CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: iansuryani

Berita Hari Ini - 2007

[Copy link]
Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:07 AM | Show all posts
KERTAS PERIKSA GCE 'O' TAHUN INI SEMINGGU LEBIH AWAL
Langkah perbolehkan pelajar dapat keputusan lebih cepat, lewat Januari

Oleh
Nazri Hadi Saparin

PELAJAR yang akan mengambil peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' tahun ini bakal duduk untuk kertas periksa masing-masing seminggu lebih awal - pada minggu bermula 22 Oktober, berbanding tahun-tahun yang sudah.

Ini bagi membolehkan pelajar mendapat keputusan peperiksaan mereka pada lewat Januari berbanding pertengahan Februari sekarang.

Sekali gus, ini bermakna bahawa pelajar juga dapat memulakan pengajian di maktab rendah (JC) atau Institut Millenia (MI) yang diperuntukkan kepada mereka berdasarkan keputusan GCE 'O' lebih awal, iaitu pada pertengahan Fe bruari.

Perubahan kepada jadual waktu peperiksaan tersebut dibuat sebagai persiapan menjelang pe laksanaan sistem satu kemasukan ke JC dan MI menjelang 2009.

Sekarang ini, terdapat dua kemasukan bagi pelajar tersebut - satu pada Januari berdasarkan keputusan peperiksaan awal dan satu lagi pada Mac berdasarkan keputusan GCE 'O'.

Pada 2009, sistem satu kemasukan pada lewat Januari akan diperkenalkan kelak.

Sistem dua kemasukan sekarang bermakna sekolah perlu mengajar semula sukatan pelajaran apabila kelompok pelajar yang kedua menyertai sekolah pada Mac.

Dalam satu sidang akhbar semalam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (Seab), Encik Tan Yap Kwang, berkata pihaknya dan Sindiket Peperiksaan Tempatan Universiti Cambridge (Ucles) telah bekerjasama rapat untuk menyusun semula proses peperiksaan tersebut.

Namun, beliau menekankan, penyusunan semula itu dilakukan tanpa menjejas integriti peperiksaan tersebut.

Selain mengadakan peperiksaan seminggu lebih awal, Seab dan Ucles juga telah bersetuju untuk me nyempurnakan proses semakan kertas-kertas peperiksaan sebelum musim Krismas.

Ini supaya keputusan lebih 39,000 pelajar di sekolah dan 10,000 pelajar privet dikembalikan ke Singa pura lebih awal.

Encik Tan menambah, sekolah-sekolah telah dimaklumkan tentang perubahan itu dan yakin dapat menyempurnakan sukatan pelajaran yang ditetapkan sebelum peperiksaan bermula.

'Berdasarkan perubahan tahun ini, kami akan melakukan semakan untuk melihat sekiranya ada sebarang isu yang perlu di tangani sebelum memperkenalkan sistem satu kemasukan pada 2009,' ujar beliau lagi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:07 AM | Show all posts
MADRASAH ALJUNIED DIBUKA SEMULA SELEPAS DITUTUP SEHARI
Oleh
Chairul Fahmy Hussaini

PELAJAR Madrasah Aljunied telah pun kembali ke sekolah semalam selepas ia ditutup sehari secara sukarela sebagai langkah pencegahan selepas 11 murid menghidapi penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak tiga minggu lalu.

Semasa dilawati semalam, operasi sekolah didapati berjalan seperti biasa.

Seorang kakitangan madrasah tersebut semasa dihubungi berkata pihaknya menutup madrasah tersebut hanya sehari bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Kakitangan wanita yang tidak ingin dikenali itu berkata:

'Sejak Sabtu sekolah sudah dibuka semula. Hari ini murid-murid datang seperti biasa kerana mereka menghadapi peperiksaan.

'Bagi yang masih mendapat cuti sakit, peperiksaan diadakan setelah mereka kembali ke sekolah kelak,' ujarnya.

Madrasah Aljunied telah memperkenalkan amalan kebersihan lebih ketat ke atas pelajar mereka.

Ini termasuklah menggalakkan mereka mencuci tangan sebelum dan selepas makan, keluar tandas dan menjalani pemeriksaan suhu badan.

Mereka juga dikehendaki membuat pemeriksaan tangan, kaki dan mulut mereka untuk mengesan sama ada terdapat bintik-bintik merah.

Seseorang kanak-kanak itu disyaki menghidapi HFMD sekiranya menghidap demam selama dua tiga hari, sakit tekak, ruam di tapak tangan, kaki atau punggung dan ulser mulut.

Sebelum ini, Mudir Madrasah Aljunied, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, berkata pihaknya menuruti panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi menanganinya.

Bilangan kes HFMD di sini melonjak kepada 688 kes dua minggu lalu, paras tertinggi tahun ini.

Penularan HFMD kali ini dikatakan melibatkan penularan virus Coxsackie.

