CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: mohdmus

(MERGED) PASUKAN SIMPANAN ATM (AW/PSSTLDM/PSSTUDM)

[Copy link]
Post time 3-5-2015 06:25 PM | Show all posts
27 Mac 15 - Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Kehormat dan Sukarela Askar Wataniah telah disempurnakan oleh Yang Mulia Tan Sri Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat  kepada Lt Kol (K) Datuk Roslan bin Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Negeri Melaka, Lt Kol (K) Dato’ Dr Sudin bin Haron, Pengarah Urusan Pusat Kajian Pengurusan Kekayaan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Lt Kol (K) Prof Dr Mohamed Fadzil bin Che Din,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UPNM dan Lt Kol Datuk Rozimi bin Remeli, Naib Presiden (Bahagian Penghataran), Tenaga Nasional Berhad (TNB). Majlis pemakaian pengkat telah diadakan di Bilik Tetamu Yang Mulia Panglima Tentera Darat.



Sumber:
http://army.mod.gov.my/raw/index ... rmat-askar-wataniah
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-5-2015 06:26 PM | Show all posts
3 Apr 15- Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela Askar Wataniah telah disempurnakan oleh Lt Jen Dato’ Seri Pahlawan Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi , Timbalan Panglima Tentera Darat kepada Lt Redzuan bin Zainal Abidin, Lt Muda Mohd Izzul Imran bin Mohd Johari dan Lt Muda Khairul Aswadi bin Mustafa. Majlis telah dilaksanakan di Wisma Perwira ATM.



Sumber:
http://army.mod.gov.my/raw/index ... rela-askar-wataniah
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 06:35 PM | Show all posts
Generasi baru Wataniah UMT



PASUKAN Askar Wataniah (PAW) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditubuhkan pada 2005 dengan kekuatan awal 30 orang. Memasuki 2015, kini PAW UMT mempunyai 220 anggota dan enam pegawai universiti yang dilantik khas oleh Naib Canselor.

Berbeza dengan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), anggota Wataniah UMT tidak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda, sebaliknya hanya akan tamat pengajian dengan Perajurit Muda atau Lain-Lain Pangkat (LLP) dalam perkhidmatan Pasukan Wataniah.

PAW UMT mempunyai program wajibnya yang tersendiri iaitu Kursus Pra-Perajurit Muda. Kursus ini adalah persiapan dan pengenalan kepada Kursus Perajurit Muda yang wajib dihadiri oleh semua anggota baru Wataniah di Malaysia.

Kursus ini juga diwajibkan kepada penuntut baharu yang menyertai Wataniah. Selepas selesai pengambilan nombor badan anggota Wataniah di Bahagian Pegawai Simpanan (Wataniah) di Mindef, pengurusan universiti akan mengadakan kursus pra ini untuk memperkenalkan apa itu Wataniah dan ilmu ketenteraan yang sebenar.

Kebiasaannya kursus ini dilaksanakan di luar kampus dan mengambil masa tiga hingga empat hari. Misalnya, Kursus Asas Pra- Perajurit Muda Wataniah UMT di adakan pada 24 - 27 April 2014 di Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang. Kursus  bertemakan Ex-Jungle Worrior dan diketuai Leftenan M Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail.

Selari dengan teras keempat universiti dan pemindahan ilmu, program ini dikendalikan oleh jurulatih askar tetap dari Rejimen 512 AW, Kem Padang Midin. Mereka dibantu anggota senior dan intermediate sebagai fasilitator, latihan dapat dijalankan lebih tersusun.

Cipta kejayaan

Keunggulan penuntut yang menyertai Wataniah ini dapat dilihat melalui pelaksanaan Karnival Ekpresi Unggul 2014, anjuran Pusat Pendidikan Asas dan Liberal.

Dalam karnival ini, PAW UMT diberi tugas untuk menganjurkan satu pertandingan yang melibatkan semua badan beruniform lain, iaitu Palapes Laut, Kor Sukarelawan Polis (Suksis), Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (Sispa) dan Kadet Nautika.

Dengan panduan dan tunjuk ajar jurulatih, Koperal (B) Zulkaman Othman dan Koperal Nor Asma Fadila Mansor serta menggunakan peralatan sedia ada dan kreativiti anggota, mereka juga berjaya menganjurkan pertandingan Mini Eco-Challenge dengan mencipta sendiri model peralatan seperti tangga kambing, gantungan monyet (monkeyrap), susur merangkak dawai, lompatan dua meter kolam dan mengusung bot UMT sebagai salah satu disiplin pertandingan.

Kejayaan menganjurkan pertandingan ini membuktikan bahawa mereka mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kokurikulum ketenteraan di dalam kampus mahupun semasa di latihan medan di bawah Rejimen 512 AW.

Ternyata kekentalan dan semangat PAW UMT masih utuh apabila mereka adalah johan pertandingan kawad bagi empat tahun berturut-turut. Setiap tahun, UMT akan menganjurkan karnival kokurikulum yang mempertandingkan kawad kaki dan beberapa acara lain untuk siswa baharu.

Aktiviti-aktiviti PAW UMT diselaraskan oleh pengurusan tertinggi pasukan yang diketuai Mejar (K) Badruhisham Darus, Ketua Bahagian Kebudayaan dan Kesenian UMT yang dilantik sebagai Timbalan Komander PAW UMT.

Walaupun hanya mempunyai seorang pegawai wanita iaitu Leftenan Mejar Siti Noriam Yaakob, Ketua Bahagian Sukan dan Rekreasi yang memegang jawatan sebagai Ajutan, pasukan ini terus aktif dalam pelbagai aktiviti, sama ada di peringkat universiti mahupun peringkat rejimen.

Pasukan ini juga terkenal di peringkat Jawatankuasa Pendokong Askar Wataniah Terenganu (JAKPAW) dengan persembahan tarian perang semasa program National Blue Oceon Stretegies (NBOS) ATM-PDRM peringkat negeri Terengganu.

