Edited by wipers81 at 3-8-2015 10:09 PM
PART 15
“Mak, mana boleh buat macam ni!” Arfah tiada niat mahu kurang ajar namun emak sudah melampau. Membuat keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
“Kenapa pula tak boleh? Kau tu anak aku, suka hati akulah!”
“Mak, ni soal hidup Arfah. Mana boleh mak terima macam tu aje? Bukannya kita kenal sangat keluarga diorang tu.”
“Hei Arfah, tak kenal apa pula! Kau dengan dia memang dah kenal lama, kan? Aku dah terima, kau jangan banyak songeh. Telinga aku ni dah nak naik bernanah tau bila dengar orang kampung ni kata macam-macam. Kau tak ada rasa malu ke? Kau tahu tak, diorang tu kata, aku simpan anak dara tua. Dah orang berkenan kat kau, aku okeykan ajelah. Kau nak tunggu putera raja mana datang pinang kau?”
“Mak, kenapa nak kisah dengan mulut orang? Bukan diorang yang bagi kita makan. Arfah tak sedia nak kahwin lagi.”
“Kau jangan nak mengelak. Aku dah terima lamaran diorang, kau jangan cari pasal!”
“Tapi mak...”
“Kau jangan bagi aku sumpah jadi anak derhaka. Aku kata ikut, ikut ajelah. Jangan nak panaskan hati aku ni.”
Hati Arfah, penuh dengan kepiluan. Bertindan-tindan rasa pilu itu di dalam hati, dilapisi pula dengan sedih. Dilayan bagai anak tiri sejak kecil hingga dia tertanya-tanya, adakah dia benar-benar anak kandung? Dengan lelehan air mata, dia berlalu pergi. Masuk sahaja ke dalam bilik, tangannya pantas mengemas pakaian. Dia mahu segera pergi dari rumah itu.
“Ingat, bulan depan jangan tak balik pula. Kau buat macam tu, aku report polis, kata kau lari rumah!”
Apabila emak berkata-kata... Arfah melajukan langkah. Hajat mahu tidur semalam di kampung, dibatal serta-merta. Sebaik dia menghumbankan diri ke atas kusyen kereta Vivanya, kepala terus diletak ke stereng dengan dahi berlapikkan kedua tangan. Tangisan, hanya bergema di dalam kereta itu. Berjuraian air matanya jatuh.
“Ayah, Arfah rindukan ayah.” Nama itu dirintih setelah lama dibisukan. Hanya lelaki itu yang faham akan dirinya. Lelaki, yang hampir lima tahun pergi meninggalkannya. Pergi yang tidak akan kembali. Bagai tidak tergalas beban yang perlu dia pikul semenjak pemergian lelaki yang amat disayanginya itu.
|