Bagaimanapun, virus itu didapati kurang berbahaya berbanding Enterovirus71.

Virus Enterovirus71 sebelum ini telah mengorbankan tujuh kanak-kanak di sini antara 2000 dengan 2001.

Ia muncul semula pada 2003 dan tahun lalu, tetapi tidak meragut sebarang jiwa.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:08 AM | Show all posts
MUIS SOKONG LINDUNG DATA DIRI PESAKIT KAJIAN
MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) menyokong saranan Jawatankuasa Penasihat Bioetika (BAC) untuk melakar rang undang-undang melindungi maklumat peribadi pesakit dalam kajian biomedikal.

Namun, sokongan menerusi Pejabat Mufti itu dibuat berpandukan tiga prinsip utama - maruah pesakit perlu dipelihara; digunakan bagi manfaat masyarakat umum dan demi memajukan kajian sains.

Muis antara 25 pertubuhan yang tampil memberi respons kepada saranan itu.

Keseluruhannya, BAC telah merujukkan saranan tersebut kepada 70 pertubuhan.

Antara lain, BAC ingin membenarkan maklumat perubatan pesakit digunakan bagi kajian biomedikal tanpa izin selagi maklumat peribadinya dirahsiakan.

Menurut Muis, saranan BAC itu mengikut prinsip-prinsip Islam dalam menjaga keseimbangan antara memelihara hak individu dengan memajukan kajian sains.

'Islam menekankan kepentingan masyarakat umum dan juga hak individu. Dalam Islam, ia bukan sahaja wajib untuk tidak menganiaya orang lain, bahkan menghulurkan manfaat demi kebajikan masyarakat umum.

'Kegiatan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat umum digalakkan,' kata Muis.

Muis juga menyarankan Lembaga Semakan Institusi (IRB) menggariskan jenis kajian yang memerlukan maklumat peribadi pesakit.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:08 AM | Show all posts
DITUDUH BANTU BUDAK PESALAH LARIKAN DIRI
Oleh
Khalid Khamis

SEORANG pegawai Cisco, Nur Hazwani Khamis, 22 tahun, diberi kepercayaan untuk membawa seorang penghuni rumah budak perem puan, Singapore Girls' Home, ke hospital untuk diperiksa.

Sebaliknya, Nur Hazwani dikatakan membantu penghuni itu melarikan diri.

Bagi menutup rahsia tersebut, dia membuat laporan palsu pula kepada pihak polis.

Pagi semalam, Nur Hazwani telah diheret ke Mahkamah Rendah atas dua tuduhan membantu penghuni berkenaan melarikan diri dan membuat laporan palsu.

Selepas dia dituduh secara rasmi, Hakim Daerah, Cik Danielle Yeow, telah merujukkan kesnya ke mahkamah khas.

Secara kebetulan, semalam merupakan hari pertama Mahkamah Rendah menyusun semula operasi mereka untuk menubuhkan mahkamah-mahkamah khusus yang dibahagikan kepada lima kelompok termasuk bagi mengadili kes-kes sedemikian.

Ketika kesnya didengar lagi pada petang semalam, Nur Hazwani ditanya Hakim Daerah, Encik Wong Keen Onn, jika dia mahu memasang peguam.

'Saya akan berbincang dengan ibu saya dahulu,' jawab Nur Hazwani.

Dalam kenyataan pertuduhan, Nur Hazwani telah ditugaskan membawa seorang budak perempuan berusia sekitar 16 tahun ke Hospital Besar Singapura (SGH) pada 31 Disember lalu.

Ketika berada di kawasan taman di antara Blok 5 dengan Blok 6 hospital tersebut, Nur Hazwani dikatakan dengan sengaja membiarkan budak perempuan itu melarikan diri.

Budak perempuan tersebut diletakkan di rumah itu kerana kesalahan mencuri.

Sekitar 7.20 malam pada hari yang sama, Nur Hazwani membuat laporan dan memberitahu pegawai polis, Staf Sarjan Diong Kok Leong, bahawa budak perempuan itu telah melarikan diri ketika dia berada dalam tandas.

Kesnya akan didengar lagi 14 Mei ini.

Dia dikenakan ikat jamin $12,000.

Sekiranya sabit kesalahan, Nur Hazwani boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:14 AM | Show all posts
ATURAN BARU CHANGI BERMULA HARI INI
PENUMPANG pesawat diingatkan bahawa peraturan keselamatan penerbangan baru bagi mereka yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi dikuatkuasakan mulai hari ini.

Bermula 12 tengah hari ini, penumpang yang mahu membawa barangan cecair, aerosol dan gel ke dalam pesawat harus meletakkannya ke dalam bekas yang tidak melebihi 100 mililiter.

Barangan terkawal itu harus dimasukkan dalam beg plastik seliter yang boleh dibuka dan tutup semula, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) semalam.