Selama seminggu anggota PAW UMT mengadakan persembahan di khalayak ramai di Batu Buruk, Kuala Terengganu dan mendapat pujian pelbagai peringkat umur serta menarik minat orang ramai untuk menyertai pasukan Wataniah.

PAW UMT yang dipimpin oleh Nur Iziati Ab Aziz sebagai Yang Dipertua, juga penuntut yang berpengalaman lebih empat tahun sejak 2009 semasa mengikuti Diploma Perikanan di UMT.

Beliau merupakan penggerak kepada semua aktiviti dan membantu menguruskan tiga peringkat di bawah pentadbirannya. Beliau menerima anugerah sebagai Kepimpinan Terbaik 2014 semasa majlis Anugerah Kecemerlangan Askar Wataniah UMT 2014.

Semoga pasukan Wataniah UMT akan terus gemilang dan mencapai hasratnya untuk dinobatkan sebagai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Darat) dan terus memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/re ... taniah-umt-1.359228
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 06:38 PM | Show all posts
Khairy naik pangkat



SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dinaikkan pangkat sebagai Kolonel selepas menjalani kursus pegawai dalam pasukan sukarela Askar Wataniah, hari ini.

Memetik petikan Facebooknya hari ini, Khairy berkata, pelantikan ini amat bermakna dan beliau  berikrar untuk memberikan khidmat terbaik untuk menjaga nama baik Rejimen 508.

“Terima kasih Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera atas pemakaian pangkat saya pagi tadi.

“Saya telah menyertai Rejimen 508 sebagai rekrut biasa, menjalani latihan rekrut bersama anggota Wataniah yang lain,” katanya.

Justeru pelantikan ini amat bermakna bagi saya dan saya berikrar untuk memberi khidmat yang terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron turut dipakaikan pangkat sebagai Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah yang ditauliahkan pangkat Brig Jen (Kehormat).

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Holdings, Tan Sri Shahril Shamsuddin pula ditauliahkan pangkat Brig Jen (kehormat).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar masing-masing dipakaikan pangkat Kolonel (kehormat).

Majlis pemakaian pangkat itu disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Kementerian Pertahanan (Kementah).

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/na ... ik-pangkat-1.295359
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 06:40 PM | Show all posts
514 warga politeknik masuk hutan



DUNGUN – Kawad kaki, merentas halangan di kawasan hutan serta bermalam dalam khemah antara pengalaman yang terpaksa dilalui 514 warga politeknik melibatkan 490 penuntut serta 24 pegawai dari seluruh negara dalam satu program kem latihan Askar Wataniah yang berlangsung dekat sini.

Program di bawah seliaan Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin Kuala Terengganu dengan kerjasama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) itu merupakan sebahagian daripada latihan asas ketenteraan yang perlu dilalui oleh anggota Askar Wataniah dari politeknik seluruh negara yang kini sudah mencecah 830 orang.

Menurut Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Pahlwan Zulkifli Mansor, latihan selama dua minggu itu memberi pengalaman kepada Askar Wataniah terlibat, secara tidak langsung meningkatkan keupayaan, kekuatan serta pengaktifan anggota sukarela.

“Saya harap latihan ini dapat memberi manfaat kepada pelajar untuk membina jati diri, disiplin dan pengetahuan asas ketenteraan.

“Ia juga dapat menghasilkan modal insan yang berjiwa patriotik sebagai pemangkin untuk menarik lebih ramai pelajar menyertai Askar Wataniah,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena perasmian penutup di PSMZA, dekat sini.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar berkata, Jabatan Pengajian Politeknik sentiasa komited untuk melahirkan graduan berdaya saing bagi memenuhi tuntutan negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 nanti.

Katanya, penganjuran latihan seperti ini merupakan medan ujian untuk dijadikan kayu pengukur kepada tahap kemampuan fizikal dan mental anggota Askar Wataniah Politeknik.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/mo ... asuk-hutan-1.337966
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 06:45 PM | Show all posts
Saran anggota Palapes sertai pasukan keselamatan



ALOR SETAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar setiap anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) menyertai pasukan keselamatan kerana mereka pernah dilatih sebagai pegawai berwibawa semasa di universiti.

Baginda bertitah, mereka juga perlulah komited terhadap peranan, tugas serta tanggungjawab masing-masing sebagai seorang pegawai apabila menjadi sebahagian daripada anggota beruniform kelak.

"Berusahalah memberi informasi terkini dan tepat, mempelawa dan menjemput orang ramai untuk turut sama menyertai pasukan keselamatan ini.

"Berperananlah sebagai ‘promoter’ kepada pasukan keselamatan dan memberi penjelasan serta gambaran positif terhadap organisasi ini, serta ikutilah kesemua latihan asas, lanjutan dan hadirilah kursus-kursus berkaitan yang ditawarkan dalam profesion ini," titah baginda di sini malam tadi.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bertitah pada Majlis Santapan Malam Rejimental sempena Pentauliahan Diraja Ke-7 Pegawai Kadet Palapes dan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Unimap, di sini.   

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Naib Canselor yang juga Komandan Palapes Unimap, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Asisten Panglima, Bahagian Simpanan Tentera Darat, Mejar Jen Datuk Zulkifli Mansor. Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah, setiap pegawai juga mestilah bersikap profesional dan bertaraf kelas pertama dalam semua aspek keselamatan.

"Mereka seharusnya mempunyai serta memiliki ciri-ciri asas seperti keberanian, kesetiaan, disiplin dan kesabaran, kecergasan dan daya tahan serta kehormatan diri yang tinggi.

"Sebagai seorang pegawai, sentiasalah menjadi teladan kepada semua anggota pasukan di bawah anda. Milikilah semangat memimpin melalui teladan dan jadilah sebagai idola terhadap anggota bawahan agar mereka juga akan melaksanakan kewajipan secara selamat, bertanggungjawab, cekap dan terlatih," titah baginda.

Baginda bertitah, anggota keselamatan juga hendaklah sentiasa benar-benar berwibawa, berdedikasi, komited, amanah dan berdisiplin tinggi seiring dengan ikrar kesatria yang perlu disemat dalam sanubari setiap anggota.

