Ramai netizen mentafsirkan hantaran mengenai maksud dan gambar-gambar rumah paku dalam laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan mempunyai kaitan dengan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kredit foto: Facebook & Carian Google
Gara-gara hantaran tentang 'rumah paku', laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan teruk dikecam netizen yang mengaitkan perkara itu dengan unsur sindiran terhadap pemilik-pemilik tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Dalam hantaran yang telah dipadamkan itu, tertera ayat yang berbunyi: "Rumah paku = Rumah yang enggan dirobohkan pemiliknya di tengah-tengah projek pembangunan."
Turut dipaparkan adalah empat gambar sebagai contoh rumah paku dipercayai di luar negara yang masih tersergam walaupun dikelilingi pembangunan yang pesat.
Berikutan kecaman yang diterima, pengendali laman Facebook berkenaan meminta maaf dan berharap isu tersebut tidak dipanjang-panjangkan lagi.
"osting tersebut tidak berniat apa-apa," katanya melalui status dalam laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan pada 23 September.
Permohonan maaf oleh pengendali laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan. Kredit foto: Facebook
Namun, permohonan maaf tersebut tidak berupaya menghentikan netizen daripada meneruskan kecaman mereka terhadap pengendali laman Facebook terbabit.
Mereka mempersoalkan apa motif di sebalik tindakan pengendali menyiarkan status sedemikian kerana ia hanya mengundang pelbagai spekulasi selepas majlis perjumpaan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad baru-baru ini.
Khalid Abdul Samad (dua dari kanan) dalam majlis perjumpaan dengan pewaris dan pemilik tanah Kampung Baru di Kuala Lumpur. Kredit foto: Facebook
Lebih-lebih lagi, sesi dialog antara Khalid dan pemilik serta pewaris tanah Kampung Baru dikatakan berlangsung dalam suasana agak panas manakala, orang ramai menyifatkan tawaran harga RM850 sekaki persegi oleh kerajaan adalah agak rendah.
Justeru, netizen meminta agar laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan hanya menumpukan kepada aktiviti penyaluran maklumat yang bermanfaat kepada warga kota dan bukannya dijadikan saluran untuk menyindir pihak tertentu atau berpolitik.
Reaksi netizen. Kredit foto: Facebook
Betul juga cakap para netizen, biarlah laman Facebook rasmi kementerian atau agensi-agensi kerajaan kekal dengan peranannya sebagai saluran penyampaian maklumat kepada rakyat. - CARI |