|
Dua remaja lemas
Oleh Junita Mat Rasid
MUAR: Kegembiraan sekumpulan remaja mandi sambil mencari udang dan kupang, di pintu air Pengkalan Nelayan Parit Karang Laut, dekat sini, semalam berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, enam remaja lelaki dikatakan mandi di pintu air itu tetapi arus kuat dan air pasang menyebabkan dua daripada mereka lemas.
Kedua-dua mangsa yang tinggal di Kampung Tanjung Gading, pergi ke pengkalan nelayan itu yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka dengan menunggang basikal.
Mayat Muhammad Fahiz Shamsul Kamal, 14, ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh bapanya yang turut menyertai penduduk kampung mencari mangsa sementara mayat Mohd Najib Senin, 12, pula ditemui kira-kira jam 2.30 petang.
Lebih menyayat hati, Mohd Najib meninggal dunia genap seminggu selepas bapanya, Senin Sabri, meninggal dunia akibat serangan jantung, Isnin, minggu lalu.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga masing-masing.
Adik Muhammad Fahiz, Faizal, 11, yang turut mandi bersama abangnya, berkata beliau bersama abangnya yang mesra dengan panggilan Along dan empat lagi rakan mereka termasuk Mohd Najib pergi ke pengkalan nelayan itu untuk mandi sambil mencari udang dan kupang.
Faizal yang juga dikenali dengan panggilan Angah berkata, mereka turut menggunakan sauk untuk mencari udang kecil dan kupang di kawasan itu yang turut menempatkan bot nelayan.
"Semalam (kelmarin) pun, kami pergi ke pangkalan itu dan mendapat banyak udang yang dibuat umpan memancing selain dijadikan lauk menyebabkan hari ini (semalam) kami pergi lagi untuk mencari udang," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Faizal berkata, beliau bersama rakan yang lain mandi di tepi sambil mencari kupang tetapi Along dan Mohd Najib mandi di kawasan tengah yang agak dalam.
Beliau berkata, mereka tidak menyedari Along dan Mohd Najib lemas kerana sedang asyik mandi.
"Saya ingatkan Along sedang menyelam dan hanya tahu dia lemas apabila tiba-tiba Mohd Najib menjerit meminta tolong sambil badannya tenggelam timbul dan pada masa itu Along turut tidak kelihatan," katanya.
Faizal berkata, mereka kemudian meminta pertolongan daripada beberapa penduduk yang berada di pengkalan itu sebelum balik ke rumah untuk memberitahu bapanya.
Sementara itu, bapa Faizal, Shamsul Kamal Shamsuddin, 42, berkata beliau turut menyelam untuk mencari kedua-dua mangsa dan tidak menyangka beliau sendiri yang menemui mayat anaknya.
"Selepas diberitahu bahawa Along lemas, saya terus datang ke pengkalan ini dan turut menyelam mencari Along. Selepas menyelam beberapa kali saya tersentuh kepala dan dengan bantuan penduduk berjaya mengeluarkan Along.
"Saya tidak menyangka Along lemas... saya cuba membantu dengan menekan badannya dan melihat air keluar daripada mulut dan telinga Along... kalaulah Along ditemui awal, pasti dia masih boleh diselamatkan," katanya.
Sementara itu, ibu Mohd Najib, Rogayah Yusof, 42, yang turut berada di pengkalan itu, hampir pengsan apabila melihat pasukan penyelamat membawa keluar mayat anaknya.
"Mak reda, mak akan sabar. Ya Allah kuatkan semangat ku menghadapi dugaan ini," rintih Rogayah ketika melihat jenazah anaknya di tepi pengkalan itu.
Kira-kira 10 minit sebelum mayat Mohd Najib dijumpai, Rogayah dilihat mundar mandir di pangkalan itu dengan turut berdoa supaya mayat anaknya ditemui segera.
Rogayah ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka anaknya pergi ke pengkalan itu untuk mandi.
"Najib tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma beliau mengadu sakit perut selepas bersarapan pagi dan saya tidak menyangka beliau keluar rumah," katanya.
Katanya, selepas bersarapan, beliau ke Pagoh menemani kawannya dan sewaktu di sana beliau menerima panggilan telefon mengenai kejadian yang menimpa anaknya.
Takziah pd mereka...
[ Last edited by kodoklawa at 27-11-2007 07:45 AM ] |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|