Gadis_Venus This user has been deleted
|
SISWA MAUT SEMASA PULANG UNTUK TEMUI IBU DI HARI IBU
MELAKA: Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, Azimah Abdul Aziz, teramat rindu kepada ibunya dan mahu bersamanya pada Hari Ibu.
Walau pelajar berusia 21 tahun itu dinasihatkan jurulatih dan teman pasukan hokinya supaya tidak pulang dan sebaliknya digesa menumpukan perhatian kepada satu pertandingan penting minggu depan, Azimah meneruskan niat dan menaiki bas ke Muar untuk menemui ibunya.
Hasratnya menemui ibu tidak tercapai. Bas yang dinaikinya terbalik apabila pemandunya hilang kawalan di Jalan Merbok, dekat Jalan Lebuh Ayer Keroh, petang kelmarin.
Azimah dan seorang lagi pelajar UTeM, Wan Nur Nadiah Wan Ismail@Wan Hamzah, 23 tahun, dari Besut, Terengganu, cedera parah dan mati di tempat kejadian.
Seramai 16 penumpang lain turut cedera. Seorang daripadanya, Sarimah Ahmad, 20 tahun, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka dalam keadaan kritikal.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Kanan II Zaleha Abdul Rahman, berkata bas Tuah Bas Sdn Bhd itu sedang dalam perjalanan ke pusat bandar sekitar 2.20 petang. Pemandunya gagal mengawal bas semasa tiba di persimpangan lampu isyarat selepas breknya gagal berfungsi.
'Bagi mengelak bas merempuh beberapa kereta yang berhenti, pemandu berusia 53 tahun itu membelok ke kiri memasuki Jalan Merbok, Taman Kota Emas dan melanggar pembahagi jalan lalu terbalik,' katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - The Star, BHM. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
BUAYA SERANG PEKERJA PENYELAMAT
BINTULU: Seekor buaya, sebesar kereta Kancil dan sepanjang tujuh meter, menyerang seorang anggota penyelamat yang cuba mengambil mayat yang dibahamnya.
Sangga Megong, 31 tahun, dibaham reptilia itu tiga hari lalu di Sungai Sebaba, Similajau, di sini.
Buaya yang dianggar berusia 100 tahun itu bertindak ganas semasa anggota penyelamat yang menggunakan tiga bot mahu mengangkat mayat mangsa yang ditemui terapung sekitar 2 kilometer dari tempat dia diserang sekitar 7 pagi.
Sangga, dari rumah panjang Bangau, dibaham buaya kira-kira 6 petang Jumaat lalu ketika memasang pukat bersama anak saudaranya di situ.
Anak saudaranya, Pisajo Sirai, 14, terselamat dengan berenang ke tebing sungai.
Mayat mangsa ditemui tanpa kepala dan bahagian bawah badannya. Hanya tangan kanan dan dadanya yang tinggal.
Bapa tiri mangsa, Buli Santap, 55 tahun, yang terbabit dalam gerakan mencari dan menyelamat bersama polis dan bomba, berkata perlakuan buaya itu amat menakutkan kerana beliau tidak pernah melihat haiwan tersebut bertindak se garang itu ketika 'makanannya diganggu'.
'Ia seolah-olah tidak mahu melepaskan habuan yang dibahamnya sejak petang Jumaat lalu. Ia tiga kali menganga mulut dan mengetap gigi yang mengeluarkan bunyi kuat, sehingga menakutkan kami,' katanya sambil menambah buaya itu turut melibas air dengan ekornya sehingga percikan air mengenai bot penyelamat yang bergoyang kuat.
Sejak September lalu, empat penduduk maut dibaham buaya dan seorang cedera. - BHM. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
DR M MASUK HOSPITAL KERANA SESAK NAFAS
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi pada 3.50 petang semalam setelah mengadu sesak nafas ketika berehat di Hotel Langkasuka.
Pegawai akhbarnya, Encik Sufi Yusni Yusof, memberitahu agensi berita Bernama bahawa Dr Mahathir kini dalam keadaan stabil di bawah pengawasan doktor hospital itu.
Dr Mahathir yang ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, tiba di pulau peranginan itu pada 11 pagi semalam untuk lawatan peribadi selama dua hari. Mereka dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur hari ini.
