https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2019/07/590149/meghan-jadi-penyunting-tetamu-vogue-britain?utm_source=bh&utm_campaign=recsys&utm_medium=recsys
Meghan Markle tampil sebagai penyunting tetamu dalam isu September majalah fesyen terkemuka, Vogue versi Britain. - Foto Reuters
Meghan jadi penyunting tetamu Vogue Britain
LONDON: Isteri Putera Harry, Meghan Markle, bakal tampil sebagai penyunting tetamu majalah fesyen terkemuka, Vogue versi Britain bagi isu September, selain memaparkan perbualan santainya dengan bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga diraja, edisi bertajuk ‘Forces for Change’ itu, akan memaparkan 15 tokoh wanita yang terkenal dengan keberanian dalam menghadapi sebarang halangan, termasuk pakar primatologi terkenal dunia, Jane Goodall.
Primatologi adalah salah satu cabang zoologi yang berkaitan dengan kajian mengenai primat, iaitu kumpulan mamalia, termasuk monyet, orang hutan dan manusia.
“Tempoh tujuh bulan ini adalah satu proses yang memberikan kepuasan, kerana berpeluang menyunting isu fesyen pada tempoh yang mencatatkan rekod pembaca tertinggi, selain memberi tumpuan kepada nilai, matlamat dan tokoh yang memberi kesan besar dalam dunia hari ini.
“Menerusi edisi ini, saya harap anda dapat merasai kekuatan yang dimiliki kumpulan wanita yang dipilih bagi menghiasi muka depan,” katanya Meghan yang turut dikenali dengan gelaran Duchess of Sussex.
Wanita lain yang dipaparkan dalam edisi berkenaan, termasuk Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, dan pelakon Jane Fonda serta Salma Hayek Pinault, selain aktivis iklim remaja, Greta Thunberg. — AFP
|