Keterangan lanjut boleh didapati dengan syarikat penerbangan masing-masing dan laman web Lapangan Terbang Changi di www.changiairport.com
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:15 AM | Show all posts
ORKESTRA MELAYU BAKAL BERGEMA DI BELANDA
Buat persembahan empat hari di pesta besar-besaran

ALUNAN muzik tradisional Melayu bakal berkumandang di Eropah.

Buat kali pertama, Orkestra Melayu Singapura (OMS) bakal membuat persembahan selama empat hari di The Hague, Belanda, bermula 17 hingga 20 Mei ini untuk Pesta Tong Tong.

Pesta tersebut merupakan sebahagian daripada Edisi ke-49 Pasar Malam Besar - sebuah pesta tahunan Serani tertua terbesar di dunia sejak 1959.

Pesta itu memaparkan warisan tradisional Melayu dan Indonesia sejak 1993 dan dihadiri lebih 100,000 pengunjung setiap tahun.

Semalam, Menteri Sekitaran dan Sumber Air merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, bersama Duta Besar Belanda ke negara ini, Encik Chris Sanders, turut menonton previu OMS sebelum berangkat ke sana.

'Ini merupakan peluang bagi anggota OMS untuk mengembangkan bakat mereka dan meraih pengalaman yang dapat membina keyakinan mereka,' kata Dr Yaacob Ibrahim semasa ditemui media semalam.

Menurut Dr Yaacob, usaha menebarkan sayap OSM ke luar negara adalah sebahagian daripada usaha mempromosikan budaya tradisional Melayu dan mengeratkan hubungan kebudayaan antara Singapura dengan Belanda.

Seramai 20 orang pemuzik berbakat dari OMS berpeluang mengetengahkan budaya Melayu di pesta ternama tersebut yang turut mementaskan persembahan terbaik dari arena tempatan dan juga antarabangsa.

OMS bakal menyampaikan persembahan yang bertemakan Gema Warisan - menggunakan alat muzik Melayu, Cina, India dan Barat dan mendendangkan irama berunsur tradisional, Barat dan juga gabungan kedua-duanya.

Antara irama yang akan dipersembahkan ialah Jong Jong Inai, Gema Kosmopolitan, Nelayan, Gemala Sari dan Trance 'Ulek Mayang'.

Dr Yaacob juga berkata selain memperkenalkan budaya Melayu di arena antarabangsa, mereka juga berpeluang memperlihatkan keharmonian di kalangan pelbagai kaum di Singapura.

Pemuzik undangan dari Orkestra Cina PA dan Orkestra India Singapura juga merupakan sebahagian daripada 20 orang yang akan ke Belanda.

Mereka akan mewarnai irama Melayu dengan memainkan alat muzik tradisional masing-masing seperti erhu (Cina) dan sitar (India).

'Memang seronok membuat persembahan dengan OMS,' ujar Vera Chian Peiyu, 18 tahun, pemuzik jemputan dari Orkestra Cina PA.

OMS yang ditubuhkan pada 1991 terdiri daripada pemuzik sukarelawan dan pernah membuat persembahan di Korea Selatan, Jepun dan Hongkong.

Ia juga sebahagian daripada program PA Talents di bawah Persatuan Msayarakat (PA) yang menerima jemputan untuk membuat persembahan di Eropah.

Sebagai usaha menyemai minat terhadap muzik tradisional Melayu serta menarik belia supaya menyertai OMS, sebuah konsert percuma OMS, Fiesta Rama, akan diadakan pada 3 November ini di Bedok Reservoir.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:15 AM | Show all posts
SUMBANGAN SOSIAL KOPERATIF NTUC BERJUMLAH $64.5 JUTA TAHUN LALU
Oleh
Hisham Hambari

KOPERATIF-KOPERATIF Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah membuat sumbangan sosial sebanyak $64.5 juta tahun lalu.

Sebahagian besar jumlah itu, iaitu $52.5 juta, adalah dalam bentuk pemberian rebat, diskaun dan penyerapan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Baki $12 juta pula dilaburkan semula kepada program-program sosial, seperti geran pendidikan untuk kanak-kanak dari keluarga berpendapaan rendah dan projek buku sekolah terpakai.

Demikian diumumkan Setiausaha Agung NTUC, Encik Lim Swee Say, ketika membentangkan kad laporan kesatuan sekerja itu untuk 2006 di satu sidang media semalam.

Bagaimanapun, Encik Lim berkata sumbangan sosial 12 koperatif NTUC itu harus dilihat lebih daripada hanya sumbangan wang ringgit.

Beliau berkata perusahaan-perusahaan sosial NTUC itu memainkan peranan besar dalam menstabilkan harga barangan keperluan, seperti apabila bekalan barangan terjejas ketika berlakunya wabak flu burung atau apabila Malaysia dilanda banjir.

'NTUC FairPrice misalnya telah mengekalkan harda terendah untuk 400 barangan keperluan dapur tahun lalu.

