Antara kisah cinta tahun ini yang paling epik adalah kisah cinta bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan isterinya, seorang bekas model warga Rusia, Rihana Oksana Petra.
Kisah cinta mereka begitu misteri sampai ramai rakyat kebanyakan tak tahu apa-apa. Sedar-sedar terbongkar gambar kahwin mereka di Moscow yang mencetuskan pelbagai andaian.
SULTAN MUHAMMAD V BERSAMA ISTERINYA RIHANA OKSANA PETRA. GAMBAR: INSTAGRAM
Walaupun ketika Sultan Muhammad V turun takhta sebagai Agong, sebabnya tidak dinyatakan secara rasmi. Tapi, ramai je buat andaian mesti ada kaitan dengan pernikahannya dengan isterinya seorang warga Rusia itu.
Sebab selepas itu, mereka terbuka mendedahkan kisah hubungan mereka terutama di Instagram.
Rihana di Instagramnya menceritakan pertemuan pertama mereka berlaku pada musim bunga 2017 di Eropah. Pada pertemuan pertama itu, Sultan Muhammad V memperkenalkan dirinya sebagai Raja Malaysia. Rihanna tak ambil serius, merasakan baginda bergurau. Rupa-rupanya tidak.
Selepas itu mereka kerap berhubung guna telefon, tapi jarang berjumpa disebabkan jarak mereka jauh (Rihana di Rusia, Sultan Muhammad V di Malaysia) serta kerjayanya sebagai model yang ketika itu sedang meningkat naik.
Masalah berlaku bila Rihana dapat tawaran kontrak model di New York, makin jauh la mereka kan? Jadi, Sultan Muhammad memintanya tidak membuat sebarang keputusan sebelum berjumpa. Rihana datang ke Malaysia dan ketika itulah mereka memutuskan untuk berkahwin.
"Saya tidak akan melupakan malam yang amat romantis apabila bakal suami saya meluahkan perasaanya dan memberitahu yang dia telah jatuh cinta kepada saya pada kali pertama kami bertemu. Dia juga memberitahu yang dia amat menyenangi dengan saya dan ingin saya menjadi suri hatinya. Maka, itulah permulaan cerita cinta kami. Malaysia adalah tanah tumpah anak saya dan dengan adanya anak ini, saya tahu saya telah membuat pilihan yang amat tepat. Alhamdulillah," tulisnya di Instagram.
Kini, pasangan itu bahagia dengan seorang putera lahir pada 21 Mei lalu diberi nama- Tengku Ismail Leon Petra Bin Tengku Muhammad V Faris Petra.
Semoga mereka berdua hidup bahagia sampai ke syurga. - CARI
|