Pada tahun ini sebanyak 115 Pegawai Muda Tentera Darat daripada kalangan pelajar Unimap ditauliahkan manakala 49 lagi ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarela Suksis Polis Diraja Malaysia. - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/na ... eselamatan-1.325992
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 3-5-2015 06:51 PM | Show all posts
Askar Wataniah politeknik melebihi 2 batalion infantri

DUNGUN 14 Nov. – Jumlah warga politeknik menganggotai Askar Wataniah di seluruh negara kini melebihi kekuatan dua batalion infantri, hasil inisiatif yang dirintis pada tahun 1991 dengan sasaran pengambilan anggota daripada rangkaian institusi itu.

Asisten Panglima Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat, Mejar Jen. Datuk Zulkifli Mansor memberitahu, separuh daripada 33 politeknik telah mempunyai anggota Askar Wataniah dengan kekuatan 43 pegawai dan 1,783 anggota lain-lain pangkat.

Katanya, penyertaan mereka boleh dijadikan contoh dan ikutan kepada generasi muda untuk mempertahankan negara sekiranya berdepan dengan konflik dan membantu pihak berkuasa semasa bencana alam.

“Saya yakin sokongan padu dan berterusan daripada pihak politeknik juga dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan semangat patriotisme dan sayang kepada negara dalam kalangan rak-yat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Pembukaan Kem Tahunan Askar Wataniah Politeknik Se-Malaysia Siri 9/2014 (MalPTAAC) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pendidikan, Ghaus Abdul Kadir dan Pengarah PSMZA, Mohd. Pauzi Ibrahim.

Sebanyak 14 politeknik yang telah menubuhkan pasukan Askar Wataniah menyertai program selama 15 hari itu dengan penglibatan lebih 800 anggota keseluruhannya.

Program diadakan bertujuan menilai dan menguji kemampuan anggota setelah mengikuti latihan di politeknik dan unit masing-ma-sing melalui beberapa latihan dan pertandingan yang bakal diadakan.
“Konsep MalPTAAC kali ini berdasarkan latihan kem tahunan unit Askar Wataniah dan bagi menarik minat serta menimbulkan persaingan, beberapa aktiviti me-libatkan kemahiran ketenteraan turut di-selitkan termasuk menembak, per-tandingan kawad, di samping latihan medan bagi fasa peperangan konvensional,” ujar beliau.

Katanya, pelaksanaan latihan itu dapat membantu perkembangan dan pembangunan Askar Wataniah terutama dalam aspek meningkatkan paras kekuatan dan peratus keaktifan anggota sukarela.
“Di pihak politeknik pula, latihan ini diharap dapat memberikan manfaat kepada pelajar dalam membina jati diri, mengukuhkan disiplin, meluaskan pengetahuan asas ketenteraan dan menyemai semangat patriotik,” ujarnya

Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.cLjC0OvL.dpuf
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 06:55 PM | Show all posts
Perkasakan Askar Wataniah

Majikan perlu beri peluang pekerja sertai latihan - Khairy



PENGALAMAN dua minggu merasai kehidupan ala tentera pastinya merupakan satu detik indah yang sukar dilupakan oleh 185 Askar Wataniah yang mengikuti majlis penutup latihan Kem Tahunan Kolaboratif Siri 1/2014 Askar Wataniah dekat Felda Kepis di Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Jika sebelum ini masing-masing sibuk dengan kehidupan di luar, namun demi matlamat untuk menjadi salah seorang daripada pasukan simpanan negara mereka sanggup meninggalkan keluarga dan kerjaya hanya untuk mendapatkan ilmu dalam bidang ketenteraan.

Memegang matlamat, semua pihak perlu mempertahankan negara, mereka sentiasa bersedia sekiranya dikerah untuk mengikuti mana-mana misi sekiranya keadaan memerlukan khidmat mereka.

Kecekapan mereka menjalani latihan harus dipuji, malah berdasarkan pemerhatian penulis mereka agak mahir dan bersemangat ketika menjalankan serangan akhir. Mereka fokus dalam perjuangan tersebut bagi memastikan musuh yang disasarkan binasa dalam jangka masa yang ditetapkan.

Apa yang menarik, majlis penutup latihan itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang selama ini memberi sokongan padu terhadap aktiviti Askar Wataniah.

Beliau ketika berucap menutup program tersebut meminta semua majikan sama ada daripada sektor awam atau swasta supaya memberikan kerjasama apabila pekerja memohon cuti bagi mengikuti latihan dalam kursus Askar Wataniah.

Menurut Khairy, penglibatan orang awam terutamanya belia dalam pasukan tersebut amat penting bagi membantu memantapkan pasukan keselamatan negara.

“Ada sebahagian peserta yang mendaftar sebagai Askar Wataniah gagal untuk mengikuti kursus yang dianjurkan apabila majikan tidak memberi cuti.

“Majikan perlu ingat, pekerja mahu mengikuti kursus tersebut dengan misi untuk membantu negara. Mereka bukan mengambil cuti untuk berhibur malah majikan perlu berbangga apabila pekerja mereka mendaftar sebagai Askar Wataniah,” katanya ketika berucap pada majlis penutup latihan itu dekat Felda Kepis baru-baru ini.

Beliau berkata, kursus tahunan amat penting dan mengambil masa yang agak lama iaitu selama dua minggu.

“Sekiranya majikan sukar memberikan kerjasama maka jumlah peserta yang mendaftar untuk menjadi Askar Wataniah akan menurun.

“Kursus tersebut bukan sahaja melatih peserta mengenai langkah mempertahankan diri malah ia turut memberikan fokus kepada disiplin. Ia mampu melahirkan pekerja yang mempunyai jati diri yang tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, peserta kursus harus memanfaatkan ilmu yang diperolehi sepanjang mengikuti kursus.

“Dalam kursus ini mereka didedahkan mengenai kedudukan sebenar di medan dan mengetahui gerakan yang perlu dilakukan ketika berdepan musuh.