'Bagaimanakah kita menilai dengan wang ringgit langkah tersebut yang berjaya memaksa para pesaing kami untuk juga menurunkan harga barangan mereka, yang dimanfaatkan orang ramai?' ujar Encik Lim.

Sumbangan NTUC yang tidak berbentuk wang ringgit termasuk meningkatkan mutu penjagaan warga tua dan membantu golongan pekerja berusia mendapat pekerjaan.

Memandang ke hadapan, Encik Lim berkata koperatif-koperatif NTUC ingin mencapai tahap 'terbaik dalam kelas' dalam semua bidang yang diceburi agar manfaat kepada masyarakat dapat digandakan.

Dua golongan yang akan diberi tumpuan oleh NTUC dalam usaha meningkatkan kadar pekerjaan ialah para pekerja berusia dan golongan ibu bekerja.

'Mengenai membantu golongan ibu yang bekerja, kita harus melihat lebih daripada hanya usaha-usaha yang dijalankan di tempat kerja.

'Pihak koperatif dicabar agar menyediakan khidmat lebih baik agar golongan ibu dapat terus bekerja,' kata Encik Lim.

Beliau juga menggesa koperatif-koperatif NTUC supaya terus meraih manfaat skala ekonomi, yang mungkin memerlukan mereka menyerantau, walaupun buat masa ini belum ada sebarang rancangan yang konkrit.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:17 AM | Show all posts
TIADA RANCANGAN TUTUP KOPERATIF YANG RUGI
KONGRES Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) tiada rancangan menutup sebarang koperatifnya hanya kerana ia tidak meraih keuntungan.

Malah, gerakan buruh berada dalam kedudukan lebih mantap dengan kesemua 12 koperatifnya ber operasi.

Demikian jawapan Setiausaha Agung NTUC, Encik Lim Swee Say, semalam kepada soalan wartawan sama ada NTUC akan menutup koperatif yang gagal meraih keuntungan.

Di dalam sidang media untuk membentangkan kad laporan NTUC bagi 2006, beliau berkata NTUC ElderCare sebenarnya menanggung kerugian.

Badan koperatif NTUC lain yang meraih keuntungan menyalurkan dana kepada badan koperatif itu, yang menawarkan program-program warga tua, agar ia dapat terus beroperasi, katanya.

NTUC ElderCare kini mengendalikan 120 warga tua yang menyertai pelbagai kegiatannya.

Beliau yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri berkata kesan badan koperatif itu tidak besar kerana operasinya kini masih kecil berbanding beberapa koperatif NTUC yang lain.

'Keuntungan yang diraih NTUC ElderCare sebenarnya negatif. Namun, adakah kami akan menutupnya? Tentu tidak,' ujar Encik Lim.

Ini kerana ElderCare dijangka memainkan peranan lebih besar di masa depan, memandangkan penduduk Singapura yang semakin meningkat tua.

Justeru, NTUC bercadang akan terus meningkatkan keupayaan ElderCare agar dapat memberi khidmat kepada bilangan lebih besar warga tua.

'Namun, saya tidak fikir ElderCare akan meraih keuntungan yang besar di masa depan. Yang penting, ia akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat,' kata Encik Lim.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:18 AM | Show all posts
USUL PERATURAN BAGI LINDUNGI MAKLUMAT PESERTA KAJIAN BIOMEDIKAL
Oleh
Halifi Hussin

SATU undang-undang baru disarankan untuk melindungi maklumat peribadi pesakit yang menyertai penyelidikan biomedikal sedang Singapura giat berusaha memajukan sektor biomedikal dengan memanfatkan maklumat perubatan dan genetik negara.

Ini antara 11 saranan Jawatankuasa Penasihat Bioetika (BAC) dalam laporan berjudul Maklumat Peribadi dalam Penyelidikan Biomedikal yang diumumkan semalam.

Antara lain, BAC menyarankan agar Lembaga Semakan Institusi (IRB) dibenarkan menggunakan tanpa izin maklumat medikal pesakit bagi penyelidikan biomedikal selagi identiti mereka dirahsiakan. IRB bertanggungjawab meluluskan penggunaan maklumat perubatan pesakit bagi tujuan itu.

Namun, institusi penjagaan kesihatan dan jabatan berkaitan dengan pendaftaran penyakit akan memastikan sejauh mana maklumat peribadi pesakit boleh didedahkan dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan masyarakat umum. Dalam hal ini, pesakit harus memberi kebenaran dan boleh menarik balik keputusannya bila-bila masa tanpa perlu memberi penjelasan.

Sejajar dengan saranan BAC itu, Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menggubal rang undang-undang untuk memastikan maklumat medikal pesakit dirahsiakan dalam melakar dasar-dasar kesihatan awam.

