Kid jadi pilihan M Nasir
M Nasir pada sesi latihan Konsert Cipta 2 di sebuah studio di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan maestro muzik tersohor, Datuk M Nasir menjadi insan seni pertama melakar sejarah apabila beraksi dalam dua konsert berbeza, namun lokasi sama dalam tempoh dua bulan. Jika Ogos lalu, M Nasir muncul dengan Konsert Datuk M N45ir Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil, M Nasir bakal kembali menghangatkan pentas sama menerusi konsert kedua, namun mengetengahkan konsep berlainan, malam ini. Dianjurkan atas permintaan peminat yang masih belum dapat 'move on' dengan konsert pertama, M Nasir berkata, tiada tekanan dihadapi meskipun menyedari ramai meletakkan harapan tinggi terhadap Konsert Cipta 2, selain perlu membuat persiapan dalam tempoh singkat selama dua bulan. "Nak kata ada tekanan, tak adalah. Saya bukan sahaja menulis lagu, tetapi juga menyanyi. Saya harap ia menjadi perkara biasa.
"Mungkin juga boleh menjadi satu budaya untuk artis mengadakan konsert dua atau tiga kali setahun. Ia juga bukan hanya berlaku di Kuala Lumpur, tetapi negeri lain. "Saya sendiri menyangkakan hanya beraksi untuk satu konsert sahaja, tahun ini. Tapi, apa salahnya jika saya tutup siri pertama dengan konsert kedua," katanya ditemui pada sesi latihan Konsert Cipta 2 yang diadakan di sebuah studio di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini. Berpengalaman mengadakan puluhan konsert dalam dan luar negara, sama ada berskala besar atau kecil, pemilik nama lengkap, Mohamad Nasir Mohamed, 67, itu berkata, dia akan cuba memberikan yang terbaik pada setiap persembahan supaya penonton terhibur. "Setiap kali membuat persembahan, saya tak pernah cuba untuk membandingkan dengan persembahan terdahulu. "Saya tak pernah terfikir sama ada konsert pertama bagus atau tak hingga perlu dibuat penambahbaikan. "Tapi, saya boleh rasakan keresahan penonton jika ada senarai lagu yang dinyanyikan mempunyai genre atau melodi sama. "Kalau nak kata kelemahan, mungkin boleh dianggap salah satu daripadanya dan saya akan cuba atasi dengan menyanyikan lagu yang lebih bervariasi. "Pun begitu, mana ada konsert yang boleh buat mood penonton kekal dua hingga tiga jam. Ada ketika momentum akan menurun juga," ujar penyanyi Mentera Semerah Padi ini.
Ditanya adakah sukar memilih senarai lagu yang ingin dipersembahkan, M Nasir berkata, kebanyakan lagu cukup dekat di hati peminat. "Sepanjang kerjaya, saya sudah menghasilkan pelbagai genre lagu. Untuk konsert ini, sudah tentu lagu popular dipilih mengikut kehendak yang ditentukan promoter. "Saya anggap ini adalah konsert popular. Kalau nak dengar lagu yang lebih serius, mungkin pada konsert lain," jelasnya. Mengenai pemilihan Kid sebagai pemuzik undangan, M Nasir mengakui, gitaris itu mempunyai aura tersendiri yang boleh mencuri perhatian peminat. "Suka hati akulah nak pilih Kid (ketawa). Selain petikan gitarnya pernah mengiringi kebanyakan lagu ciptaan saya, Kid juga boleh memberikan rasa kekaguman kepada penonton. "Saya tak ambil peduli jika ada beranggapan saya berhaluan kiri hanya kerana mengundang Kid menjayakan konsert. "Kalau ada yang nak jadikan isu, saya akan akan jawab, tapi tunggu selepas konsert tamat," katanya. Masih mengekalkan tema dalam setiap konsert, pemilik Ion Entertainment, Iman Tang berkata, penonton perlu hadir mengenakan celana denim biru dan baju putih seperti yang ditetapkan. "Untuk konsert Cipta pertama, kami memilih tema tradisional kerana saya tertarik dengan penampilan penonton yang hadir ke Konsert Gendang Pati di Singapura yang menggayakan busana Melayu lama. "Kalau negara moden seperti Singapura boleh mengekalkan tradisi kenapa di Malaysia tak boleh? "Untuk Konsert Cipta 2, kami memilih tema celana denim biru dan baju putih kerana mahu penonton lebih santai dan bersesuaian dengan lagu yang bakal dinyanyikan," ujarnya. Konsert Datuk M N45ir Cipta 2 bakal menyaksikan komposer yang mendapat jolokan Sifu itu menyanyikan lebih 30 lagu termasuk lagu penyanyi lain yang mendapat sentuhan emasnya daripada pelbagai genre muzik.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1309898/kid-jadi-pilihan-m-nasir
|