CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: iansuryani

Berita Hari Ini - 2007

[Copy link]
Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:52 AM | Show all posts
SKIM GALAK INDUSTRI PELBAGAI SUMBER PASIR, GRANIT
PEMERINTAH akan mengenalkan satu skim pengongsian risiko bagi menggalak industri binaan terus mempelbagaikan sumber bekalan pasir dan granit.

Ini kerana pemerintah akur usaha mengimport pasir dan granit daripada pelbagai sumber adalah satu kegiatan berisiko.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Mah Bow Tan, mengumumkan ini dalam majlis anugerah Penguasa Binaan dan Bangunan (BCA) di pusat konvensyen Raffles City, semalam.

Beliau berkata gangguan bekalan pasir dan granit dari Indonesia baru-baru ini tanda jelas perlunya industri binaan mempelbagai sumber dan menukar ke cara pembinaan yang mampu bertahan semana mungkin.

'Industri binaan telah mula mendapatkan bekalan alternatif untuk pasir dan granit dan usaha mempelbagai bekalan ini mesti diteruskan.

'Mempelbagaikan bekalan akan membawa beberapa risiko. Untuk menggalak pihak industri mengimport dari lebih banyak sumber, BCA sedang melakar satu skim agar sebahagian risiko itu dapat dikongsi,' kata Encik Mah.

Beliau turut menggesa agar bahan gantian sesuai dicari bagi pasir dan granit dalam menghasilkan konkrit.

'Seperti kes Airbaru, bolehkan kita mencari alternatif kepada pasir dan granit yang mudah didapati dan berkos rendah, mungkin 'Konkrit Baru'?' kata Encik Mah.

Satu hurain inovatif, tambahnya, ialah menggunakan campuran sisa tembaga dan batu-batu kasar yang dikitar semula.

Menurutnya, BCA mahu mengurangkan permintaan industri bagi pasir dan granit sebanyak 30 hingga 50 peratus dalam masa lima tahun.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:52 AM | Show all posts
Kolam Air Lower Seletar pusat ketujuh yang diselaras Persatuan Rakyat

Oleh
Halifi Hussin

PENDUDUK di utara dan tengah Singapura kini boleh menikmati kegiatan sukan air tanpa perlu bersusah payah ke laut - di kejiranan Yishun.

Pusat yang terletak dalam kawasan takungan Kolam Air Lower Seletar itu merupakan yang ketujuh disediakan di bawah jenama Water-Venture (WV) atau Usaha Niaga Air yang diselaraskan Persatuan Rakyat (PA).

Sebelum ini, empat kelab sukan laut dan dua pusat sukan air PA yang terletak di East Coast, Changi, Kallang, Pasir Ris, Bedok Reservoir dan Jurong Lake telah pun digabungkan di bawah jenama tersebut.

Antara lain, pusat WV yang terletak berhampiran Stadium Yishun di Yishun Avenue 1 itu, menawarkan kemudahan menyewa kayak dengan harga $5 sejam (bagi ahli WV) atau $15 sejam (bagi bukan ahli).

Namun, para pengunjung yang ingin berkayak untuk menikmati suasana nyaman dan menerokai sekitaran menghijau kolam ayer tersebut harus berusia antara 13 dengan 60 tahun.

Pusat WV tersebut yang dibina untuk memenuhi kegiatan sukan air yang semakin meningkat itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, Ahad ini.

Selain kegiatan sukan air, pusat-pusat tertentu WV yang terletak di serata Singapura akan turut menawarkan kegiatan darat seperti mendaki, menakik turun (abseil) dan kembara (trek).

Pusat-pusat WV itu juga akan digunakan sebagai wadah untuk meningkatkan kesedaran tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil para peserta memandangkan beberapa kejadian mati lemas baru-baru ini.

Selain itu, para jurulatih WV juga akan menggalakkan amalan mesra alam seperti falsafah 'Leave No Trace' atau Jangan Tinggalkan Kesan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

PA berharap menerusi kegiatan sukan pengembaraan itu, para peserta dari latar belakang yang berlainan dapat memperkukuh hubungan antara kaum.

Menurut jurucakap PA, secara purata, sekitar 15,000 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan anjuran pusat WV-nya setiap tahun.

Seorang jurulatih kayak sambilan WV, Cik Edwina Cheng, berkata: 'Menerusi kegiatan dan kursus-kursus yang diadakan, saya lihat para peserta dapat berkenalan dan merapatkan jalinan persahabatan di antara mereka, tidak kira latar belakang atau bangsa.'
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:53 AM | Show all posts
Dua cerpen karya penulis Melayu terpilih

Oleh
Nadzri Eunos

DUA cerpen karya penulis Melayu akan diterjemah ke dalam tiga bahasa rasmi kebangsaan - Inggeris, Cina dan Tamil - dalam usaha membudayakan tabiat membaca silang masyarakat dan memupuk perpaduan budaya di kalangan rakyat Singapura.

Cerpen itu ialah Anak Remaja karya Kamariah Amat dan Sebatang Pohon Tua karya A. Wahab Haji Hamzah.

Langkah itu diambil di bawah kempen BACA! Singapura 2007 anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) yang akan berlangsung selama 14 minggu dari 24 Mei hingga 30 Ogos ini.

Di samping itu, dua novel - Interlok oleh Abdullah Hussain dan Projek X, sebuah antologi cerpen, novel dan sajak hasil karya penulis muda tanah air turut menjadi pilihan bagi kempen tahun ini.

