Hot Daddy, 2 kenalan wanita kena waran tangkap
Hasli Ikhwan Arif (kanan) atau lebih dikenali ‘Hot Daddy’ ketika hadir untuk satu prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei lalu. NSTP/ Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang lelaki bersama dua kenalan wanitanya yang didakwa merakam aksi hubungan intim dan menjualnya melalui aplikasi X. Hakim Siti Shakirah Mohtarudin mengeluarkan waran tangkap itu terhadap Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, atau lebih dikenali sebagai 'Hot Daddy', selain Norshazrina Md Zamri, 27 dan Norhidayah Mahadi, 24, selepas masing-masing gagal hadir pada prosiding kes jenayah dihadapi mereka. Ketiga-tiga mereka tidak kelihatan di mahkamah walaupun nama dipanggil berulang kali sewaktu prosiding bermula jam 9 pagi, yang kemudian ditangguhkan dua jam kemudian. Bagaimanapun, sehingga jam 11 pagi, ketiga-tiga mereka termasuk penjamin masih tidak muncul, sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap semua tertuduh.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Hakim Suzana Hussin turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Norshazrina, yang didakwa memiliki bahan lucah. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 8 November ini. Peguam bela tertuduh, Muhammad Faris Abrar Othman ketika ditemui pemberita selepas prosiding memaklumkan sudah menghubungi anak guamnya semalam untuk memaklumkan mengenai prosiding mahkamah hari ini. Bagaimanapun, katanya, mereka tidak dapat dihubungi dan tidak menjawab panggilan telefon. "Saya menghubungi mereka semula hari ini tetapi mereka tidak dapat dihubungi. Ada nada dering, tetapi tidak dijawab," katanya. Pada 26 Januari lalu, tiga tertuduh itu dituduh mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1307841/hot-daddy-2-kenalan-wanita-kena-waran-tangkap
|