KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd. Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong mengekalkan aksi cemerlang pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters apabila meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto Prefectural hari ini, pasangan No.40 dunia itu memberikan sepenuh fokus dalam dua set permainan sebelum mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-19.
Kemenangan itu sekali gus memastikan mereka meneruskan aksi sempurna pada kejohanan Jelajah Dunia Super 500 berkenaan selepas turut menyingkirkan rakan senegara yang juga juara Terbuka China, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan kedua semalam.Wee Kiong yang merupakan bekas beregu lelaki No.1 dunia menyuarakan rasa puas dengan kejayaan mereka melangkah ke separuh akhir, terutamanya apabila dia dan Azriyn turun sebagai beregu bukan pilihan.
“Hari ini (semalam) memang kita rasa gembira dan puas hati dengan aksi ditampilkan sepanjang perlawanan. Kami dapat menjalankan perancangan yang dibuat tanpa berdepan banyak masalah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, ia merupakan separuh akhir keempat buat Azriyn-Wee Kiong sepanjang saingan musim ini selepas turut melakukannya pada Kaohsiung Masters, Terbuka Macau dan Indonesia Masters II.
Menjelang aksi separuh akhir esok, mereka dijangka berdepan cabaran sukar apabila dijadualkan berdepan beregu tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang merupakan pilihan keenam kejohanan.
Turut mengiringi Azriyn-Wee Kiong ke separuh akhir adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menyingkirkan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dengan kemenangan 21-16, 21-13.
Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia gagal meneruskan kemaraan apabila tewas menerusi aksi tiga set 21-12, 18-21, 18-21 kepada Jonatan Christie dari Indonesia. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/11/15/kumamoto-masters-azriyn-wee-kiong-terus-cipta-kejutan/