke perkhidmatan rel yang lain. Karakashian berkata pembukaan Fasa Kedua akan memberi perkhidmatan tren ke kawasan yang padat dengan penduduk yang sebelum ini tidak diliputi oleh pengangkutan awam berasaskan rel seperti Cheras dan beberapa bahagian di kawasan Kajang. “Disebabkan kesinambungan dengan laluan lain dan liputan di kawasan baru, saya percaya ramai akan menggunakan Laluan SBK. Sudah pasti kami menggalakkan orang ramai untuk menggunakan mod pengangkutan yang moden, efisyen, boleh dipercayai, selamat dan mesra alam sekitar,” tambah beliau. Bagi kemudahan tempat letak kereta pula, Karakashian berkata tujuh kemudahan tempat letak kereta ini akan dibuka pada 17 Julai 2017. Kemudahan tempat letak kereta ini terdapat di Stesen Maluri , Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung dan Sungai Jernih, serta di Stesen Phileo Damansara. Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp memberi taklimat kepada media tentang Majlis Perasmian MRT Laluan SBK yang akan berlangsung pada 17 Julai 2017. Beliau berkata majlis tersebut akan berlangsung di Stesen Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. Selepas itu, Perdana Menteri akan menaiki tren MRT ke Stesen Stadium Kajang di mana beliau akan terus ke Stadium Kajang untuk meraikan pembukaan MRT ini bersama orang ramai. Laluan SBK merupakan laluan MRT pertama di Malaysia yang dibuka. Laluan sepanjang 51km mempunyai 31 stesen, di mana tujuh adalah stesen bawah tanah. -tamat/-
|