Ia bakal siap pertengahan tahun ini dan MOH akan mendapatkan maklum balas orang ramai tentang perinciannya. Sebelum ini, penggunaan maklumat medikal dan peribadi pesakit hanya tertakluk pada kod etika yang diamalkan pihak-pihak terlibat.

Seorang doktor asing dipecat daripada Institut Neurosains Kebangsaan (NNI) pada April 2003 kerana didapati bersalah melakukan ujian ke atas 127 pesakit tanpa izin.

Laporan BAC itu diumumkan dalam sidang akhbar di bangunan Matrix di pusat kajian Biopolis di North Buona Vista Road semalam.

Pengerusinya, Profesor Lim Pin, berkata penggunaan maklumat peribadi dalam kajian biomedikal penting demi memastikan Singapura mencapai matlamat mahu menjadi hab bertahap dunia dalam bidang sains tersebut.

'Setelah pertimbangan teliti, BAC berasa menggunakan maklumat peribadi dalam penyelidikan tanpa izin boleh diterima jika undang-undang bagi memastikan kerahsiaannya terjamin dikuatkuasakan,' katanya.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:18 AM | Show all posts
JENAZAH PERTAMA AKHIR BULAN
Oleh
Farid Hamzah


KUBUR konkrit pasang siap yang disediakan di bawah Sistem Pengebumian Baru (NBS) di Pusara Abadi akan menerima jenazah pertama akhir bulan ini.

Berbanding dengan sistem sekarang, kawasan perkuburan NBS boleh menempatkan 15 peratus lebih banyak kubur, iaitu tambahan 240 kubur bagi setiap hektar.

NBS juga dapat mengatasi masalah tanah berlumpur atau becak akibat hujan.

NBS, yang diperkenalkan pada 2002, melibatkan juga pengebumian orang bukan Islam. Pengebumian di kubur Cina akan dimulakan Ogos ini, kubur Kristian dan agama lain pada Oktober dan kubur Hindu menyusul dua bulan kemudian.

Setiap lubang kubur di bawah NBS berukuran 2.89 meter panjang, 1.52 meter lebar dan 1.8 meter dalam.

Namun, jarak antara kubur adalah 15 sentimeter, berbanding 45 sentimeter sebelum ini.

Memberikan butiran tersebut semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Sekitaran Agensi Sekitaran Nasional (NEA), Encik S. Satish Appoo, berkata menerusi NBS penggunaan tanah perkuburan di Choa Chu Kang dapat dilanjutkan sehingga 2130.

"Ini kerana NBS dan dasar pengebumian bagi tempoh 15 tahun saja, yang diumumkan sebelum ini, dapat menjimatkan ruang di tanah perkuburan," katanya dalam satu sidang media semalam.

Menurut Encik Appoo, selepas tempoh 15 tahun sisa mayat dalam kubur NBS akan digali dan dikebumikan semula dalam sebuah lagi kubur konkrit yang dapat menempatkan sehingga 16 sisa mayat.

Namun, lubang kubur yang telah dikosongkan itu akan digunakan semula hanya selepas tiga tahun bagi menghormati keluarga jenazah yang telah dialihkan itu.

Ditanya mengenai kemungkinan bayaran pengebumian disemak ekoran penggunaan konkrit, Encik Appoo berkata belum ada rancangan sedemikian.

Kos pengebumian jenazah Islam sekarang adalah $315 bagi orang dewasa dan $140 bagi kanak-kanak bawah 10 tahun.

Menurut Encik Appoo, kos memasang 12,100 kubur di bawah NBS sekitar $11 juta.

Daripada jumlah tersebut, 6,388 lubang kubur diperuntuk bagi jenazah Islam.

NBS menggunakan struktur konkrit pasang siap yang diletakkan sebagai asas dalam tanah.

Panel-panel kemudian dimasukkan sebagai dinding dalam struktur tersebut. Selepas mayat dimasukkan, ruang kubur akan diisi dengan tanah sebelum ditutup dengan konkrit seberat empat ton yang turut mempunyai rumput di atasnya.

NEA telah memasang juga tempat berteduh bagi pelawat dan tempat pejalan kaki di sekitar tanah perkuburan yang menggunakan NBS.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:19 AM | Show all posts
YUDHOYONO UMUM PERUBAHAN KECIL
Lima menteri dipecat, dua ditukar

JAKARTA: Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, semalam mengumumkan rombakan kecil kabinet beliau melibatkan tujuh orang menteri.

Beliau, didampingi Naib Presiden, Encik Jusuf Kalla, mengumumkan pemecatan lima menteri dan pertukaran jawatan dua menteri lain, sekitar 3 petang di Istana Merdeka, lapor agensi berita Antara semalam.

Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Encik Sugiharto, digantikan oleh Menteri Komunikasi dan Informasi, Encik Sofyan Djalil, manakala jawatan Encik Sofyan kini disandang Encik Mohammad Nuh, mantan rektor Institut Teknologi Sepuluh November (ITS) Surabaya.