“Jangan terus dibuai mimpi bahawa negara aman kerana musuh boleh datang bila-bila masa sahaja. Lihat sahaja apa yang pernah terjadi di Lahad Datu, Sabah. Ingat tugas mempertahankan negara bukan hanya tanggungjawab tentera tetapi tanggungjawab rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Latihan Rejimen 508, Mejar Asraff Sharif berkata, kursus pada kali ini melibatkan sebanyak 185 orang Askar Wataniah.

Beliau berkata, dalam kursus yang diadakan selama dua hari itu, peserta telah diberikan pelbagai pendedahan iaitu satu minggu di peringkat kem dan satu minggu adalah latihan medan.
“Untuk latihan di kem kita telah adakan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas iaitu meliputi latihan menembak, sukan lasak, lawatan ke bahagian kereta kebal serta karnival sukan.

“Bagi latihan medan pula, kita memberikan pendedahan cara untuk mara ketika mengadakan serangan dan memberikan pendidikan tentang kepentingan kekuatan dalam satu pasukan. Apabila kita berada dalam satu kumpulan, kita perlu saling bekerjasama kerana tanpa sikap tersebut agak sukar untuk menghadapi musuh,” katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/gaya-hi ... thash.SKX0dzq4.dpuf
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-5-2015 06:57 PM | Show all posts
Setiap Askar Wataniah disaran bawa ahli baharu tambah anggota



KUCHING - Bagi menambah jumlah keahlian dalam Askar Wataniah, setiap seorang anggota sukarela itu disarankan supaya membawa masuk ahli baharu untuk menyertai pasukan simpanan tentera darat tersebut.

Komander Regimen 511 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Tan Sri Morshidi Abd. Ghani berkata, Askar Wataniah merupakan satu-satunya pasukan simpanan tentera darat yang ada di Malaysia yang menjadi benteng kedua pertahanan negara.

Beliau berkata, Tentera Darat memerlukan pasukan sukarela itu bersedia sepanjang masa kerana hanya Askar Wataniah akan dipanggil apabila 'gendang perang' dipalukan.

"Mengambil kira naratif daripada markas Tentera Darat pasukan simpanan, Asisten Panglima Simpanan telah menetapkan sasaran yang perlu dicapai oleh semua Regimen Siri 500 Askar Wataniah dalam anggota baru sukarela pada 2014.

"Sasaran pengambilan yang telah ditetapkan ialah seramai 600 anggota dan ketika ini, Regimen 511 Askar Wataniah telah berjaya mendapat 454 anggota baru," katanya ketika berucap semasa Majlis Penutupan Latihan Kem Tahunan Siri 1/2014 Regimen 511 Askar Wataniah di Felda Sempadi, Lundu dekat sini baru-baru ini.

Latihan kem tahunan merupakan kemuncak latihan bagi sebuah Regimen Askar Wataniah bertujuan untuk menguji tahap kesiapsediaan anggota sukarela dalam memastikan mereka bersedia mengatur gerak apabila keadaan memerlukan.

Dalam latihan ini, anggota juga dinilai kemampuan setiap lapisan pemerintah, mempraktikkan arahan, kepimpinan dan pengurusan.

Menurut Morshidi, jumlah keanggotaan yang disasarkan itu tidak mustahil dapat dicapai sekiranya ada penglibatan menyeluruh dari semua peringkat anggota.

Beliau berkata, sebagai satu kaedah untuk mendapatkan anggota baru, Asisten Panglima Pasukan Simpanan telah menyarankan agar seorang anggota sukarela membawa masuk seorang ahli baru.

Katanya, kaedah tersebut akan dipraktikkan pada tahun hadapan dan penghargaan khas akan diberikan kepada sesiapa yang berjaya membawa ahli baru menyertai pasukan itu.

Dalam pada itu, Morshidi berkata, mereka yang menyertai Askar Wataniah perlu berbangga dengan perkhidmatan yang diberikan.

"Berbanggalah dengan perkhidmatan Askar Wataniah yang saudara saudari miliki sekarang. Saya menyarankan agar saudara dan saudari semua meneruskan perkhidmatan dalam Askar Wataniah sehingga had umur yang telah ditetapkan atau selagi hayat dikandung badan," ujarnya.

Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/ ... ggota#ixzz3Z4WZimn3
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 06:59 PM | Show all posts
Askar Wataniah jalani latihan di Taman Negara



JERANTUT - Seramai 50 Askar Wataniah dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KSAAS) menjalani latihan ketenteraan selama dua hari dan berakhir semalam di Taman Negara, Kuala Tahan di sini.

Pegawai Pemerintah 51 Kod (Askar Wataniah), Mejar Azman Maali berkata, latihan tersebut merupakan perintis kegiatan luar pertubuhan sukarela beruniform kementerian itu dengan kerjasama Perhilitan dan Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) untuk melaksanakan latihan lasak dan perkhemahan.

"Kegiatan itu diwajibkan kepada anggota sukarela Askar Wataniah untuk memenuhi syarat tempoh latihan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan bagi melengkapkan kemahiran persenjataan, kawalan lokasi, perkhemahan dan strategi ketenteraan bagi tujuan kesiapsiagaan pasukan sukarela dalam kancah permodenan negara.

"Kita berterima kasih kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan MTNR kerana membenarkan pasukan Askar Wataniah ini menggunakan kemudahan lojistik dan hutan di sini untuk mengadakan latihan tahunan," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Azman, semua anggota sukarela yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang tinggi, berdisiplin dan memenuhi kesiapsiagaan sebagai anggota pertahanan yang terlatih dan berintergriti.

"Taman Negara, Jerantut di sini dipilih sebagai lokasi latihan kerana sesuai untuk mendedahkan kemahiran perkhemahan dan kawalan kawasan termasuk rondaan keselamatan dalam kalangan anggota,'' jelasnya.

Sementara itu, Pengurus MTNR, Nathan Vaithi berkata, MTNR sering diberi tanggungjawab untuk mengendalikan latihan sedemikian dan menerima tetamu dalam kalangan pegawai tertinggi angkatan tentera untuk berekreasi, beriadah dan bermesyuarat di situ.

