SETIU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana walaupun mangsa banjir di seluruh negara setakat ini sudah mencecah lebih 150,000 orang.
Beliau berkata, pengurusan banjir di 10 negeri terjejas berkenaan telah ditangani dengan baik oleh agensi kerajaan terlibat.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak memikirkan keperluan (darurat bencana) itu.“Seluruh jentera keselamatan (seperti) Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah nampak menangani masalah dengan baik,” katanya selepas meninjau situasi banjir di daerah ini hari ini.
Beliau menyantuni mangsa-mangsa banjir yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan dan SK Mangkok di sini.
Episod luruan hujan tahap bahaya yang melanda negara khususnya Pantai Timur sejak 26 November lalu telah menjejaskan 10 negeri.
Banjir gelombang pertama terbabit diburukkan lagi oleh fenomena air pasang besar yang melanda perairan negara beberapa hari lalu.
Kelantan dan Terengganu paling teruk terjejas dengan mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini mencecah melebihi 137,000 orang.
Selain itu dua, negeri Pantai Timur tersebut, lapan negeri lain yang turut terjejas banjir ialah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/12/01/tiada-keperluan-isytihar-darurat-banjir/