Cerpen-cerpen dalam ketiga-tiga bahasa rasmi lain yang dipilih juga akan diterjemah ke dalam kesemua bahasa rasmi.

Ketua Eksekutif NLB, Dr N. Varaprasad, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu BACA! Singapura 2007 yang bertemakan Ikatan yang Menyatukan mengumumkan demikian dalam satu sidang akhbar semalam.

Beliau berkata meskipun kempen yang masuk tahun ketiga itu mensasarkan golongan berusia 15 tahun ke atas, tumpuan lebih diberi untuk memupuk tabiat membaca di kalangan pegawai perkhidmatan awam dan pekerja penjagaan kesihatan.

'Diharap dengan membaca buku-buku cereka, ia boleh membantu mereka berfikir secara kreatif dan di luar kotak,' jelas Dr Vaprasad.

Ketika ditemui, pengerusi jawatankuasa pemilihan buku Melayu, Encik Mohd Pitchay Ghani M.A. Aziz, akur proses pemilihan novel Melayu lebih mencabar berbanding cerpen.

'Kami tidak menghadapi masalah dalam pemilihan cerpen kerana banyak yang telah diterbitkan, khususnya oleh akhbar Berita Harian. Namun, tidak pula halnya bagi novel. Kami memilih novel Interlok, mengenai hubungan antara kaum di Malaysia kerana ia sesuai dengan tema kempen tahun ini.

'Projek X pula dipilih kerana ia menyentuh hubungan antara remaja dengan ibu bapa selain daripada memenuhi cita rasa penggemar cerpen, novel dan sajak,' katanya.

Bagi Encik A. Wahab, 60 tahun, pemilihan cerpennya yang ditulis dalam 2005 itu dianggap satu penghargaan.

'Saya bersyukur kerana ia diiktiraf dan diterjemah ke bahasa lain. Oleh itu, mesej yang ingin saya sampaikan mengenai nasib golongan tua dapat dikongsi bersama dengan masyarakat lain,' ujar guru persara itu.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:54 AM | Show all posts
KOMITMEN MAJUKAN KAKITANGAN DAPAT PENGIKTIRAFAN
Oleh
Farid Hamzah

SYARIKAT Shahidah Travel & Tours, milik Encik Ayoob Angullia, melabur kira-kira $100,000 setahun bagi latihan kakitangannya.

Malah, beliau sendiri menghadiri sesi latihan dan seminar bagi memastikan dirinya meraih maklumat terkini dalam industri pelancongan.

Ternyata komitmennya itu mendapat pengiktirafan.

Baru-baru ini, syarikatnya merupakan antara tiga agensi yang menerima Anugerah Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja Singapura (WSQ) bagi industri pelancongan.

Dua agensi lain yang menerima anugerah serupa ialah Chan Brothers Travel dan Air Sino-Euro Associates Travel.

Semasa ditemui, Encik Ayoob, 51 tahun, yang juga pengarah urusan syarikat berusia 16 tahun itu, berkata beliau mula memberi penekanan lebih kepada latihan sejak Sars menular kira-kira empat tahun lalu.

'Banyak syarikat terjejas dek penularan penyakit itu, dan syarikat saya juga tidak terkecuali. Dan, semasa itulah saya sedar bahawa untuk mendapatkan semula keyakinan pelanggan, saya perlu meningkatkan keupayaan kakitangan saya dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan dalam industri ini.

'Antaranya ialah berurusan secara profesional, pengetahuan mengenai penggunaan teknologi terkini, mengetahui budaya luar dan keperluan umum yang disediakan di negara lain,' katanya.

Beliau, yang mempunyai 12 kakitangan sepenuh masa, juga mempunyai lagi 35 kakitangan sambilan.

Latihan yang dilalui mereka termasuk Pemandu Pelancongan Profesional selama 40 jam kendalian Institut Pengurusan Pelancongan Singapura (TMIS).

Malah, beliau turut memastikan kakitangannya di bidang teknologi maklumat (IT) juga tidak terkecuali untuk menjalani latihan dalam industri pelancongan.

Salah seorang daripada mereka, Cik Nur Diyana Jalil, 22 tahun, lulusan diploma dalam jurusan IT.

'Memang sebelum ini saya tidak menyangka akan diberi peluang menjalani latihan dalam bidang perkhidmatan. Tetapi keyakinan diri saya bertambah selepas menghadirinya dan syukur, saya juga diberi peluang membawa dua rombongan ke Dubai baru-baru ini - satu pendedahan baru bagi saya,' kata Cik Nur Diyana, anak bongsu tiga beradik itu.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:55 AM | Show all posts
DIJEL 12 BULAN KERANA RABA PUNGGUNG TIGA WANITA
Oleh
Khalid Khamis

PENCABUL bersiri yang sukar mengawal nafsunya, Muhammad Yuzaimi Salleh, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Rendah Selasa lalu.

Belia berusia 20 tahun itu mengaku bersalah atas tiga tuduhan mencabul kehormatan tiga wanita.

Kesemua kesalahannya - meraba punggung mangsa - itu dilakukan di sekitar kawasan Ang Mo Kio dalam masa tujuh bulan.

Hakim Daerah, Encik Bala Reddy, diberitahu bahawa Muhammad Yuzaimi telah memerhatikan mangsa pertamanya yang bekerja di sebuah kedai kecantikan di Blok 727, Ang Mo Kio Central.

Pada 9 April tahun lalu sekitar 12 tengah hari, Muhammad Yuzaimi ke tempat kerja wanita berusia 30 tahun itu dan menunggu beliau di luar kedai tersebut.

