'Kebebasan bersuara bukan alat pertahan kezaliman, rasuah, penyelewengan'
Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjawab soalan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 yang diadakan di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana pihak termasuk media terkecuali daripada menjaga hak kebebasan bersuara demi menjamin kerukunan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri antara lain mahu supaya kebebasan berkenaan tidak menjadi instrumen untuk mempertahankan kezaliman, rasuah mahupun penyelewengan. Beliau berkata, kematangan politik dan demokrasi juga perlu membawa negara kepada keadaan lebih bebas dan memberi ruang secara serta ke arah yang positif. Anwar yang juga Menteri Kewangan turut bersetuju sekiranya sekatan dikenakan demi mengelak daripada berlakunya kekacauan, huru-hara atau porak-peranda.
"Saya ketika di Forum Megatrends Khazanah baru-baru ini, ada menyebut, sementara kita menghormati prinsip kebebasan, ia perlu dipertahankan. "Namun, kita harus ingat ini ada kaitan dengan soal nilai dan akhlak Islam, iaitu 'total freedom for the wolves means death for the lambs'. Kalau kebebasan penuh untuk serigala, maknanya hancur kambing dibelasah. "Kebebasan perlu dilihat, adakah digunakan sepertimana orang kaya kalau dihadapkan atau disiasat umpamanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (adakah) mereka akan guna dana, sama ada membantu pihak tertentu dan membawa pelbagai bantahan. "Namun, apabila polis ambil RM3,000 dia didakwa, tetapi tiada siapa mempertahankan (dia). Namun, kalau tauke kaya berbilion, bila kaut kekayaan begitu besar, ramai yang pertahankannya. Ini yang saya sebutkan 'total freedom for the wolves'," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mengenai tindakan kerajaan tanpa mengancam hak kebebasan bersuara dan media untuk menyampaikan fakta, terutama tindakan kerajaan dan negara.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1311039/kebebasan-bersuara-bukan-alat-pertahan-kezaliman-rasuah
|