|
Cinta terlerai
Oleh MURSHID EUNOS
[email protected]
2010/03/28
KOSONG dan sepi. Tidak tercapai akal untuk menggambarkan perasaan ini. Jiwanya kesunyian meskipun perjalanan kerjayanya mendaki puncak. Kini, tiada lagi teman setia yang mendengar rintihan hatinya.
Selepas Akademi Fantasia (AF), popularitinya berpanjangan dengan single Ada Untukmu dan bersambung pula menerusi lagu Seadanya Aku ciptaan Sharon Paul.
Tidak hanya itu, jejaka kelahiran Kuala Pilah ini turut mendapat ruang lakonan untuk watak antagonis, Sapi bagi filem Lagenda Budak Setan.
Bagaimanapun, segala kegembiraan itu belum cukup mendatangkan senyum panjang buatnya. Rentetan kisah cintanya yang tergendala di tengah jalan benar-benar mengusik jiwanya. Hubungannya dengan Stacy bukan lagi rahsia. Cinta mereka mula berputik dari dalam AF lagi, namun kemesraannya hanya jelas terpancar sebaik kedua-duanya melangkah ke dunia seni.
Entah mana silapnya, kisah mesranya dengan bekas juara AF7 itu tiba-tiba berdepan noktah. Selepas hampir setahun berkongsi kasih, akhirnya mereka bersetuju membawa haluan masing-masing.
Tidak mahu menyalahkan sesiapa, Nubhan akur dengan ketentuan-Nya. Malah, jejaka tinggi lampai ini turut mengakui usianya terlalu muda untuk benar-benar menguruskan sebuah hubungan. Masih belum matang dan hanya mengikut kata hati jelas menjadi teraju utama setiap kali berdepan dugaan.
“Saya lelaki yang sukakan saat-saat indah dengan insan tersayang. Ketawa bersama dan berbual mengenai apa saja yang saya lakukan. Namun apabila kembali sendirian, ia jelas menjadikan saya sunyi.
“Mungkin ini lumrah apabila kita putus cinta atau ditinggalkan seseorang, namun untuk saya berasa menyesal atau kecewa, tidak guna lagi.
“Bukan soal ego atau cuba menafikan perasaan, sebaliknya saya tidak mahu perasaan itu mengganggu fokus saya. Untuk apa saya terus merintih hanya kerana soal cinta? Kerjaya adalah keutamaan.
“Nawaitu saya sejurus diterima masuk ke AF dulu untuk mencipta nama sebagai penyanyi, bukan mencari teman hidup. Rasa cinta yang datang hanya satu perasaan yang menyuntik semangat, namun siapalah saya untuk menentukan percaturannya.
“Sebenarnya saya baru dapat bernafas selepas bertarung hidup dengan masalah peribadi yang sangat membebankan. Tidak perlu saya ceritakan kerana ia mungkin memberi kesan negatif kepada saya semula kemudian hari.
“Namun yang boleh saya gambarkan, cukuplah dugaan itu datang sekali kerana saya takut untuk berdepan dengannya lagi,” katanya.
Mengakui rasa cinta itu sangat penting dalam hidup seseorang, jejaka berusia 24 tahun ini tidak hanya mengejar pada yang tidak pasti, sebaliknya kini dirinya memandang lebih jauh untuk membina nama yang baik dalam hidupnya.
Graduan jurusan pelancongan dari Kolej Komuniti Hulu Selangor ini turut menjelaskan, bukan perselisihan faham menjadi punca cintanya terputus, namun kerana faktor kesuntukan masa dan tiada ruang untuk berbincang.
Enggan lagi mengulas lebih lanjut berkenaan episod dukanya, Nubhan kini bersedia untuk berdepan rangka kerjayanya yang semakin menyerlah.
Penyanyi yang kini selesa di bawah pengurusan Artiste United Records Sdn Bhd ini turut gembira menceritakan mengenai albumnya yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi.
“Alhamdulillah kerjaya saya semakin baik dan masa banyak dihabiskan kepada urusan kerja. Justeru saya tidak sempat untuk memikirkan soal perasaan saya. Sekarang saya sibuk mempromosi single terbaru, Oh Juwita.
“Oleh itu, saya tidak terfikir untuk bercinta semula dalam masa terdekat. Bukan senang untuk kita kenal hati budi seseorang,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran program Xpresi Kembara terbitan RTM di Kuala Selangor baru-baru ini.
x pe la.. sabar je. masing2 muda... kalo de jodoh x kemana |
|