Selang 10 minit kemudian, apabila mangsa keluar untuk makan tengah hari, wanita itu terasa punggungnya disentuh dan apabila menoleh, mangsa melihat Muhammad Yuzaimi.

Beberapa orang yang berlalu-lalang membantu menahan Muhammad Yuzaimi sebelum polis dipanggil.

Dua bulan kemudian, Muhammad Yuzaimi mengulangi perbuatannya dan kali ini seorang wanita berusia 29 tahun menjadi mangsanya.

Ketika wanita itu membuka pintu peti sejuk di luar kedai Econ Minimart di Blok 629, Ang Mo Kio Avenue 4, beliau terasa punggungnya disentuh. Kejadian itu berlaku pada 24 Jun lalu sekitar 3.30 petang.

Muhammad Yuzaimi cuba melarikan diri tetapi dihalang wanita itu dan akhirnya meminta maaf berkali-kali atas perbuatannya.

Masih tidak serik lagi, Muhammad Yuzaimi kemudian bertindak lebih berani pada 22 Oktober lalu dengan merenung mangsanya dulu tanpa sebab sebelum bertindak.

Mangsa ketiganya, seorang wanita berusia 22 tahun, telah ke kedai runcit Econ Minimart di Blok 632 Ang Mo Kio Avenue 4.

Ketika wanita itu membayar barangan yang dibeli, Muhamad Yuzaimi berjalan di belakangnya sambil tangannya memegang punggung wanita tersebut.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:56 AM | Show all posts
Hiasan daripada kadbod diletak di Ngee Ann City Civic Plaza bagi Hari Vesak

Oleh
Soraya Salim

BUNGA teratai kadbod raksasa akan menjadi tarikan utama Ngee Ann City Civic Plaza pada 26 dan 27 Mei ini sempena sambutan Hari Vesak.

Pada setiap kelopak bunga itu akan tertera catatan warga Singapura mengenai pengajaran yang mereka raih setelah melakukan amal.

Dipanggil Tiang Harmoni, kelopak-kelopak itu telah dihias warga Singapura daripada 51 badan agama, kemasyarakatan dan sekolah.

Usaha itu adalah sebahagian Projek Sejuta Bunga Teratai 2007 yang dianjurkan Persekutuan Penganut Buddha Singapura (SBF).

Pengerusi jawatankuasa perayaan Vesak SBF, Venerable Seck Kwang Phing, berkata projek itu bertujuan menggalak keharmonian antara kaum dan agama.

'Selain merupakan acara bagi perayaan Hari Vesak, kami ingin menggalak keharmonian, bukan pada teorinya saja tetapi juga melalui tindakan.

'Sememangnya semua agama menggalak keharmonian,' katanya dalam satu sidang akhbar di Hotel Holiday Inn Atrium kelmarin.

Ini tahun kedua SBF menganjurkan projek seni sedemikian sempena Hari Vesak dalam usaha menyampaikan mesej keharmonian antara kaum.

Tahun lalu, rakyat Singapura daripada pelbagai agama beramai-ramai melipat bunga teratai yang kemudian dipamer di Ngee Ann City.

Sekali lagi projek itu disertai Jamiyah.

Wakil Jamiyah yang ditemui kelmarin, Pengarah Eksekutif Darul Islah, Encik Shariff Yatim, berkata sekitar 100 sukarelawan dan penghuni rumah-rumah tumpangan Jamiyah akan terlibat dalam usaha itu.

'Pengalaman tahun lalu agak baik dan menarik bagi kami sebab itu kami tidak keberatan menyertainya sekali lagi.

'Tahun lalu, sekitar 300 sukarelawan dan penghuni terlibat melipat 20,000 kuntum bunga teratai kertas. Kali ini, kami juga akan mendirikan gerai makanan selain menghiasi Tiang Harmoni itu,' katanya.

Acara tersebut akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, pada 26 Mei.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 11-5-2007 11:56 AM | Show all posts

Reply #639 SQ154's post

Padan muka dia
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:56 AM | Show all posts
'LANUN' TEMA LUMBA RAKIT DI SUNGAI S'PURA
SETELAH sekian lama menghilang, lanun-lanun akan 'menyerang' di Sungai Singapura sekali lagi. Namun, bukan untuk menyamun sebaliknya untuk bertanding dalam Perlumbaan Rakit Sungai Singapura.

'Lanun' tema perlumbaan tahunan amal anjuran Politeknik Singapura (SP) pada 20 Mei itu.

Dalam satu perlumbaan khas 100 meter yang dipanggil Bamboo Warriors, pelajar daripada lapan bidang pengajian di SP akan memakai pakaian lanun dan berlumba.

Bagi acara tahun ini, lebih 100 kumpulan, termasuk pelajar dari sekolah menengah, institut pendidikan teknikal (ITE), institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta, akan mengambil bahagian.

Setiap rakit yang digunakan diperbuat daripada bahan mesra alam dan terpakai, seperti botol plastik, tayar kereta, penyapu, basikal dan tin minuman.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:57 AM | Show all posts
MAKLUM BALAS POSITIF DARIPADA JEMAAH YANG AMBIL PAKEJ HAJI ASAS
JEMAAH Singapura yang mengambil pakej haji asas buat kali pertama pada Disember lalu memberikan maklum balas yang positif mengenai pengalaman mereka.

Makanan yang disediakan lebih daripada mencukupi dan khidmat pengangkutan juga cekap.