"Program ini antara sebahagian misi dan visi MTNR untuk menambah bilangan pelancong menginap di resort ini, selain mempromosi Taman Negara sebagai destinasi yang sesuai untuk latihan lasak bercorak ketenteraan dan menikmati keindahan biodiverisiti di sini," katanya.

Tambahnya, kemudahan hospitaliti dan lojistik di MTNR juga dapat memberi keselesaan pengunjung, khususnya dalam kalangan pasukan beruniform mengadakan pelbagai program latihan dan rekreasi di situ.

Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/ ... egara#ixzz3Z4X4lNKC
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:02 PM | Show all posts
Wataniah berani berdepan musuh



SEBARIS lirik lagu Kor Rejimen Askar Wataniah yang berbunyi 'jasad mungkin gugur di rimba, kami tetap gagah setia' sudah memadai untuk membangkitkan semangat 87 Pegawai Muda Sukarela Askar Wataniah yang menjalani Kursus Ketua Platun Siri 1/2014 di Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan), Kem Gunung Panjang, Tambun, Perak untuk mara berdepan dengan musuh.

Ini kerana sepanjang dua minggu menjalani kursus berkenaan yang bermula pada 26 Februari hingga 11 Mac lalu, mereka dibekalkan dengan modul asas peperangan termasuklah berkaitan peranan dalam organisasi, asas taktik, aplikasi konsep peperangan dan operasi ketenteraman awam.

Sepanjang kursus itu, semua pelatih diberi taklimat yang diketuai oleh Komander Puswatan, Leftenan Kolonel Pazil Mat.

Salah seorang anggota terlibat, Leftenan Muda Farhana Mustapa, 27, berkata, kesemua penuntut perlu melalui dua fasa pembelajaran iaitu fasa kem dan fasa medan.

"Fasa kem adalah fasa di mana kesemua penuntut diajar tentang teori asas peperangan oleh jurulatih yang berkemahiran.

"Setelah semua teori asas peperangan dipelajari, kami kemudiannya akan beralih kepada fasa medan iaitu teori berkenaan akan diaplikasi dalam misi peperangan," katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

Farhana berkata, fasa kedua lebih mencabar kerana kekuatan fizikal dan mental setiap penuntut diuji sepanjang berada di dalam situasi peperangan.

Katanya, ketika itu dia dan penuntut lain dapat merasai sendiri suasana peperangan sebenar dan terpaksa bergantung kepada kepakaran merancang strategi bagi menumpaskan musuh.

"Saya masih ingat lagi bagaimana perasaannya ketika diserang musuh dan pada masa itulah kami betul-betul menyedari betapa pentingnya konsep kesepakatan dan kerjasama dalam pasukan.

"Anehnya, saya sedikit pun tidak berasa gentar apabila mendengar bunyi tembakan, sebaliknya saya begitu bersemangat untuk bangkit membuat serangan balas menggunakan senjata M-16," ujarnya.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memberitahu, taktik bertahan juga diaplikasikan ketika berada di dalam situasi berperang.

Jelasnya, ketika berada dalam situasi bertahan, dia bersama tiga platun penuntut yang lain berjaya mempertahankan kubu mereka di atas bukit selama dua hari daripada ditawan musuh.

"Kami terpaksa berkampung di atas bukit yang kosong dalam keadaan cuaca panas selama dua hari kerana mahu mempertahankan kubu itu daripada ditawan pihak musuh.

"Mujurlah saya sudah ada sedikit pengalaman tentang cara hidup tentera sejak menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanas (Palapes) di UPM hingga ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada tahun 2009," katanya.

Farhana yang kini menjawat jawatan sebagai Eksekutif Perkhidmatan Korporat dan Pengurusan Risiko Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menambah, penyertaannya dalam pasukan Askar Wataniah juga didorong oleh pengaruh bapanya, Mustapa Md. Som, 65, yang merupakan bekas tentera.

Anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini berkata, penyertaannya dalam pasukan itu membawa manfaat berganda kerana selain membantu meningkatkan semangat patriotismenya kepada negara, dia juga dapat meningkatkan kecekapan dalam skop kerjayanya.

"Sebenarnya kekuatan seorang askar itu tidak bergantung 100 peratus pada kekuatan fizikalnya, sebaliknya perlulah disokong dengan kekuatan mental.

"Sebab itu, saya rasa melalui penyertaan saya dalam pasukan ini dapat membantu saya meningkatkan kualiti diri dari pelbagai aspek termasuklah menjadikan saya seorang pemikir dan perancang strategi yang baik, menjadikan saya lebih yakin diri dan berupaya bekerja di bawah tekanan," katanya.

Sementara itu, jurulatih kanan, Kapten Mohd. Nazrin Hamid berkata, kursus berkenaan dijalankan untuk semua Pegawai Muda Sukarela Askar Wataniah bagi melayakkan seseorang penuntut itu menjadi pemimpin di peringkat platun.

"Secara peribadi, kursus ini telah berjaya mencapai sasarannya terutama dalam membentuk keperibadian seorang Pegawai Muda yang berpengetahuan dalam bidang taktikal dan keperluan asas lain semasa berada di dalam pasukan tentera," katanya.

Katanya, latihan itu selari dengan aspirasi Askar Wataniah yang merupakan angkatan simpanan Tentera Darat Malaysia yang berperanan sebagai benteng kedua dalam mempertahankan negara.

Sumber:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/ ... musuh#ixzz3Z4XnxJTA
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:08 PM | Show all posts
MAJLIS PENUTUP KURSUS LT DAN LT DYA PSSTLDM 2014 DAN PALAPES LAUT ALAM FASA 6 TAHUN 3 DI KD SULTAN IDRIS I

Majlis Penutup Kursus Lt dan Lt Dya Pegawai Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan Kursus Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Laut Akademi Laut Malaysia (ALAM) Fasa 6 Tahun 3 telah diadakan di Auditorium Venus, KD SULTAN IDRIS I (KDSI I) pada jam 1500H. Ia melibatkan 74 orang Pegawai Dalam latihan (PDL) Kursus Lt dan Lt Dya PSSTLDM dan 20 orang PDL Kursus PALAPES (Laut) ALAM.



