"Dalam kes saya, dia berjanji untuk memberikan keuntungan antara lima ke enam peratus, namun pulangan tidak diberi seperti dijanjikan.
"Susulan itu, saya bertegas untuk mendapatkan semula wang saya dan pelabur yang saya bawa masuk. Namun saya dianiaya dengan pelbagai tindakan dilakukannya menjadikan beban hutang melambak hingga menyebabkan saya muflis.
"Malah, saya difahamkan lelaki ini menjalankan rantaian sindiket penipuan pelaburan ini dengan berselindung di sebalik rakannya bergelar Tan Sri yang didakwa mempunyai pengaruh dengan pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, hasil maklumat diperolehinya, terdapat ratusan pelabur terdiri daripada kakitangan kerajaan, golongan profesional dan pelabur antarabangsa menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan.
"Saya tahu ada di antara mangsa penipuan individu ini takut untuk tampil kerana diugut dan diberikan janji-janji manis meskipun sudah mengalami kerugian berjuta ringgit.
"Justeru itu, saya mohon supaya mangsa penipuan Datuk ini tampil sama ada membuat laporan polis atau menghubungi saya di talian 014-2214433.
"Ia bagi membolehkan kita bersama-sama memperjuangkan hak serta mengheret individu berkenaan ke muka pengadilan," katanya.
Sementara itu, ahli perniagaan dari United Kingdom, Lee Roger Meiklejohn, 50, berkata, dia juga menjadi mangsa kepada Datuk terbabit selepas diperkenalkan oleh seorang broker.
"Saya ditipu hampir 10 juta pound sterling (kira-kira RM60 juta) dengan ditawarkan untuk melabur dalam sebuah syarikat dengan pelbagai tawaran dan pulangan lumayan.
"Apa yang menyebabkan saya tertarik menyertai pelaburan itu adalah lelaki ini menggunakan nama-nama individu berpengaruh bagi meyakinkan saya.
"Selepas proses perjanjian selesai, saya diminta lelaki itu untuk memasukkan wang ke dalam syarikat pinjaman wang kewangan miliknya dengan alasan prosedur berkenaan sudah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.
Lee Roger berkata, dia hanya menyedari ditipu selepas lelaki terbabit mendakwa sudah menukar pelaburan itu kepada pemilikan saham syarikat berkenaan pada 2017.
"Selepas beberapa tahun, saya mendapati saya tidak memiliki saham seperti yang didakwa oleh individu terbabit menyebabkan saya membuat laporan polis berhubung penipuan itu pada 2019.
"Namun, saya dimaklumkan oleh polis bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan dinasihatkan untuk mengambil tindakan sivil," katanya.
Menurutnya, dia membuat satu lagi laporan polis berserta dapatan baru dan dokumen berkaitan, di sini, semalam, supaya pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.
"Sebelum ini, kes diklasifikasikan sebagai NFA dan saya tidak meneruskan tindakan sivil kerana berdepan banyak kekangan termasuk penularan Covid-19 ketika itu.
"Tetapi kali ini saya optimis kes ini dapat diselesaikan mengikut undang-undang atas kesalahan jenayah," katanya.