PAFA tak cukup dana - Nizar
IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pemain skuad Seladang dalam Liga Super musim lalu.
Sehubungan itu, Presiden Pafa, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, persatuan itu mengambil masa yang lebih panjang untuk mendapatkan sumber dana bagi melunaskannya.
PAFA gagal membayar gaji para pemainnya selama empat bulan yang berjumlah antara RM6,000 hingga RM60,000 bagi setiap pemain.
Selain itu, bekas jurulatih, Steve Darby turut mendakwa persatuan tersebut gagal melunaskan gajinya sebanyak RM120,000.
''PAFA yang berdepan dengan masalah kewangan tidak mampu untuk melunaskan tunggakan tersebut dalam masa terdekat ini," jelas Nizar selepas menerima tajaan dari sebuah syarikat sukan di Ipoh semalam.
Namun begitu katanya, persatuan tersebut tetap komited untuk melunaskan semua tunggakan gaji berkenaan pada masa akan datang.
''Saya meminta para pemain yang terlibat itu bersabar bagi membolehkan PAFA mendapatkan dana yang mencukupi kelak," tambah Presiden PAFA itu.
Tindakan PAFA melewatkan pembayaran tunggakan gaji itu mungkin akan membawa kepada tindakan mahkamah oleh bekas-bekas pemain berkenaan.
''Terpulanglah kepada mereka dan Darby untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap PAFA kerana ianya melibatkan pihak pengurusan yang lalu," dakwa Nizar yang juga Menteri Besar Perak.
Beliau menjelaskan bahawa dana yang terdapat dalam kantung PAFA hanya mencukupi membiayai skuad Seladang pada musim ini.
''PAFA lebih cenderung untuk menjaga kebajikan para pemain musim ini, sebelum bertindak menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain musim lalu," tegasnya.
Oleh itu, Nizar tidak mahu masalah gaji musim lalu berjangkit kepada skuad yang dibimbing oleh M. Karathu agar semangat pemain tidak luntur untuk mengharungi perlawanan seterusnya.
Beliau berazam memastikan semua pemain dan kakitangan PAFA pada tahun ini akan menerima gaji pada 25 haribulan bagi setiap bulan.
Selain itu, Menteri Besar Perak itu juga akan memastikan segala caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso dilunaskan setiap bulan