Kursus Lt dan Lt Dya PSSTLDM yang berlangsung selama seminggu ini telah disertai oleh 7 unit simpanan TLDM. Sepanjang tempoh ini pelatih telah didedahkan dengan beberapa aktiviti dalam memastikan objektif pelaksanaan kursus tercapai dengan jayanya. Selain daripada mengikuti kelas pengetahuan asas seperti General Navigation, Maritime Law, Naval Communication, dan RMN Core Values peserta turut didedahkan dengan kelas PIFA selaras dengan kehendak perkhidmatan. Selain mengikuti kelas, peserta turut mengikuti lawatan ke Markas Udara, Galeri PTL, KD DUYONG dan KD KASTURI. Perlawanan bola tampar turut diadakan di antara pelatih dan pegawai staf.



Kursus PALAPES Laut ALAM pula telah berlangsung selama 2 minggu bermula 23 Jun 14 yang lepas. Mereka telah berpeluang untuk mengenal dengan lebih dekat fungsi unit-unit TLDM setelah mengikuti lawatan ke Markas Udara, KD DUYONG, Galeri PTL serta lawatan di KD HANG TUAH. Mereka turut menjalani latihan ketenteraan seperti kawad kaki, berenang dan uji cergas. Di samping itu, peserta telah berpeluang untuk melaksanakan latihan navigasi di WASPADA serta latihan di TANGKAS. Mereka turut berpeluang mempelajari pengendalian perahu layar di Boathouse.



Majlis Penutup Kursus Lt dan Lt Dya PSSTLDM dan Kursus PALAPES Laut ALAM telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah KD SULTAN IDRIS I, Kept Roslan bin Mohd Yunus TLDM. Di dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta kursus kerana berjaya menamatkan kursus tanpa sebarang masalah. Di samping itu juga, beliau turut mezahirkan rasa gembira kerana peserta telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan kejayaan pelaksanaan kursus.

Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... i-kd-sultan-idris-i
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:13 PM | Show all posts
PASUKAN SIMPANAN SUKARELA TLDM (PSSTLDM) DAN PALAPES UiTM KD SRI KLANG DI TANGKAS, KD PELANDOK

Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dan PALAPES UiTM Shah Alam dari KD SRI KLANG telah menjalani Latihan Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA) di TANGKAS, KD PELANDOK di sini, semalam. Latihan yang dihadiri seramai 81 orang pegawai dan anggota ini merupakan sebahagian dari Rancangan Latihan (RALA) yang telah dirangka untuk pelatih dari KD SRI KLANG bagi tahun ini.





Secara keseluruhan, objektif latihan adalah untuk memahirkan pegawai dan anggota PSSTLDM berkenaan aspek latihan praktikal dan prosedur MKMA dijalankan. Latihan juga bertujuan untuk mendedahkan situasi sebenar kepada pelatih apabila berhadapan dengan situasi sedemikian kelak. Latihan dimulakan dengan kelas ulangkaji teori kepada peserta, diikuti dengan latihan praktikal mengawal kebanjiran di dalam simulator DCTU dan diakhiri dengan latihan praktikal melawan api di dalam FFTU. Latihan dijalankan di bawah seliaan dan tunjuk ajar Jurulatih TANGKAS yang berpengalaman diketuai oleh Lt Mohd Zaini bin Mohd Yusop TLDM dan PW II TMK Mohd Haidzir bin Abdul Shukor. Latihan berkala sebegini telah memberi impak positif kepada pegawai dan anggota PSSTLDM serta PALAPES bagi memantapkan lagi ilmu dan pengalaman di dalam perkhidmatan khususnya di dalam aspek MKMA.





Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... tangkas-kd-pelandok
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:16 PM | Show all posts
MAJLIS PEMAKAIAN PANGKAT PEGAWAI MEMERINTAH KD SRI MANJUNG

Majlis pemakaian pangkat Pegawai Memerintah KD SRI MANJUNG telah diadakan di Padang Kawad KD PELANDOK pada jam 1000 pagi. Majlis yang penuh bermakna ini telah dihadiri oleh YBhg Komander Pangkalan Lumut (KOMPAL) Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Khairuddin bin Mohd Arif, Pegawai Memerintah KD MALAYA Kepten Kamaruddin bin Omar, Pengarah MTL Simpanan P/Kepten Zainul Rashid bin Abdullah, Pegawai Memerintah Unit PSSTLDM, Pegawai kanan, dan anggota PSSTLDM bagi sama-sama meraikan majlis yang bersejarah ini.



Objektif pemakaian pangkat Pegawai Memerintah merupakan salah satu tradisi TLDM untuk mengiktirafkan seorang Pegawai Tertinggi dimana sumbangan yang diberikan oleh pegawai tersebut banyak menaikkan nama TLDM amnya serta Angkatan Tentera Malaysia khasnya. Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) merupakan Angkatan Simpanan TLDM yang berfungsi sebagai benteng kedua pertahanan negara.  PSSTLDM ditubuhkan pada 1963 sejajar dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).





Upacara dimulakan dengan pemakaian pangkat Pegawai Memerintah KD SRI MANJUNG Kepten Veerakumar a/l Subbiah PSSTLDM yang telah disempurnakan oleh YBhg KOMPAL Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Khairuddin bin Mohd Arif. Kepten Veerakumar a/l Subbiah PSSTLDM telah berkhidmat dalam PSSTLDM selama 20 tahun dan telah menyertai KD SRI MANJUNG sebagai Pegawai Kadet Kanan pada 1 Febuari 1994. Dengan memiliki kelulusan Sarjana Muda Pendidikan dan Sarjana Sains Teknologi Maklumat dari Universiti Sains Malaysia, beliau kini bertugas di Jemaah Nazir Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah mulai 14 November 2013 dengan pangkat Komander dan kini telah dinaikkan ke pangkat Kepten mulai 1 November 2014. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh YBhg KOMPAL. Majlis kemudiannya disusuli dengan bacaan doa oleh Pegawai Laksana KD SRI MANJUNG, Kdr Abdul Rahman bin Abdul Hamid PSSTLDM sebelum diakhiri dengan sedikit jamuan ringan.

Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... ntah-kd-sri-manjung
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:19 PM | Show all posts
PERBARISAN PEMBUKAAN KEM TAHUNAN PSSTLDM 2014

Perbarisan Pembukaan Kem Tahunan Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) telah dilaksanakan di Padang Kawad KD PELANDOK.  Kem Tahunan PSSTLDM pada kali ini telah disertai seramai 250 warga PSSTLDM iaitu terdiri daripada 134 orang Pegawai dan 116 anggota Lain-Lain Langkat (LLP).



Perbarisan ini diketuai oleh Lt Kdr Thangaraj a/l Veluchamy PSSTLDM dan terdiri daripada 5 platun yang melibatkan Pegawai dan anggota LLP dari 11 buah unit Pasukan Simpanan TLDM seluruh Malaysia serta diiringi oleh Pancaragam KD PELANDOK.  Acara perbarisan bermula pada jam 0815 pagi setelah Komander Pangkalan Lumut (KOMPAL), Yang Berbahagia Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Khairuddin bin Mohd Arif tiba.  Ketibaan YBhg  KOMPAL telah disambut oleh Pengarah Sumber Manusia – Simpanan P/Kept Zainul Rashid bin Abdullah, Pegawai Memerintah KD SRI INDERA SAKTI Kept Noor Zukhi bin Harun, Pegawai Memerintah KD MALAYA P/Kept Kamaruddin bin Omar serta Pegawai-pegawai Memerintah PSSTLDM.  Seterusnya, YBhg KOMPAL menerima tabik hormat dan disusuli dengan pemeriksaan platun.  





Di dalam ucapan perasmian, beliau telah mengalu-alukan kedatangan kesemua peserta Kem Tahunan PSSTLDM dan menyarankan agar peserta member komitmen yang tinggi dalam setiap aktiviti yang akan dilaksanakan.  Selepas tamat perbarisan, YBhg KOMPAL meluangkan masa bergambar bersama Pegawai Kanan, Pegawai PSSTLDM serta Pegawai Staf.  Selesai sahaja sesi bergambar, YBhg KOMPAL telah meluangkan masa beramah mesra dengan warga PSSTLDM sambil menikmati jamuan ringan yang telah disediakan.  



Kesemua peserta menunjukkan sikap bersemangat dan teruja untuk mengikuti pelbagai program dan siri latihan yang telah dirancang sepanjang Kem Tahunan kali ini terutamanya pelayaran bersama KD SRI INDERA SAKTI dan KD JEBAT.  Diharapkan kesemua peserta dapat memberikan komitmen yang jitu dalam menjayakan Kem Tahunan PSSTLDM pada tahun ini sekaligus mendokong objektif Kem Tahunan serta membuktikan keberkesanan latihan yang telah dilaksanakan di unit-unit PSSTLDM.



Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... ahunan-psstldm-2014
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:23 PM | Show all posts
BENGKEL HALATUJU PSSTLDM PEMACU KEARAH KECEMERLANGAN

Bengkel halatuju PSSTLDM telah diadakan sempena Kem Tahunan PSSTLDM bertempat di Bilik Mesyuarat KD SRI MANJUNG selama 4 hari bermula 23 sehingga 26 Nov 14.  Bengkel ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pengurusan Sumber Manusia – Simpanan P/Kept Zainul Rashid bin Abdullah TLDM pada jam 0900 pagi. Seramai 30 Pegawai PSSTLDM terlibat bagi membincangkan dan membentangkan kertas kerja untuk halatuju dalam memperkasakan peranan PSSTLDM selaku pasukan sokongan TLDM.



Bengkel pada siri kali ini menjurus kepada kajian terhadap peranan, tugas dan tanggungjawab PSSTLDM semasa aman, sumbangan individu PSSTLDM berdasarkan kepakaran dan kebolehan kepada TLDM serta aktiviti mahupun latihan yang boleh menarik minat warga PSSTLDM yang kurang aktif. Para peserta bengkel dibahagikan kepada 3 sindiket dan hasil kajian ini akan dibentangkan pada hari terakhir bengkel kepada Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Laksamana Muda Dato’ Anuwar bin Mad Said.





Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... earah-kecemerlangan
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-5-2015 07:26 PM | Show all posts
KD SRI INDERA SAKTI BERSAMA KEM TAHUNAN PASUKAN SIMPANAN SUKARELA TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (PSSTLDM)

Kem Tahunan PSSTLDM 2014 telah dilaksanakan mulai 13 hingga 27 Nov 14 di  Pangkalan Lumut dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Seramai 250 warga PSSTLDM dari 11 unit PSTLDM yang terlibat dengan Kem Tahunan kali ini.





KD SRI INDERA SAKTI dan KD JEBAT telah dijadikan sebagai platform untuk anggota PSSTLDM menjalani latihan di laut bermula dari 17 hingga 21 Nov 14. Seramai 136 anggota Pegawai dan LLP telah mengikuti pelayaran untuk menjalani latihan praktikal di kapal – kapal TLDM. Tujuan pelayaran ini adalah untuk menyemarakkan semangat dan minat anggota PSSTLDM melalui pelaksanaan latihan yang lebih menarik di kapal, meningkatkan tahap keaktifan anggota PSSTLDM melalui latihan yang bermutu dan berkesan serta menilai tahap keberkesanan latihan yang dilaksanakan di unit PSSTLDM terhadap peranan dan tugas mengaugmentasi Angkatan Tetap.

Latihan bersama kapal TLDM ini telah diketuai oleh Kepten Noor Zukhi bin Haji Harun TLDM, Pegawai Memerintah KD SRI INDERA SAKTI manakala dari PSSTLDM diketuai oleh Kepten Dato’ Prof IR DR Alias bin Mohd Noor PSSTLDM.Latihan yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang pelayaran adalah seperti Latihan Penembakan, Penggeledahan, Pendaratan, Mencegah Kebanjiran Melawan Api (MKMA), Bersauh, Stesen Penerbangan, Pemindahan Tali Balingan dan Latihan Janggal. Kesemua latihan telah dilakukan dengan tunjuk ajar dan pemantauan oleh warga kapal.





