|
Kereta terperosok bawah loriOleh Irwan Shafrizan Ismail dan Roselan Abdul Malek
[email protected]KUANTAN: Tiga beranak terbunuh, manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan terperosok di bawah lori balak tanpa muatan di Kilometer 24, Kampung Kerambit, Jalan Lipis-Jerantut, dekat Kuala Lipis, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, tiga mangsa yang meninggal di tempat kejadian ialah Yunus Mat Ajab, 68, yang juga Ketua Kampung Ulu Teris, Kuala Lipis, isterinya, Rosni Che Bidin, 35, dan anak sulungnya, Li, 47, yang memandu kereta Proton Iswara.
Mangsa yang cedera parah ialah Ahmad Yusof Khamis, 53, yang juga saudara kepada Yunus, dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di Temerloh manakala anak keempat Yunus, Nazri, 36, dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Lipis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata keluarga terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke Lipis selepas menziarahi abang ipar Yunus di Paya Pulai, Temerloh, yang meninggal dunia kelmarin.
Beliau berkata, sebaik tiba di laluan berkenaan yang sempit, sebuah lori balak dipercayai memasuki laluan di sebelah sebelum kereta dipandu Li cuba mengelak daripada bertembung dengan lori terbabit.
"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan keadaan jalan yang sempit menyebabkan lori termakan laluan dan tidak sempat menekan brek.
"Keadaan jalan yang licin dan cuaca gelap juga menyebabkan kereta berkenaan gagal dikawal lalu terbabas sebelum terperosok bawah lori berkenaan menyebabkan bumbung dan pintu kereta tercabut," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat Lipis mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang remuk.
"Tiga mangsa yang terbunuh di tempat kejadian dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga pada jam 6 pagi semalam," katanya.
Beliau berkata, pihaknya merekodkan keterangan pemandu lori, Azman Abdullah, 39, berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kita juga sudah membuat ujian air kencing ke atas pemandu lori dan keputusannya adalah negatif. Lelaki berkenaan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.
Sementara itu, anak kedua Yunus, Natirah, 45, yang ditemui di Kampung Ulu Teris berkata, bapa, ibu tiri dan adik beradiknya tiba di Paya Pulai pada jam 9.40 malam dan meluangkan masa seketika sebelum pulang ke Lipis. |
|