|
Jozan, Osbon & Boboi Ke Pentas IB
Istana Budaya (IB) bakal melakar satu lagi sejarah apabila buat julung kalinya pentas berprestij ini akan tampil dengan sebuah persembahan komedi istimewa, ‘Lawak Ke, Der?’ (Bila Hati Digeletek). Persembahan komedi kerjasama antara Istana Budaya dengan NRG Enterprise Sdn Bhd ini bakal membariskan lima pelawak terkemuka tanah air iaitu Boboi, Osbon, Jozan, Nabil dan Harith Iskander.
Berlangsung selama enam hari di Lambang Sari, Istana Budaya, ‘Lawak Ke, Der?’ akan menampilkan Osbon pada 3 dan 10 Februari 2012, Jozan pada 4, 5, 11 dan 12 Februari 2012 serta Boboi, Harith Iskander dan Nabil pada keenam-enam hari persembahan.
“Persembahan ‘Lawak Ke, Der?’ ini sebenarnya menggantikan slot ‘Thousand Hands’ yang sepatutnya berlangsung pada 31 Januari 2012 hingga 12 Februari 2012. Puluhan syarikat mahukan tarikh tersebut, namun pada hari nak lancar persembahan tersebut, pihak berkenaan memberitahu tidak dapat nak buat sebab penari mereka tak dapat disahkan atas masalah visa.
“Bayangkan, jika slot tersebut kosong, ia akan memberi imej buruk kepada IB. Jadi, kami cuba hubungi banyak syarikat bagi menawarkan mereka untuk membuat persembahan, namun kesemuanya tolak sebab hanya tinggal lagi satu bulan saja. Mujur ada Hans Isaac yang terima dan menyelamatkan keadaan,” ujar Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani ketika ditemui pada sidang akhbar petang semalam.
Ditebak dengan soalan mengenai kualiti persembahan memandangkan masa yang tinggal kurang dari sebulan saja lagi, beliau menjawab, “IB suka melakar sesuatu yang baru, jadi kami harap persembahan komedi ini akan bagi satu kelainan kepada program-program di IB. Walaupun projek ini berlaku di saat-saat akhir, namun saya percaya ia mampu memberi impak yang sangat baik kepada penonton.”
Bagi mereka yang ingin menonton persembahan komedi, ‘Lawak Ke, Der?’ (Bila Hati Digeletek), jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket berharga RM53, RM73, RM123, RM173, RM203 dan RM353 melalui www.ticket2u.biz atau hubungi 03-4147 8600.
sumber : gua.com.my |
|