NUR Mashitoh ketika menterbalikkan tayar seberat 250kg dalam kejohanan ‘strongwomen’.
BERTUBUH genit dengan berat badan kira-kira 50 kilogram (kg) bukan penghalang buat Nur Mashitoh Mukhtar, 30, mencabar diri dalam dunia sukan lasak yang dikenali sebagai sukan 'strongwomen' dan 'crossfit'.
Melihat foto yang dikirimkan anak kelahiran Terengganu ini membuatkan penulis teruja untuk mendekati dan mengenalinya dengan lebih dekat terutama membabitkan sukan yang diminatinya.
Lebih mesra disapa Ctos, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata ini mula menceburkan diri dalam sukan berkenaan pada 2018 ketika menjalani latihan industri di Institut Sukan Negara (ISN) sebagai juruterapi sukan.
Jelasnya, sebagai pelajar yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mempunyai pengkhususan dalam rehabilitasi sukan, dia perlu menjalankan latihan industri di ISN untuk membantu merawat atlet kebangsaan.
"Ketika itu, sambil menjalani latihan industri saya mencuba untuk latihan angkat berat atau dikenali sebagai 'deadlift.' Apabila mencubanya saya berasakan ada keupayaan melakukan pelbagai jenis 'deadlift' antaranya 'conventional,' 'squad,' 'snatch' dan 'stiff legged.'
Dipendekkan cerita ada seorang kawan yang melihat kemampuan saya dan mengajak menyertai 'strongwomen' yang sebenarnya saya sendiri tidak mengetahui mengenai sukan itu memandangkan ia masih baharu di Malaysia," katanya. Tambahnya, apabila melihat kejohanan itu dia sendiri tidak berani mencubanya pada peringkat awal kerana membabitkan kemampuan mengangkat bebanan yang begitu tinggi.
|