Suami isteri mengaku salah dera anak enam tahun
Suami isteri, Abd Razak Harun dan Syarifah Mat Yusof yang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan mendera anak mereka berusia enam tahun, minggu lalu. - Foto MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SUR
TAIPING: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan mendera anak mereka berusia enam tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Abd Razak Harun, 48, yang juga bapa kandung kanak-kanak itu dan Syarifah Mat Yusof, 33, ibu tiri kepada mangsa, mengaku bersalah di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim. Biarpun dengan pengakuan salah itu, hukuman terhadap mekanik dan suri rumah itu belum dijatuhkan oleh hakim sementara menunggu laporan perubatan mangsa siap. Mahkamah juga membenarkan Syarifah menjalani pemeriksaan psikiatri. Berdasarkan kertas pertuduhan, suami isteri itu dituduh secara bersama mendedahkan anak mereka itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal. Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Permai Ladang Kalumpang, Bagan Serai antara Februari hingga 10 Oktober lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Varpal Singh Sago. Yan Ni tidak menawarkan jaminan kerana dibimbangi mangsa akan dikacau ganggu oleh tertuduh memandangkan mereka tinggal serumah. Varpal memohon kedua-dua tertuduh masing-masing dijamin RM5,000 seorang berikutan tertuduh bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM2,200 sebulan serta menanggung empat anak, di mana seorang anak iaitu mangsa yang juga anak bongsunya tinggal bersama dengan Syarifah. Varpal turut berkata Syarifah selaku tertuduh kedua adalah penerima ubat bagi rawatan psikiatri secara bulanan di Hospital Parit Buntar kerana mengalami penyakit depresi atau kemurungan dan terdapat kemungkinan tertuduh melakukan kesalahan itu ketika tidak mengambil ubat. Yan Ni kemudiannya bersetuju supaya pemeriksaan dilakukan terhadap rekod perubatan kesihatan mental Syarifah bagi mengesahkannya, sebelum mahkamah turut menetapkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Ipoh mengikut Seksyen 342(2) Kanun Tatacara Jenayah. Hakim bagaimanapun tidak membenarkan Abd Razak selaku tertuduh pertama dijamin, selain menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu. Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri ditahan polis susulan kes penderaan membabitkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Ladang Kalumpang, Bagan Serai pada 10 Oktober lalu.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1311027/suami-isteri-mengaku-salah-dera-anak-enam-tahun
|