|
Jac ke Asian Idol?
Jac ke Asian Idol?
15-08-2007 12:47:29 PM
oleh WAHIDA ASRANI | Setelah IKON Asean melabuhkan tirainya baru-baru ini, juara IKON Malaysia, Jaclyn Victor 'dikhabarkan' akan mewakili negara ke sebuah lagi pertandingan nyanyian, Asian Idol yang dijangka akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Jac yang merupakan juara Malaysian Idol musim pertama itu berkemungkinan akan dipilih ke acara berprestij itu, namun semuanya masih di dalam perancangan lagi.
"Sebenarnya ketika di IKON Asean hari itu, Judika (naib juara Indonesian Idol) ada beritahu tentang Asian Idol akan diadakan nanti. Saya memang sangat gembira bila dapat tahu tentang perkara itu.
| Jac (Foto The Star oleh Ong Soon Hin) | "Tetapi, saya masih belum dapat kepastian lagi. Ada yang cakap mereka akan membawa pemenang tahun lalu. Jadi saya mungkin tidak berpeluang kerana saya menang Malaysian Idol untuk musim pertama pada tahun 2004.
"Buat masa ini. saya sendiri tidak pasti bagaimana, jadi saya tidak boleh menceritakan dengan lebih lanjut.
"Itu semua kena tanya pada pihak yang terbabit," ujar Jac pada majlis pelancaran album Inilah Jac (edisi terhad) di Planet Hollywood, semalam.
Dalam pada itu, mengulas lagi tentang kekalahannya pada IKON Asean yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu, Jac berkata, penglibatannya di dalam acara tersebut adalah satu pengalaman yang cukup bernilai buat dirinya.
Justeru, walaupun tewas di tangan IKON Filipina, Vina Morales, dan sekaligus gagal merangkul gelaran IKON Asean, dia sama sekali tidak mudah putus asa malah menganggap itu adalah rezeki masing-masing.
Penyanyi itu juga 'dikritik' oleh salah seorang juri di IKON Asean, Hetty Koes Endang yang mengatakan kekalahan Jac berpunca kerana membawakan lagu medley serta gaya penggunaan mikrofon yang kurang 'cantik'.
"Bagi saya, malam itu Vina dan Judika amat hebat. Walaupun kalah, tidak semestinya ia bermaksud tidak bagus.
"Hetty sendiri ada beritahu saya, dia beri markah penuh pada setiap segmen persembahan saya malam itu. Tapi, dia kesal kerana saya bawakan medley.
"Dia cuma cakap dia minta maaf sebab tidak dapat tolong saya malam itu, kerana keputusan bukan di tangannya seorang.
"Tidak mengapalah. At least, dengan penyertaan saya dalam IKON ini, orang sudah | Jac | mula kenal siapa saya.
"Malah, malam tersebut, Timbalan Pengerusi Persatuan Industri Muzik Asean, Arnell Affendi sendiri bertanya pada saya jika saya mahukan mana-mana lagu dari komposer tertentu, seperti Ahmad Dhani (Dewa 19) dan sebagainya, dia akan carikan untuk saya," kata Jac.
Inilah Jac 'repackage'
Album keduanya, Inilah Jac sememangnya memberi tuah buat penyanyi itu apabila menerusi album tersebut, dia berjaya merangkul anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) di AIM14 pada April lalu, sekaligus menewaskan Datuk Siti Nurhaliza yang memegang 'takhta' itu selama lapan tahun berturut-turut.
Album yang telah pun berada di pasaran sejak Ogos tahun lalu itu mempertaruhkan nama-nama besar seperti Azlan Abu Hassan, Aidit Alfian, Ross Ariffin dan Audi Mok.
Terbaru, Jac muncul dengan Inilah Jac (Edisi Terhad) pula, yang merupakan 'repackage' dari album keduanya itu bersama syarikat rakaman Sony BMG Music Entertainment.
Masih menampilkan lagu-lagu yang sama, album 'repackage' ini turut memuatkan lagu bonus, Satu Harapan berserta minus one dan juga di dalam versi bahasa Inggeris berjudul I Hope.
"Kita 'repackage' semula Inilah Jac kerana bilangan unit album yang dikeluarkan dulu agak terhad. Jadi, daripada orang download dari Internet dan sebagainya, lebih baik hasilkan album edisi terhad seperti ini," jelas Jac.
Bersempena dengan pelancaran album edisi terhad itu, Jac juga akan mengadakan showcase khas, 'Malam Gemilang Jaclyn Victor' di Planet Hollywood pada 2 September depan di mana penyanyi ini dijangka akan menghiburkan peminat-peminatnya selama 45 minit.
Jac akan menyanyikan rangkaian lagu-lagu popularnya dan muzik malam itu akan dipimpin oleh pemuzik terkenal, Acis.
|
|
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|