Bahkan, jemaah mengambil masa hanya 20 hingga 30 minit untuk bergerak dari Arafah ke khemah-khemah di Mina - masa perjalanan paling cepat bagi jemaah Singapura.

Menyampaikan berita yang memberangsangkan tersebut kelmarin, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Mohd Alami Musa, berkata:

'Alhamdulillah, Muis menerima maklum balas positif daripada jemaah kami yang baru pulang mengenai kemudahan yang baik dan makanan yang lebih daripada mencukupi yang disediakan oleh muassasah.

'Jemaah kami, yang ramai daripada mereka menunaikan ibadah haji buat kali pertama, berpuas hati dengan khidmat keseluruhannya.'

Lebih 90 peratus daripada lebih 2,500 jemaah yang menunaikan ibadah haji pada musim yang lalu memilih Khidmat Asas untuk pakej haji mereka.

Haji Mohd Alami berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Makan Malam Penghargaan yang dianjurkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) di Hotel Royal Plaza on Scotts.

Majlis itu bertujuan meraikan kejayaan Amtas dalam menyelaraskan musim haji yang lalu, di samping merapatkan ukhuwah antara pihak berkuasa haji di Arab Saudi dengan Singapura.

Antara tetamu yang dijemput ke acara itu ialah Pengerusi Muassasah Asia Tenggara bagi haji 1427 Hijrah, Sheikh Ali Yasin Abdul Majid; Ketua Konsular Kedutaan Diraja Kerajaan Arab Saudi, Encik Hussin Al-Dajany; wakil daripada syarikat penerbangan Singapore Airlines dan Saudi Arabian Airlines; serta penyedia perkhidmatan bantuan perubatan kecemasan.

Menurut Haji Mohd Alami, lawatan oleh Majlis Muassasah dan acara malam itu mencerminkan hubungan mesra dan istimewa yang dijalin antara Muis, Amtas, ejen penjualan pakej haji (GSA) dengan Sheikh Ali Yassin serta pegawai Muassasah.

Dalam pada itu, beliau menggesa Majlis Muassasah dan Amtas agar bersama menetapkan piawaian khidmat yang lebih tinggi bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan jemaah Singapura terjaga.
Reply

Use magic Report

Post time 11-5-2007 11:57 AM | Show all posts

Reply #640 SQ154's post

Padan muka dia part II
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:58 AM | Show all posts
SPH HOS SIDANG DUNIA MAJALAH SHAPE
USAHA syarikat Singapore Press Holdings (SPH) mengembangkan sayap penerbitan majalahnya maju setapak setelah ia menganjurkan satu persidangan dunia bagi majalah gaya hidup aktif bagi wanita, Shape Singapore.

Persidangan itu, yang bermula kelmarin dan berakhir hari ini, menemukan lebih 35 perwakilan, termasuk editor dan penerbit majalah Shape dari beberapa negara seperti China, Indonesia, Thailand, Korea, Malaysia, Afrika Selatan, Greece dan Latvia.

Ketika ditemui, Ketua Pegawai Eksekutif SPH Magazines, Encik Loh Yew Seng, berkata persidangan itu amat penting bagi membolehkan SPH Magazines mengetahui dengan lebih mendalam perkembangan yang berlaku di rantau ini.

'Kita dapat melihat potensi Shape di China dan Malaysia. Kita juga mahu menjadi rakan penting yang boleh menawarkan peluang serantau bagi mengembangkan lagi produk dan perkhidmatan kami,' ujarnya.

SPH Magazines menerbitkan Shape Singapore di bawah perjanjian pelesenan dengan Wie der Publication, yang memiliki American Media Inc (AMI).

Sejak setahun lalu, AMI melancarkan enam edisi antarabangsa Shape, menjadikan bilangan edisi antarabangsa itu 15 kesemuanya.

SPH Magazines berperanan penting membantu mengembangkan jenama Shape di rantau ini.

Menurut Naib Presiden AMI, Encik Keith Khanlian, Singapura dipilih menganjurkan persidangan pertama kerana SPH Magazines merupakan syarikat pertama diberi lesen di Asia untuk menerbitkan Shape.

'Persidangan ini juga dapat mengukuhkan kuasa sinergi pelbagai karyawan Shape, lantas meletakkan jenama itu dalam kedudukan lebih tinggi dalam pasaran global,' katanya.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:59 AM | Show all posts
BANDUAN SERTAI PERADUAN MASAK SEMPENA HARI IBU
ROZI (nama samaran), 40 tahun, jarang masuk ke dapur, apatah lagi memasak.

Namun, dia menjadi antara peserta yang terpilih dalam Pertandingan Memasak Reben Kuning peringkat akhir di Penjara Changi Kluster A kelmarin.

Setelah tiga jam memasak mulai 9 pagi, Rozi dan tiga anggota kumpulannya dari Penjara Wanita Changi meraih tempat kedua daripada 12 kumpulan yang bertanding.

Menyusuli kemenangan itu, mereka diberi hadiah istimewa - peluang menemui ibu masing-masing sempena Hari Ibu.

Kesemua 12 peserta peringkat akhir berkesempatan menemui anggota keluarga masing-masing dalam jamuan khas di Penjara Changi Sabtu ini.

Menurut Rozi, motivasinya menyertai pertandingan itu ialah peluang bertemu dan memasak untuk ibunya.

'Saya telah menjemput ibu dan adik lelaki saya. Maklumlah, bukan selalu dapat berjumpa kerana mereka pun sibuk dengan hal masing-masing,' ujarnya.

Rozi merupakan bekas pesalah pada 2003.