Anggota PSSTLDM juga telah berpeluang melihat degan lebih dekat Pulau Jarak dan Pulau Perak yang merupakan kawasan tanggungjawab rondaan kapal TLDM

Pulau Langkawi telah dipilih sebagai salah satu tempat untuk kesemua pelatih PSSTLDM beristirehat. Kapal telah merapat di Jeto TLDM Langkawi (JTL) bagi member peluang kepada PSSTLDM beristirehat disamping melawat ke temat bersejarah.

Pengalaman dan ilmu yang sangat berharga ini amat dihargai oleh seluruh para peserta kem tahunan pada kali ini. Pengalaman ini diharap dapat membantu dalam pelaksanaan tugas anggota PSSTLDM semasa diperlukan kelak.

Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... ja-malaysia-psstldm
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:29 PM | Show all posts
PROJEK JIWA MURNI – PSSSTLDM KD SRI MANJUNG BANTU MANGSA BANJIR DI DAERAH PERAK TENGAH

Pegawai dan Anggota Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dari unit KD Sri Manjung, Pangkalan TLDM Lumut mengambil inisiatif membantu mangsa banjir di kawasan daerah Perak Tengah.



Satu tim PSSTLDM yang terdiri daripada 17 pegawai dan anggota lain-lain pangkat PSSTLDM telah digerakkan ke Pusat Pemindahan Utama Banjir daerah Perak Tengah di MRSM Pasir Salak, Kampung Gajah dan Pusat Pemindahan Banjir SMK Sungai Ranggam, Kota Setia, Teluk Intan pada Sabtu dan Ahad, 3 dan 4 Januari 2014. Pegawai Memerintah KD Sri Manjung, Kept Veerakumar a/l Subbiah PSSTLDM turut serta dalam program ini.



Dalam projek jiwa murni ini PSSTLDM Lumut telah membantu dan menyumbangkan bekalan keperluan makanan dan pakaian terpakai kepada mangsa banjir di MRSM Pasir Salak, Kampung Gajah. Di Pusat Pemindahan Banjir SMK Sungai Ranggam, Kota Setia, Teluk Intan, pegawai dan anggota PSSTLDM bergotong-royong bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Wanita UMNO Parlimen Pasir Salak membantu menyediakan makanan bermasak iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam kepada mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut. Bantuan yang dihulurkan oleh tim PSSTLDM ini merupakan tanggungjawab kepada masyarakat setempat dan negara.



Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... daerah-perak-tengah
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:32 PM | Show all posts
LATIHAN MKMA PASUKAN SIMPANAN SUKARELA TLDM (PSSTLDM) KD SRI KLANG DI TANGKAS, KD PELANDOK

Lumut 8 Feb 15 – Latihan Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api di Sekolah CBRNDC, KD PELANDOK oleh Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dari KD SRI KLANG telah dilaksanakan dengan jayanya disini. Latihan yang dihadiri seramai 42 pegawai dan anggota ini adalah sebahagian dari RALA KD SRI KLANG 2015 yang telah dirangka. Secara keseluruhan, objektif latihan adalah untuk memahirkan pegawai dan anggota PSSTLDM berkenaan aspek latihan praktikal Mengawal Kerosakan dan Melawan Api (MKMA) dan memberi pendedahan situasi sebenar kebakaran.



Kesemua latihan yang dilaksanakan adalah di bawah seliaan dan tunjuk ajar oleh Jurulatih Sekolah CBRNDC yang diketuai oleh Ketua Sekolah CBRNDC Lt Mohd Zaini bin Mohd Yusop TLDM dan dibantu oleh Lt Mohd Yusairy b Mohd Yusri TLDM, PW II TMK Mohd Zamzuri bin Saleh, BK TMK Suzalmi b. Sulaiman dan BK TLS Mohd Nawawi b. Chik. Turut hadir adalah Pegawai Memerintah KD SRI KLANG, Kdr Prof Madya Dr. Jamalunlaili bin Abdullah PSSTLDM.





Latihan dimulakan dengan kelas pengenalan kepada Alat Pemadam Api Kecil (APAK), diikuti dengan latihan praktikal penggunaan APAK mengikut kelas api.



Latihan berkala sebegini telah memberi impak positif kepada pegawai dan anggota PSSTLDM bagi memantapkan lagi ilmu dan pengalaman di dalam perkhidmatan khususnya di dalam aspek MKMA.

Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... tangkas-kd-pelandok
Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2015 07:36 PM | Show all posts
LATIHAN MENEMBAK SENJATA KECIL PSTL DAN PWTL BERSAMA DENGAN MAJIKAN ANGGOTA PSSTLDM DAN LAWATAN ULUNG PENGARAH PASUKAN SIMPANAN TLDM

Sesi latihan bermula pada jam 0800H setelah ketibaan Pengarah Pasukan Simpanan dan dimulakan dengan taklimat keselamatan dan tatacara penggunaan senjata dengan betul kepada majikan dan anggota.




Objektif latihan adalah untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan anggota dari segi penggunaan dan pengendalian senjata api kecil. Selain itu, latihan menembak ini juga dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara TLDM bersama dengan agensi luar.





Latihan menembak ini melibatkan penggunaan senjata jenis pistol Glock 17, pistol HS9, M4 Carbine dan M16 A1. Sebanyak 2 kategori latihan menembak dilaksanakan iaitu Centre Fire Target dan Jatuh Piring. elain latihan menembak ini, PSTL dan PWTL Kuching telah menerima lawatan ulung Pengarah Pasukan Simpanan TLDM ke Kuching. Lawatan ini juga bertujuan untuk mengenalpasti permasalahan yang berlaku di unit untuk dibincangkan di peringkat tertinggi TLDM.

Sumber:
http://www.navy.mil.my/index.php ... sukan-simpanan-tldm
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-9-2024 06:12 PM GMT+8 , Processed in 0.276036 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list