|
13 budak di rumah amal GISB pernah diliwat - KPN
KUALA LUMPUR: Seramai 13 kanak-kanak yang menginap di rumah amal dikaitkan 'Global Ikhwan Service and Business Holding' (GISBH) disahkan memiliki rekod pernah diliwat.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata seramai sembilan orang dikenal pasti diliwat selepas pihak polis melakukan siasatan fasa kedua, manakala bakinya pada fasa sebelumnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Latihan Polis di sini, hari ini.
Katanya, semua kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dalam satu kertas siasatan.
"Pada serbuan bertarikh 2 September lalu, kita terima laporan di Negeri Sembilan dan Selangor terdapat empat mangsa yang diliwat.
"Siasatan lanjut fasa kedua dalam serbuan pada 11 September lalu pula mendapati sembilan lagi mangsa telah dikenal pasti. Jadi siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama," katanya.
Menurutnya, semua kanak-kanak itu berusia belasan tahun.
Pada sidang media Rabu lalu di Kuantan, Razarudin berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Razarudin berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Polis nafi lewat bertindak
Dalam pada itu, Razarudin menafikan dakwaan pihak polis lewat mengambil tindakan ke atas sebarang laporan berkaitan GISBH.
Katanya, siasatan sudah dilakukan sejak 2011, namun tangkapan hanya dibuat selepas terdapat petunjuk kukuh yang membolehkan tindakan itu dibuat.
Berita lanjut menyusul
https://www.bharian.com.my/berit ... -pernah-diliwat-kpn |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|