Peguam Negara, Encik Abdul Rahman Saleh, digantikan timbalan beliau bagi Jenayah Khas, Encik Hendarman Supandji.

Encik Hatta Radjasa yang sebelum ini menjadi Menteri Pengangkutan, menjadi Menteri Sekretaris Negara, menggantikan Yusril Ihza Mahendra.

Jawatan Menteri Pengangkutan kini disandang Encik Jusman Syafii Djamal, mantan ketua pengarah PT Dirgantara Indonesia dan anggota Suruhanjaya Nasional Keselamatan Transportasi.

Ketua Fraksi Partai Golkar dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Andi Mattalata, dilantik menjadi Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia, menggantikan Encik Hamid Awaluddin.

Setiausaha Agung Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), Encik Muhamad Lukman Edy, dilantik menjadi Menteri Pembangunan Daerah Tertinggal, menggantikan Encik Saifullah Yusuf, yang baru-baru ini menukar keanggotaan dari PKB kepada Parti Persatuan Pembangunan (PPP).

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Encik M. Ma'ruf, yang sedang sakit, akan kekal dalam kabinet.

Encik Yusril Ihza Mahendra dan Encik Hamid Awaluddin dipecat kerana dikatakan dikaitkan dengan pengagihan wang milik Hutomo Mandala Putra, anak mantan presiden Suharto, menerusi satu akaun pemerintah, lapor akhbar Jakarta Post semalam. - AP.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:19 AM | Show all posts
PEKERJA PENYELAMAT TERUS MISI CARI MANGSA TERPERANGKAP
GREENSBURG (Kansas): Para pekerja penyelamat kelmarin bertungkus lumus membongkar puing runtuhan untuk mencari mangsa yang masih terperangkap selepas ribut puting beliung atau tornado meranapkan rumah dan bangunan di Greensburg, Kansas.

Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan 50 lagi cedera apabila tornado sekencang 330 kilometer sejam melanda Kansas Jumaat dan Sabtu lalu.

Lapan daripada mangsa yang terkorban berasal dari Greensburg dan dua dari kawasan lain di tenggara Kansas.

'Saat ini kami masih meneruskan misi mencari dan menyelamat. Kami tidak putus harapan,' kata seorang askar Pasukan Pengawal Kansas, Encik Ronald Knoefel.

Pasukan penyelamat menggunakan anjing pengesan untuk mencari mayat, selain menggunakan jentera berat untuk memindahkan puing runtuhan, tetapi para pegawai masih tidak tahu berapa ramai mangsa yang masih hilang.

'Ramai yang telah pergi ke tempat lain. Jadi, sukar untuk mengesan mereka,' kata Mejar Jeneral Tod Bunting.

'Hari ini belum ada mangsa atau mayat baru yang kami jumpai. Tetapi kami akan teruskan operasi mencari,' kata jurucakap pasukan Pengurusan Darurat Kansas (KRM), Cik Sharon Watson. Jurucakap Agensi Pengurusan Darurat Federal (Fema), Cik Crystal Payton, menyamakan kerosakan yang berlaku mirip taufan Katrina di wilayah Mississippi pada Ogos 2005.

'Kawasan yang terjejas mungkin lebih kecil daripada Katrina... tetapi kerosakan yang dialami sama teruknya,' kata beliau.

Presiden George W. Bush kelmarin mengisytiharkan Greensburg sebagai kawasan darurat, dan berikrar akan segera menghantar bantuan bagi membangun semula bandar tersebut. - AP, AFP, Reuters.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:19 AM | Show all posts
MUNGKIN ANGKARA PENGACAU POLITIK
KUALA LUMPUR: Pengacau politik dan bukan anggota kumpulan pemisah yang besar kemungkinan bertanggungjawab atas letupan kecil yang berlaku berdekatan Istana Chitrada, kediaman Raja Bhumibol Adulyadej di Bangkok, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Ehwal Luar Thailand, Encik Sawanit Kongsiri, semalam berkata letupan yang mencederakan satu orang itu kelihatan bertujuan menimbulkan ketegangan menjelang pilihan raya umum Disember ini.

Ditanya wartawan sama ada letupan itu dilancarkan oleh anggota kumpulan pemisah, Encik Sawanit yang sedang melawat Malaysia berkata:

'Kami tidak fikir begitu. Kami pernah mengalami perkara serupa ini sebelum ini - letupan terpencil yang akan mencetuskan sedikit panik tetapi bukan kematian - untuk membangkitkan ketegangan politik.'

Menyusuli letupan kecil Sabtu lalu, pihak berkuasa mengerah lebih banyak anggota polis di jalan-jalan raya di Bangkok.

Menurut Encik Sawanit, terdapat khabar angin yang menyatakan letupan terbaru itu dilancarkan oleh para penyokong dua parti politik di Thailand, Parti Thai Rak Thai yang sebelum ini dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan Parti Demokrat.