Dia, yang bakal dibebaskan pada September ini, melahirkan rasa senang menyertai kumpulan yang mengajarnya pentingnya kerjasama dalam mengejar kejayaan.

Menurut Rozi, mereka mendapat idea resipi daripada buku masakan di perpustakaan dalaman dan dengan bertanyakan orang lain.

Tiga kumpulan yang layak ke peringkat akhir dikehendaki menyediakan satu masakan ayam dan satu pencuci mulut yang disediakan ala Perancis dengan menggunakan resipi asli.

Kumpulan dari Pusat Pemulihan Dadah Sembawang menjadi johan pertandingan manakala kumpulan dari Penjara Changi Kluster A Institusi A4 mendapat tempat ketiga.

Masakan johan akan disertakan dalam menu Hotel Raffles selama seminggu.

Pertandingan itu - sebahagian daripada Pesta Kreatif Reben Kuning anjuran Masyarakat Bertindak bagi Pemulihan Bekas Pesalah (CARE) - diadili oleh Chef de Cuisine Jean-Charles Dubois daripada Hotel Raffles; Pengarah Eksekutif Tunglok Group, Cik Tjioe Ka-In; dan penulis reviu restoran untuk The Straits Times Life!, Encik Wong Ah Yoke.

Menurut Encik Dubois, pertandingan itu membuktikan bakat terpendam para peserta.

'Inilah salah satu cara yang baik bagi mereka menyumbang kepada masyarakat,' katanya.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 11:59 AM | Show all posts
TERUS 'HIDUP' DI TENGAH 'ORANG MATI'
Oleh
Nadzri Eunos

TERLALU sukar untuk tidak memikirkan soal mati setiap kali singgah sejenak di Masjid Pusara Aman, di tanah perkuburan Islam Lim Chu Kang.

Susah kerana setiap sudut yang dipandang dipenuhi gambaran hamparan hijau bernisan - destinasi terakhir setiap insan.

Keadaan ini mungkin membuat ramai 'segan' datang bertandang pada hari-hari biasa terutama selepas terbenam matahari.

Bagi jemaah yang 'berani' ke Masjid Pusara Aman yang berusia 36 tahun itu, mereka berpeluang menikmati suasana tenteram dan aman, persis namanya.

Selalunya yang berjemaah merupakan mereka yang berkenderaan, drebar teksi dan pegawai berseragam yang bertugas di kem-kem berhampiran.

Walaupun masjid dikelilingi 'orang mati', ia tidak bermakna masjid harus terkubur sama, seloroh pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) dan imam masjid itu, Haji Abdullah Awang, 74 tahun.

Sebaliknya, cahaya kemakmuran kian bersinar di Masjid Pusara Aman.

Jumlah jemaah yang memakmurkan masjid semakin bertambah sejak beberapa tahun yang lalu dengan pembukaan beberapa kem pasukan berseragam berhampiran dengannya.

'Sekarang kalau solat Jumaat tu memang setiap inci ruang masjid penuh sesak dengan jemaah. Tetapi sejauh ini kami dapat tampung semua dengan adanya khemah-khemah sementara.

'Kalau solat hari raya tu jangan cakaplah, kami terpaksa adakan dua kali solat kerana jumlah jemaah yang begitu ramai,' kata beliau.

Bagi solat-solat waktu pula Haji Abdullah berkata jumlah jemaah semakin bertambah.

'Dulu kami hanya pimpin solat zuhur dan asar secara berjemaah. Lepas asar, masjid dah kosong. Tak ada orang yang nak ke sini untuk tunaikan solat maghrib dan isyak, mungkin kerana takut.

'Tetapi sejak kebelakangan ini, dengan ada seorang bilal, Haji Osman Yubah yang juga naib pengerusi LPM, kami mula memimpin solat pada sebelah malam.

'Malah ada juga yang beriktikaf dan mengadakan qiamullail di masjid ini. Dan kami dapat rasakan bahawa ia menambah kepada kemakmuran masjid.

'Kami juga tidak berpeluk tubuh dalam memakmurkan masjid. Salah satu inisiatif ialah menjemput khatib-khatib terkenal seperti Ustaz Ahmad Dahri untuk memimpin solat Jumaat.

'Ternyata ia berkesan. Para khatib juga sering menyelitkan nasihat kepada para jemaah mengenai tata tertib menziarah tanah perkuburan, juga menegur amalan-amalan yang tidak dianjurkan seperti menziarahi kubur pada pagi Aidilfitri sehingga suasana tanah perkuburan bak sebuah pesta,' kata Haji Abdullah, yang juga menjadi superintenden pertama tanah perkuburan Islam Lim Chu Kang sejak ia dibuka dalam 1971 hingga persaraannya pada 1988.

Tetapi yang paling mengharukan datuk 11 cucu itu ialah pe nganjuran acara Maulud Nabi secara besar-besaran bulan lalu oleh Kumpulan Penduduk Kejiranan Islam Villa Verde.

'Hati saya tersentuh kerana tak sangka ada yang sudi memakmurkan masjid ini begitu rupa. Sekitar 1,000 orang hadir untuk majlis yang paling gah pernah diadakan di masjid sejak ia dibuka lebih 30 tahun lalu.

'Bagi mana-mana pihak, mereka dijemput menggunakan ruang masjid untuk mengadakan majlis-majlis keagamaan,' kata Haji Abdullah menahan sebak.

Selain memeriahkan suasana masjid, persatuan itu turut mendermakan lebih $3,000 hasil wang derma yang dipungut semasa majlis itu kepada masjid, tambah Haji Abdullah.

