Muzium Hang Tuah guna teknologi AI papar kisah pahlawan legenda Melaka
Muzium Hang Tuah mula dibuka semula 1 Oktober lalu selepas setahun ditutup bagi kerja naik taraf kompleks Hang Tuah Centre. - BERNAMA
MELAKA: Muzium Hang Tuah yang terletak di Hang Tuah Centre di Duyong, di sini, mencipta sejarah menjadi muzium pertama di Malaysia guna teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memaparkan kisah pahlawan legenda itu. Kurator Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Norzaifirah Zaini, berkata penggunaan AI dalam imej peragaan interaktif itu dibangunkan perunding tempatan bagi menarik pengunjung selepas Muzium Hang Tuah dibuka semula 1 Oktober lalu. Beliau berkata, pendekatan baharu itu satu daripada usaha menambah nilai produk pelancongan negeri, sekali gus menarik taraf muzium berkenaan yang sebelum ini ditutup setahun bagi kerja-kerja berkenaan. "Menerusi penambahbaikan ini, lebih banyak penggunaan AI dalam imej peragaan interaktif dipaparkan kepada pengunjung untuk menceritakan kisah atau sejarah berkaitan Hang Tuah.
"Pendekatan ini memberi pengalaman lebih menarik kepada pengunjung untuk tahu lebih mendalam mengenai Hang Tuah, sekali gus mengelak pengunjung bosan dengan hanya membaca maklumat dipaparkan secara bertulis," katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi hologram yang memaparkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat juga ada di muzium berkenaan, manakala kaedah virtual tour digunakan bagi menceritakan aktiviti perdagangan Hang Tuah di serata dunia. Lebih menarik, katanya, pengunjung turut berpeluang menyaksikan teater berkaitan pelayaran Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka di teater mini yang dipaparkan pada slaid video selama kira-kira tiga minit. Selain kerja naik taraf muzium berkenaan yang juga dikenali sebagai Rumah Hang Tuah, beliau berkata, langkah sama juga dilaksanakan di empat lagi rumah sahabat pahlawan itu, iaitu Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir dan Rumah Hang Lekiu. Menurutnya, kawasan sekitar Hang Tuah Centre turut dinaiki taraf, khususnya melibatkan aspek landskap, termasuk membangunkan beberapa monumen gergasi berkaitan Melaka seperti tangga rumah Melaka, keris dan buaian. Muzium Hang Tuah dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula 9 pagi hingga 5 petang. Tiket masuk RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak lima hingga 12 tahun. Sebelum ini, media melaporkan Hang Tuah Centre, termasuk Muzium Hang Tuah ditutup setahun bagi kerja naik taraf melibatkan peruntukan lebih RM3.81 juta disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Selain itu, Norzaifirah berkata, persatuan silat yang berminat untuk mengadakan latihan pada waktu malam di gelanggang di Hang Tuah Centre juga dialu-alukan. "Di Hang Tuah Centre, kami juga menyediakan auditorium untuk aktiviti seminar, bengkel atau taklimat, selain menawarkan sewaan tapak bagi penganjuran majlis perkahwinan," tambahnya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1308670/muzium-hang-tuah-guna-teknologi-ai-papar-kisah-pahlawan-legenda
|