Kedua-dua parti itu menghadapi tuduhan menipu semasa pilihan raya umum lalu. Keputusannya dijangka akhir bulan ini. Jika didapati salah, mereka perlu membubarkan parti.

Terdapat pendapat ada pihak yang mencetuskan ketegangan untuk menjejas keputusan mahkamah, katanya. - Reuters.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:20 AM | Show all posts
TOKOH PRO-AMERIKA TERPILIH
PARIS: Encik Nicolas Sarkozy, seorang tokoh konservatif yang pro-Amerika, kelmarin dipilih sebagai presiden Perancis dengan mandat bagi mengadakan pembaharuan ekonomi dan politik menyeluruh.

Encik Sarkozy, yang meraih 53.1 peratus undi, mengalahkan calon Parti Sosialis, Cik Segolene Royal, yang meraih 46.9 peratus undi, selepas 84 peratus pengundi keluar mengundi Ahad lalu, menurut keputusan yang disiarkan awal semalam.

'Rakyat Perancis telah memilih perubahan,' kata Encik Sarkozy kepada para penyokong beliau sambil menegaskan Perancis akan terus berpendirian bebas.

Amerika Syarikat, menurut Encik Sarkozy, boleh bergantung kepada persahabatan rakyat Perancis.

Tetapi 'persahabatan bererti harus menerima hakikat bahawa sahabat kadangkala mempunyai pendapat yang berlainan.'

Beberapa insiden keganasan berlaku di beberapa bandar di Perancis selepas kemenangan beliau disiarkan menerusi televisyen.

Encik Sarkozy segera membuat kenyataan menjanjikan beliau akan menjadi presiden bagi seluruh rakyat Perancis. Tetapi tugas itu bukan mudah.

Encik Sarkozy dijangka menghadapi tentangan kesatuan-kesatuan sekerja yang berpengaruh berhubung rancangan beliau hendak membuat rakyat Perancis bekerja lebih masa dan syarikat-syarikat pula lebih mudah mengambil dan membuang pekerja.

Rancangan beliau hendak membangun projek perumahan bagi mengatasi masalah setinggan di pusat-pusat bandar dikhuatiri mencetuskan semula rusuhan kaum, terutama pendatang Arab dan keturunan Afrika, seperti yang berlaku pada 2005. - AP, AFP, Reuters.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:20 AM | Show all posts
BOLA PERSAHABATAN ULAMA-PADERI DIBATAL KERANA PEMAIN WANITA
OSLO: Satu perlawanan bola sepak bagi membina persahabatan antara ulama Islam dan paderi Kristian di Norway dibatalkan selepas berlaku pertengkaran membabitkan pemain wanita.

Pasukan para imam enggan bermain menentang wanita kerana bimbang sentuhan fizikal yang bertentangan dengan pegangan mereka.

Apabila gereja memutuskan untuk menggugurkan pemain wanita, ketua pasukan paderi meletak jawatan sebagai membantah keputusan itu.

Laporan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan permainan itu pada awalnya sekadar untuk suka-suka pada penghujung seminar selama sehari di Oslo. Para imam dan paderi mengadakan perbincangan cara menggalakkan dialog antara agama dalam majlis itu.

Jurucakap gereja Norway, Encik Olav Fykse Tveit, berkata mereka menyedari bantahan pasukan imam berhubung pertandingan itu dua hari sebelum persidangan Sabtu lalu.

'Disebabkan kami rasa persidangan itu akan menghasilkan rumusan yang baik, kami tidak mahu membatalkan perlawanan itu sebaliknya memutuskan untuk meneruskan ia dengan semua pemain lelaki yang bertanding,' katanya.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan pemain wanita dalam pasukan Kristian menyebabkan ketua pasukan meletak jawatan.

'Kami sedar sekarang adalah satu kesalahan menubuhkan pasukan paderi tanpa penyertaan wanita. Reaksi yang kami peroleh menunjukkan ia isu politik jantina,' kata Encik Tveit. - Agensi.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:20 AM | Show all posts
Sekolah PBB diserang

BANDAR GAZA: Anggota kumpulan pelampau menyerang satu pesta di sebuah sekolah rendah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seorang pengawal keselamatan terbunuh dan tujuh orang cedera dalam serangan oleh kumpulan pelampau itu kerana pesta sukan itu didakwa tidak mengikuti lunas Islam. - AP.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:21 AM | Show all posts
Bangkai pesawai Kenya ditemui

YAOUNDE: Bangkai pesawat Kenya Airways yang terhempas dengan 114 penumpang dijumpai dalam kawasan paya dekat Lapangan Terbang Douala di Cameroon dengan hampir seluruh badannya tenggelam.