Sokongan daripada masyarakat pula kini diterima bertali arus memantapkan lagi tahap kewangan Masjid Pusara Aman.

Memberi contoh, Haji Abdullah mendedahkan bahawa sebuah syarikat pesawat kargo dengan sukarela melunaskan bil air api masjid. Kini seorang lagi usahawan Melayu/Islam sedang membantu masjid, bukan sahaja untuk melakarkan pelan peningkatan bangunan masjid yang sudah usang di mamah usia, malah membiayainya sekali.

'Saya akan berbohong kalau saya katakan saya tidak mahu lihat Masjid Pusara Aman dipertingkatkan seperti masjid-masjid satelit yang lain, tetapi ia tidak perlu kerana kami tidak ada jaringan penduduk tetap yang memerlukan khidmat kami.

'Memadailah kalau bangunan masjid yang berusia lebih tiga dekad ini dibaik pulih, lebih-lebih lagi bumbung dan kubah masjid yang dah bocor,' kata Haji Abdullah yang pernah menjadi pembaca berita sambilan di radio antara 1960-an dan 1980-an.

Menyedari usianya yang sudah senja, Haji Abdullah, yang difahamkan merupakan pengerusi LPM tertua, telah pun memulakan usaha memastikan Masjid Pusara Aman terus berupaya berkhidmat kepada masyarakat Islam setempat, khususnya dalam penyenggaraan jenazah yang menjadi satu fardu kifayah.

'Saya harap Masjid Pusara Aman akan terus makmur dan aman lama selepas saya menghembuskan nafas terakhir saya dan dikebumikan di tanah perkuburan di belakang sana,' kata Haji Abdullah menguntum senyum.

SEKILAS MASJID PUSARA AMAN


Alamat: No 11, Lim Chu Kang Road, Muslim Cemetary, Singapura 719452
Talian: 6792-9378
Dibina oleh Kementerian Sekitaran bagi pengurusan jenazah orang Islam pada 1972 di atas tanah TOL
Rancangan asalnya hanyalah untuk membina sebuah rumah mandi mayat, tetapi kemudian diperbesarkan menjadi masjid
Merupakan satu-satunya masjid yang mempunyai bilik khusus untuk memandikan mayat

Pegawai kanan masjid


Pengerusi/Imam: Haji Abdullah Awang
Naib Pengerusi: Haji Osman Yubah
Setiausaha: Shahifuddin Salim
Bendahari: Yusaini Mohd Yusoff
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 12:12 PM | Show all posts
JANIN DIGUGUR TERUS BERTAMBAH
SEBELUM ini ia boleh dicongak dengan lima jari.

Tetapi kini kotak-kotak kecil itu tiba terlalu banyak setiap bulan. Usungan terpaksa digunakan untuk membawanya ke bilik mandi mayat di Masjid Pusara Aman.

Bulan lalu sahaja, pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) berkenaan, Haji Abdullah Awang, 74 tahun, mengira ada 32 kotak kecil yang tiba.

Setiap satu diisi sekujur janin merah birat yang digugurkan oleh wanita-wanita Islam di hospital-hospital setempat. Buktinya terletak pada kartu yang menyertai setiap janin, kata Haji Abdullah, yang merupakan mantan superintenden tanah perkuburan Islam Lim Chu Kang.

'Kalau kita teliti, ruang bagi nama bapanya ditinggalkan kosong sahaja. Hanya nama ibunya sahaja yang tertera. Pilu and insaf rasa hati saya setiap kali melihat syarikat pengurus mayat datang membawa kotak-kotak tersebut.

'Dalam tahun-tahun '70-an bila saya jadi superintenden, ada juga kami uruskan janin-janin tetapi taklah sampai sebegitu banyak. Sekarang ini, kalau puluhan tu dah biasalah. Sampai tukang mandi mayat terpaksa menggunakan usungan untuk membawa janin-janin ke bilik mandi mayat.

'Tiada siapa yang tahu sebab masyarakat kat luar sana tak nampak. Kami di masjid yang nampak sendiri perkara ini berlaku. Apa nak jadi dengan masyarakat kita?' keluh Haji Abdullah yang juga imam tetap Masjid Pusara Aman, sambil menggeleng kepala.

Selain pengurusan janin-janin, masjid tersebut juga menjadi pusat menguruskan janazah banduan yang dihukum gantung.

'Selalunya mereka dihukum pada awal pagi Jumaat. Sekiranya ada jenazah Islam, ia akan dibawa ke sini dan dimandikan, disolatkan dan kemudian disemadikan,' kata Haji Abdullah yang juga pakar dalam pengurusan mayat.

Haji Abdullah tersenyum mengingat satu peristiwa semasa berkhidmat sebagai superintenden dan imam masjid.

'Memanglah banyak perkara pelik yang saya alami, tetapi saya tak dapat lupakan satu peristiwa lucu. Ada satu ketika saya menguruskan mayat seorang lelaki India beragama Islam. Lazimnya saya akan teliti mayat itu seorang diri di dalam bilik mandi mayat, sebelum mulakan tugas.

'Selepas saya periksa jenazah itu saya pusing ke belakang dan tiba-tiba terasa tangan mengibas punggung saya. Rasa gerun tak terkata. Tetapi bila saya toleh ke belakang dengan perlahan, saya dapati tali yang mengikat kedua-dua tangan jenazah terlepas menyebabkan tangannya terpantul dan terkena saya,' cerita beliau.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 12:13 PM | Show all posts
BANGUNAN PARLIMEN PULA BOCOR
KUALA LUMPUR: Belum pun reda kisah siling runtuh di tiga bangunan kerajaan baru-baru ini, termasuk di Putrajaya dan kompleks mahkamah baru Jalan Duta, kelmarin, bangunan Parlimen pula dimasuki hujan akibat bumbung bocor.

