PETALING JAYA – Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan sangat lebat sepanjang hari ini dan berada dalam kategori bahaya.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, semua daerah di Kelantan dan Terengganu berdepan cuaca buruk itu sekali gus menjadikan situasi banjir lebih teruk.
“Di Pahang, Jerantut dan Kuantan disenaraikan sebagai kawasan berisiko alami hujan sangat lebat secara berterusan,” jelasnya.
Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amatan hujan beterusan tahap buruk di negeri Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin).
“Amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar) serta Pahang (Raub, Bentong, Temerloh dan Bera).
“Turut berada dalam senarai adalah Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi) serta Sabah melibatkan Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/11/29/pantai-timur-berdepan-hujan-sangat-lebat-sepanjang-hari-ini/