Ketegangan memuncak di Lubnan, kakitangan kedutaan Malaysia diarah pulang
Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob
KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Lubnan dan semua kakitangan kedutaan diarahkan pulang ke tanah air selewat-lewatnya Ahad susulan ketegangan yang semakin meruncing di Asia Barat.
Perkara itu disahkan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob hari ini yang memberitahu empat pegawai kerajaan akan meninggalkan Lubnan pada Ahad dan Isnin. Beliau berkata, seramai 22 rakyat Malaysia sudah dikeluarkan sejak awal bulan ini. "Kini hanya tinggal seorang rakyat Malaysia iaitu wakil dari Mercy Malaysia akan pulang esok.
"Bagi fasa kedua evakuasi itu akan membabitkan empat pegawai kedutaan iaitu saya, Setiausaha Pertama, Setiausaha Kedua dan Setiausaha Pejabat dengan dua sudah mendapat tiket penerbangan," katanya kepada BH, hari ini. BH sebelum ini melaporkan lima rakyat Malaysia di Lubnan tiba di tanah air pada 3 Oktober lalu dengan sebuah pesawat komersial dan terdapat 16 individu sedang menunggu untuk dihantar pulang ke ke tanah air dengan semuanya berkeluarga dan menetap di Lubnan
Mengulas lanjut, Azri berkata, proses evakuasi selari arahan kerajaan pada 2 Oktober lalu yang mahu semua rakyat Malaysia dibawa keluar dari Lubnan dengan segera. "Kementerian Luar mengarahkan semua pegawai Home Based Staff (HBS) pulang ke Malaysia. Arahan itu dikeluarkan selepas mengambil kira konflik yang semakin meruncing dan tiada jaminan daripada kerajaan Lubnan terhadap keselamatan HBS. Dalam pada itu, beliau menasihatkan kumpulan sukarelawan yang berhasrat ke Lubnan supaya menangguhkan sementara perjalanan mereka sehingga keadaan kembali reda dan selamat. "Ia susulan keadaan di Lubnan semakin meruncing. Kementerian Luar Negeri telah mengeluarkan beberapa kenyataan akhbar, antara lain meminta rakyat Malaysia yang ingin ke Lubnan untuk menangguhkan sementara perjalanan mereka sehingga keadaan kembali reda dan selamat. "Ini demi memastikan tiada rakyat Malaysia terbabit dan terperangkap di dalam konflik itu. Proses evakuasi beberapa rakyat Malaysia baru saja selesai. "Selain itu, terdapat beberapa kaedah lain bagi Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Lubnan tanpa berada secara fizikal di negara itu," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309532/ketegangan-memuncak-di-lubnan-kakitangan-kedutaan-malaysia-diarah
|