Hujan lebat yang melanda Lembah Klang sejak awal pagi menyebabkan enam tempat di sekitar galeri awam dan bilik media bangunan Parlimen dibasahi air yang menitik dari siling.

Kebocoran itu juga membentuk beberapa lubang yang jelas kelihatan pada siling plaster, sekali gus mencacatkan pandangan sekalipun bahagian berkenaan baru diubahsuai.

Bagaimanapun, kebocoran itu bukan disebabkan kerja pengubahsuaian yang dilakukan dalam bangunan Parlimen lebih tiga tahun lalu tetapi dikatakan akibat bumbung yang sudah lama.

Kejadian siling bocor itu cuba dieksploitasi pembangkang dengan mengemukakan usul tergempar sebaik persidangan Dewan Rakyat disambung pada sebelah petang sehingga mencetuskan pertikaman lidah dengan penyokong kerajaan.

Anggota Parlimen Barisan Nasional, Datuk Mohd Said Yusof, yang bangun untuk menyambung perbahasan Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang 2007 terpaksa duduk semula apabila Anggota Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Chong Chieng Jen, bangun dan mengemukakan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 26 (1p) atas alasan kejadian itu boleh membahayakan keselamatan orang awam dan media.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua, Datuk Lim Si Cheng, menyifatkan usul itu tidak relevan dengan peraturan mesyuarat yang digunakan Encik Chong. Lagi pun, pihak bertanggungjawab sedang mengambil tindakan bagi membaiki kebocoran itu, kata Datuk Lim.

'Yang Berhormat, saya pun ada dimaklumkan mengenai kebocoran ini. Pihak bertanggungjawab sedang menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya,' katanya.

Pembangkang yang tidak berpuas hati cuba membantah dan memulakan 'perang mulut' dengan penyokong kerajaan yang menyokong keputusan Datuk Lim menolak usul berkenaan. - BHM.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 12:13 PM | Show all posts
BANJIR KILAT SELEPAS HUJAN LEBAT
MELAKA: Sistem perparitan dan pengairan yang tidak diselenggarakan dengan sempurna menyebabkan beberapa kawasan rendah di Melaka Tengah serta Alor Gajah dinaiki air sedalam satu meter berikutan hujan lebat pagi kelmarin.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Pengkalan Indah, Encik Raihan Ithnin, berkata banjir itu adalah yang terburuk selepas banjir ketika pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, baru-baru ini.

'Puncanya ialah sistem perparitan kurang sempurna yang tidak mampu menampung limpahan air yang naik mendadak. Keadaan bertambah buruk apabila sistem perparitan sepanjang 200 meter di jalan masuk ke taman ini sedang dalam pembinaan.

'Selain itu, kerja pembinaan sistem perparitan agak perlahan berikutan ada kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang belum dialihkan, menyebabkan air sukar mengalir keluar dari taman ini,' katanya.

Penduduk Kampung Pengkalan, Cik Saliah Yusof, 71 tahun, pula berkata sudah lebih 10 kali rumahnya dilanda banjir kilat walaupun hujan hanya turun dalam tempoh dua jam.

Seorang lagi mangsa, Encik Mohd Nizam Mohd Yunus, 32 tahun, berkata air mula naik pada 10.30 pagi.

'Saya segera menyelamatkan perabot di ruang tamu ke tempat lebih tinggi, namun air naik terlalu pantas hingga ke paras lutut menyebabkan peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk rosak.

'Kuih-muih yang saya hendak jual juga musnah kesemuanya,' kata Encik Mohd Nizam. - BHM, Utusan Malaysia.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 12:13 PM | Show all posts
DATUK PERNAH JANJI FAEDAH BULANAN AS$10,000
KUALA LUMPUR: Datuk V. Vijayeswaran, yang ditahan Interpol Indonesia berhubung penipuan ala skim piramid dengan menjual syiling emas, didakwa pernah menjanjikan keuntungan faedah bulanan setinggi AS$10,000 ($15,155) kepada seorang mangsa yang melabur sebanyak AS$625,000 sejak 1998.

Mangsa, seorang rakyat Filipina, mendakwa diperdaya sindiket terbabit yang turut dianggotai seorang lelaki warga Jerman dikenali sebagai Kurt Georg Rocco.

Sehingga kini, suspek yang dibantu tiga lelaki warga Filipina masih ditahan Interpol Indonesia dan berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup sekiranya dihadapkan ke mahkamah dan disabit kesalahan di Filipina.

Difahamkan waran tangkap sudah dikeluarkan hakim Bayani Vargas di Mahkamah Quezon City, Filipina pada April lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Encik Zuniga sebelum ini diperdaya pengarah syarikat dengan janji palsu bakal memperoleh pulangan faedah lumayan dalam tempoh enam bulan pertama selepas pelaburan dilakukan.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki Filipina yang ditahan adalah Joseph Luis Eleuterio, Tagumpay Pablo Perez dan Donna Marie Imson, memegang jawatan sebagai lembaga pengarah Diversified Global Holdings manakala Datuk Vijayeswaran sebagai pengarah urusan syarikat.

