|
Edited by mahalnya at 17-5-2015 10:38 AM
Suami Aku Ustaz menghiburkan
AQMAR MUSTAZA
16 Mei 2015
HARI ini, penonton TV mahu pun filem mula dilambakkan dengan kisah cinta yang terbit daripada perkahwinan kontrak. Biarpun di dalam Islam tidak mengunjurkan perkahwinan kontrak, namun kisah sebegini kemudiannya didatangkan dengan teladan bersama.
Namun berbeza dengan filem terbaharu, Suami Aku Ustaz, ia masih membawa penonton ke arah sebuah perkahwinan. Bagaimanapun yang diatur oleh keluarga antara dua orang sepupu.
Kisahnya cukup ringkas iaitu si gadis dan si teruna disatukan apabila ibu bapa si gadis mahu menunaikan ibadah Haji.
Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, filem ini dijayakan oleh pelakon hebat seperti Adi Putra, Nora Danish, Izzue Islam, Betty Rahmad, Jue Aziz dan turut dibantu oleh beberapa pelakon lain.
Filem ini mengisahkan Alisa (Nora Danish) dipaksa bernikah dengan sepupunya merangkap guru agama di sekolah menengahnya iaitu Ustaz Hafiz (Adi Putra) apabila ibu bapanya ingin mengerjakan haji.
Hanya kepada Ustaz Hafiz sahaja tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi untuk menjaga Alisa sepanjang mereka di Mekah.
Dilema bermula setelah mereka berkahwin apabila Alisa perlu menyembunyikan statusnya di sekolah daripada diketahui oleh orang lain termasuk rakan baiknya sendiri, Wati (Betty Rahmad) dan Johan (Izzue Islam).
Dalam dilema dan perbezaan usia yang ketara, Alisa juga terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik untuk menerima Ustaz Hafiz sebagai suaminya.
Membawa latar penceritaan dari sebuah kawasan kampung ke sekolah, jika diperhalusi, agak sukar untuk menyembunyikan status perkahwinan sekiranya tinggal di kawasan kampung.
Berbeza sekiranya mereka digambarkan tinggal di kawasan bandar, yang mana hari ini kebanyakan masyarakat lebih gemar membuat hal sendiri.
Bagaimanapun jika anda melihat filem ini dari sudut hiburan dan tontonan semata-mata, maka masalah kerahsiaan itu tidak menjadi satu masalah yang besar.
Dari segi jalan cerita pula, graf perjalanan filem ini ada turun dan naiknya. Ada ketika ia terasa sangat menghiburkan dan ada ketikanya pula ia sedikit membosankan.
Namun tidaklah mengganggu mood penonton secara keseluruhannya. Cuma babak pengakhiran yang terlalu mudah dan ringkas membuatkan penulis berasa sedikit kecewa.
Nora menyerlah
Dari segi lakonan pula, pujian penulis layangkan kepada aktres, Nora yang berjaya mempamerkan lakonan yang lain daripada yang pernah dijayakan sebelum ini.
Membawakan watak gadis kampung yang agak bersahaja dan kasar dalam berkata-kata persis gadis remaja hari ini, membuatkan dia berjaya mencuit hati penonton.
Bahkan apabila memakai pakaian sekolah, Nora berjaya membuatkan penonton percaya dia adalah gadis berusia 17 tahun, biarpun realitinya dia sudah berusia 33 tahun.
Manakala lakonan Izzue juga tidak kurang hebatnya, biarpun dia muncul untuk beberapa babak.
Begitu juga dengan lakonan Adi sebagai ustaz. Namun lakonan Adi penulis rasakan tidak banyak bezanya dari segi penghayatan dan sebagainya. Malah penulis rasakan Adi mampu untuk menterjemahkan watak Ustaz Hafiz dengan lebih baik lagi.
Justeru bagi anda yang ini mengetahui apa terjadi setelah rahsia status Alisa dengan Ustaz Hafiz terbongkar? Akan wujudkah cinta Alisa buat suaminya dan bertahankah jodoh mereka berdua?
Jangan lupa untuk saksikan filem ini di pawagam.
-Sinar Harian
terbaik dari nora
|
|