Pesawat Boeing 737-800 itu terhempas Sabtu lalu tidak lama selepas berlepas dari Douala ke Nairobi. - Reuters.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:21 AM | Show all posts
50 disaman kerana berludah

BEIJING: Lebih 50 orang disaman China kerana meludah sepanjang musim cuti seminggu lalu. Ia sebahagian langkah mempertingkat imej negara itu menjelang Sukan Olimpik tahun depan.

Lebih 10,000 beg sampah turut diedar di kawasan pelancongan untuk menjaga kebersihan. - AP.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:22 AM | Show all posts
SYARIKAT PERNAH DISERBU NIAGA TANPA LESEN
KUALA LUMPUR: Syarikat GoldQuest International, yang dikaitkan dengan lelaki bergelar Datuk yang ditahan polis Indonesia, Khamis lalu, pernah didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen di Malaysia pada 2000.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk S. Vee rasingam (foto), berkata bahagian penguat kuasa kementeriannya pernah menyerbu premis syarikat itu kerana tidak mematuhi Akta Jualan Langsung 1993, iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen.

'Kita pernah mengambil tindakan ketika itu, bagaimanapun ia sudah selesai dan mereka sudah mendaftarkan syarikat baru di sini (Malaysia) dan memohon lesen perniagaan,' katanya.

Beliau berkata syarikat itu memberi alasan tidak tahu perniagaan melalui Internet yang dijalankannya memerlukan lesen untuk beroperasi secara sah.

Datuk yang dikenal pasti sebagai Vijayeswaran S. Vijayaratnamitu ditahan bersama tiga rakan warga Filipina kerana disyaki menjalankan skim piramid haram menjual syiling emas bernilai AS$90 juta ($136 juta) di Filipina.

GoldQuest International adalah syarikat pelaburan berkonsepkan skim piramid yang beribu pejabat di Hongkong. Ia diserbu pegawai KPDNHEP dan Pendaftar Syarikat (ROC) pada 2000 selepas dikesan membawa keluar kira-kira RM20 juta menerusi skim pelaburan haram membabitkan penjualan syiling emas sejak Mac 1999.

Ibu pejabat syarikat itu dipercayai mempunyai sekurang-kurangnya 28 cawangan di seluruh dunia.

Datuk Vijayeswaran dan rakannya ditahan di sebuah hotel lima bintang ketika menghadiri persidangan antarabangsa di Pusat Persidangan Jakarta.

Laporan akhbar The Jakarta Post Sabtu lalu memetik Ketua Polis Jakarta, Adang Firman, sebagai berkata keempat-empat individu terbabit turut didakwa menggunakan nama bekas presiden Indonesia, Encik Abdurrahman Wahid, atau Gus Dur.

Akhbar Harian Tempo, Khamis lalu melaporkan Gus Dur dan 48 lain, sebelum ini pernah memfailkan laporan polis mengenai GoldQuest.

Syarikat itu menggunakan gambar Gus Dur dan datuk beliau yang juga pengasas Nahdatul Ulama, Encik Hasyim Asy'ri, bagi mempromosi barangan mereka tanpa kebenaran. - NST, BHM.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 8-5-2007 10:22 AM | Show all posts
BUDAK 2 TAHUN MAUT TAK SEMPAT MAKAN NASI
MUAR: Hasrat seorang budak perempuan dua tahun untuk makan nasi bungkus yang dibeli ibunya tidak kesampaian apabila dia maut akibat motosikal yang dinaiki bersama ibu dan abangnya dirempuh kereta di Jalan Simpang Jeram, di sini, Sabtu lalu.

Zulaika Aziz meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam kejadian 8.15 malam itu.

Ibunya, Cik Rosalisa Ramli, 29, dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, manakala abangnya, Mohd Ridwan, lapan tahun, patah kaki dan dirawat di hospital sama.

Mereka dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Taman Jeram Molek selepas membeli nasi bungkus di sebuah warung.

Difahamkan hanya ibu dan abangnya memakai topi keledar.

Allahyarhamha, yang duduk dalam bakul motosikal Honda Wave itu, dipercayai tercampak beberapa meter dari tempat kejadian.

Bapanya, Encik Aziz Mohammad, 33 tahun, berkata Allahyarhamha beberapa kali mahu makan nasi di warung itu.

'Biasanya, saya sendiri pergi membeli nasi berlauk untuk sekeluarga, tetapi kebetulan malam semalam (Sabtu) saya kepenatan menyebab kan isteri menawarkan diri untuk membeli makanan. Saya tidak sangka permintaan Ika itu adalah buat kali terakhir,' katanya.

Encik Aziz berkata isterinya dari awal lagi melarang Mohd Ridwan ikut bersama tetapi dia terus mencapai topi keledar dan membonceng motosikal.

Jurucakap polis berkata motosikal mereka sedang keluar dari Jalan Simpang Jeram apabila sebuah kereta merempuhnya. - BHM.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-12-2024 02:17 PM GMT+8 , Processed in 0.067495 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list