Dalam kejadian Khamis lalu, rakyat Malaysia terbabit ditahan polis Indonesia bersama tiga rakannya dari Filipina selepas dipercayai terbabit dengan skim piramid itu. - Harian Metro.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 12:14 PM | Show all posts
BAKAL ISTERI RAJA MUDA PERAK CICIT SULTAN KEDAH
ALOR STAR: Cik Zara Salim Davidson yang akan melangsungkan perkahwinan dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, pada 17 Mei ini adalah cicit Sultan Kedah ke-25, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Beliau memerintah Kedah selama 62 tahun dari 1881 hingga 1943 dan salah seorang anaknya ialah Tunku Abdul Rahman Putra, yang juga Perdana Menteri pertama Malaysia.

Bapa saudara bakal isteri Raja Muda Perak itu, Syed Mohd Aldinuri Syed Omar, berkata ibu Cik Zara, iaitu Cik Sharifah Azaliah Syed Omar adalah anak Tunku Aminah iaitu anak Sultan Abdul Hamid hasil perkahwinan baginda dengan Che Manjalara.

Sementara itu, perkahwinan Raja Dr Nazrin dengan Cik Zara akan disiarkan secara langsung dari Istana Iskandariah, Bukit Chandan, ke skrin gergasi di Arena Square di sini dan Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.

Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Datuk Mohamed Ghazali Jalal, berkata dua skrin gergasi akan dipasang di Arena Square.

Beberapa televisyen turut diletakkan bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 5,000 jemputan.

Skrin gergasi juga akan didirikan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh untuk memberi peluang kepada penduduk Ipoh mengikuti majlis itu, termasuk rakaman majlis akad nikah dan pertabalan Cik Zara sebagai Raja Puan Besar Perak.

Istiadat perkahwinan diraja itu bermula pada 17 Mei dengan istiadat akad nikah dan menyarung cincin di Istana Iskandariah, diikuti istiadat lantikan dan perisytiharan gelaran Raja Puan Besar Perak esoknya serta istiadat persandingan diraja pada 19 Mei. - BHM, Utusan Malaysia.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 12:16 PM | Show all posts
LELAKI HINDU TUNTUT JAIS BEBASKAN ISTERI
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Hindu telah mengemukakan tuntutan habeas corpus ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi mendapatkan pembebasan isterinya yang beragama Islam.

Di bawah permohonan itu, seseorang yang ditahan berhak diberitahu tuduhan ke atasnya dan penahanannya disemak semula.

Menurut The Star semalam, Encik S. Magendran mendakwa isterinya, Cik Najeen Farvinli Mohamed Jalali, ditahan oleh pegawai Jais pada 28 April lalu.

Dalam dokumen afidavit, Encik Magendran dan Cik Najeen, kedua-duanya berusia 25 tahun, dikatakan telah melalui upacara perkahwinan Hindu pada 15 Julai tahun lalu di Kuil Sri Maha Mariamman di Klang.

Pada sekitar 1 pagi pada 28 April lalu, tujuh pegawai yang ditugaskan Jais menyerbu rumah pasangan itu di Taman Meru, Klang.

Para pegawai itu dikatakan menahan Cik Najeen berdasarkan fakta yang beliau seorang Islam, seperti yang tertera dalam kad pengenalannya.

'Saya terkejut, takut dan tidak berani masuk campur kerana semua pegawai berkelakuan kasar,' kata Encik Magendra dalam afidavitnya.

Beliau kemudian telah membuat laporan polis di balai polis Klang.

Peguam Encik Magendran, Encik Karpal Singh, berkata tuntutan habeas corpus yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu bertujuan membebaskan Cik Najeen yang ditahan secara haram. - The Star.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 11-5-2007 12:17 PM | Show all posts
Mantan menteri: Ambil kesempatan suasana kian baik

KUALA LUMPUR: Menjelang pertemuan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Encik Lee Hsien Loong, di Langkawi Isnin ini, mantan Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata kini wujud suasana sesuai bagi kerajaan memulakan kembali rundingan mengenai isu-isu tertunggak dengan republik itu.

Suasana semakin baik di kedua-dua negara, baik dari segi politik mahupun ekonomi, menyediakan persekitaran sesuai untuk berbuat demikian dan 'tidak bijak jika kita tidak mengambil kesempatan daripada keadaan ini', katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata kenyataan oleh para pemimpin Singapura sejak kebelakangan ini menunjukkan mereka telah sedar bahawa mereka harus menerima, memahami dan lebih menghormati perkara-perkara sensitif di negara tetangga.

'Oleh itu, suasana nampaknya sangat sesuai sekarang ini untuk memulakan semula proses untuk menyelesaikan segala isu-isu antara kedua-dua negara kita, seperti isu menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan, bekalan air kepada Singapura, masalah tanah kepunyaan KTM di Singapura dan lain-lain lagi,' katanya.

Datuk Seri Abdul Kadir mencadangkan agar rundingan dijalankan secara sulit dan merangkumi semua isu sebagai suatu pakej.

'Rundingan untuk menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan haruslah untuk jambatan lurus dan bukan jambatan bengkok,' katanya.

Kelmarin, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata tidak ada agenda khusus ditetapkan bagi pertemuan pemimpin dua negara itu supaya perbincangan lebih fleksibel.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri S. Samy Vellu, berkata Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar akan dibuka Oktober ini.

Menurutnya, kompleks RM1.26 bilion ($562 juta) itu sudah 99 peratus siap dan akan diserahkan kepada kerajaan pada 1 Jun. - Bernama.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-12-2024 02:41 PM GMT+8 , Processed in 0.134277 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list