Fazura bintangi Ayat-Ayat Cinta 2
KUALA LUMPUR: Aktres terkenal, Nur Fazura Sharifuddin, 33, dipilih membintangi filem Ayat-Ayat Cinta 2, yang bakal memulakan penggambarannya dalam masa terdekat.
Filem arahan Guntur Soeharjanto itu juga menampilkan Dewi Sandra dan Chelsea Islan, selain mengekalkan pelakon asal, Fedi Nuril, yang memegang watak Fahri.
"Saya menerima tawaran untuk berlakon dalam filem ini sekitar April lalu. Saya memang meminati filem Ayat-Ayat Cinta dan sudah banyak kali menontonnya.
"Tidak sangka, saya berpeluang untuk berlakon dalam judul susulannya. Menerusi filem kedua ini, saya melakonkan watak Brenda.
Aktres terkenal, Nur Fazura Sharifuddin sewaktu pelancaran X1 Lite di Le Meridien, Jalan Stesen Sentral 2. - Foto NSTP/Shiraz
"Saya sangat teruja dengan tawaran yang dihulurkan dan bersyukur kerana bakat lakonan saya semakin diterima di Indonesia. Inilah filem keempat saya di sana.
"Hari ini, saya akan berlepas ke Jakarta untuk sesi bacaan skrip filem berkenaan," katanya kepada BH Online.
Sebagai persediaan menjayakan watak berkenaan, pelakon dan penyanyi yang baru muncul dengan dua single, berjudul Bangun dan Bisa Apa ini, banyak bergantung pada sesi latihan.
"Pengalaman berlakon dengan produksi Indonesia sebelum ini, yang banyak memberi penekanan dari segi bacaan skrip dan latihan yang kerap, banyak membantu saya untuk menghayati sesebuah watak.
"Apabila kita kerap berlatih, secara tidak langsung ia memberi peluang untuk kita mencipta keserasian dengan pelakon lain, sekali gus melancarkan sesi penggambaran," katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran supertelefilem berjudul Wanita Terindah.
Filem terbitan MD Pictures itu akan menjalani penggambaran di sekitar Jakarta, Indonesia dan Scotland.
|