Populariti mendadak Jambu
Kumpulan Jambu disertai oleh juara Raja Lawak musim pertama, iaitu Yusry Edoo (Yus), 35, dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) 35, pemenang tempat keempat.
Sepanjang program Maharaja Lawak, kedua-dua mereka cukup sinonim dengan pakaian berwarna merah jambu. Kata mereka, warna merah jambu sengaja dipilih untuk imej dalam program Maharaja Lawak.
"Di atas pentas sahaja kami pakai baju warna merah jambu dan berkelip-kelip, di luar kami macam biasa," kata Taukeh.
Melangkah kaki ke pentas Maharaja Lawak, Taukeh dan Yus sedar yang kumpulan Jambu bukanlah kumpulan kegemaran penonton pada peringkat awal.
Mereka juga sedar, persaingan cukup sengit tambahan terpaksa bersaing dengan pelawak popular seperti Nabil, Jozan dan kumpulan Sepah.
"Kami masuk dalam program ini kerana selain menghiburkan penonton tidak secara langsung ia juga dapat menonjolkan diri kami yang sebelum ini mungkin orang tidak kenal.
"Dapat bersaing dengan mereka yang sudah ada nama, satu penghormatan buat kami. Walaupun kami bermula sebagai bukan pilihan ramai, kami sentiasa positif dan menghormati pentas Maharaja Lawak," jawab Taukeh.
Tambahnya lagi, walaupun wang kemenangan yang ditawarkan cukup lumayan iaitu RM300,000 jika bergelar juara, bukan itu yang dikejar oleh Jambu. Bagi mereka, gelak tawa penonton yang mengiringi persembahan mereka merupakan hadiah terbesar.
"Apabila penonton terhibur dengan persembahan kami, itu sudah cukup untuk membuatkan kami gembira. Tetapi kalau menang, Alhamdulillah, itu satu bonus," tutur Taukeh lagi.
Yus yang duduk di sebelahnya mencelah, semua peserta yang terlibat dalam program Maharaja Lawak merupakan juara kerana mereka semua bekerja keras untuk memberi yang terbaik buat penonton.
"Bukan senang apa yang kami buat di atas pentas, jika dulu dalam program Raja Lawak, kami di beri tunjuk ajar tetapi dalam Maharaja Lawak semuanya harus dibikin sendiri.
"Bermula daripada idea dan persembahan, semuanya harus dilakukan sendiri, memang agak sukar, tetapi itulah cabaran yang harus dilalui dan ia juga menguji tahap lawak kami. Kalau orang gelak maknanya kami berjaya," kata Yus.
Menariknya, sejak muncul dalam Maharaja Lawak, kumpulan Jambu sudah mempunyai kelab peminatnya sendiri.
"Kami agak terkejut pada mulanya apabila diberitahu yang kami sudah ada kelab peminat sendiri dan orang yang menguruskan kelab peminat itu meminta izin daripada kami.
"Dalam hati tertanya-tanya popularkah kami? Tetapi apa salahnya untuk ada kelab peminat sebab yang mewujudkan kelab itu merupakan peminat kumpulan Jambu. Kewujudan kami sampai hari ini pun kerana mereka dan orang ramai yang terhibur dengan persembahan kami," luah Taukeh sambil dipersetujui oleh Yus.