Encik Sufi berkata Dr Mahathir berada dalam keadaan sedar semasa mengadu lelah. - Bernama. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
BERMANDI EPAL
Seorang kakitangan Tiara Beach Resort di Malaysia, Cik Diana Hadi, sedang bergaya di sebuah kolam renang yang dipenuhi dengan sekitar 20,000 epal.
Ia satu usaha hotel di Port Dickson, Melaka, itu untuk mencatatkan rekod nasional bagi 'Bilangan Epal Terbanyak yang Digunakan Dalam Terapi Spa' kelmarin. Port Dickson terletak kira-kira 120 kilometer ke selatan Kuala Lumpur. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
wanita kendali judi ditangkap
KUALA LUMPUR: Polis kelmarin menahan enam wanita yang dipercayai terlibat dalam mengendalikan sindiket judi dengan nilai kutipan dianggar melebihi RM8 juta ($3.6 juta) sebulan.
Kesemua wanita setempat berusia 20-40 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Taman Tasik Indah, Jalan Ipoh, hasil intipan selama tiga minggu. - Bernama |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Liputan meluas kahwin diraja
IPOH: Lebih 100 wartawan, termasuk wartawan asing, dijangka membuat liputan perkahwinan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, dan Cik Zara Salim Davidson, di Kuala Kangsar minggu ini.
Ketua Unit Media Jabatan Penerangan Perak, Encik Zainuddin Sapar, berkata 100 pas media telah dikeluarkan. Anggota media yang berhasrat membuat liputan masih boleh menghubunginya. Beliau boleh dihubungi di talian 012-4651510 atau 05-2540377. - Bernama. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
AP nafi khabar ditembak mati
MIRI: Anggota Parlimen (AP) Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, kelmarin menafikan khabar angin kononnya beliau dibunuh oleh kumpulan samseng.
Datuk Tiong berkata, beliau diberitahu khabar angin itu ketika menghadiri festival menjelang Gawai Dayak di Sebauh, Bintulu, kelmarin.
'Saya difahamkan ia disebarkan oleh seseorang di Sibu dan bahawa saya juga dipukul sebelum ditembak,' katanya. - Utusan Malaysia. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Bahan latihan dari Timur Tengah dikatakan beri inspirasi penggal kepala
BANGKOK: Video latihan jihad dari Timur Tengah, yang dirampas di selatan Thailand, mungkin memberi inspirasi kepada kumpulan militan di wilayah itu untuk memenggal kepala mangsa dalam serangan yang mereka lancarkan, kata para pegawai semalam.
Sekitar 30 orang, termasuk penduduk Islam dan penganut agama Buddha, telah dipenggal kepala mereka sejak keganasan meletus di selatan Thai pada Januari 2004.
Mayat mangsa terbaru yang dipanggal kepalanya, seorang penoreh getah beragama Buddha, berusia 38 tahun, dijumpai di sisi mayat isterinya, 34 tahun, di wilayah Yala semalam, menurut seorang pegawai polis, Leftenan Than Sirikhan.
Kedua-dua mangsa dikatakan ditembak mati sekumpulan orang tidak dikenali semalam.
Dalam serangan berasingan, juga di Yala, seorang pekedai runcit beragama Islam ditembak mati kumpulan militan manakala isterinya cedera.
Jurucakap tentera Thai, Kolonel Akara Thiprote, berkata beliau percaya kumpulan pengganas meniru taktik pengganas, termasuk memenggal kepala, sebagaimana disorot video latihan jihad berasal dari Timur Tengah, kemungkinan besar Iraq.
Video serupa itu dirampas dalam satu serbuan awal tahun ini di sebuah kem latihan pengganas di satu kawasan hutan dalam daerah Thanto, dalam wilayah Yala, demikian Kolonel Akara memberitahu Associated Press.
Menurut Kolonel Akara, ada jurulatih rakyat asing di selatan Thailand. Beliau enggan mengenal pasti kerakyatan mereka tetapi berkata loghat dan pakaian mereka menggambar mereka berasal dari Indonesia.
Tentera Thai mendakwa telah memberkas beberapa anggota militan rakyat asing, tetapi enggan mendedahkan nama dan kerakyatan mereka.
'Jurulatih pengganas adalah orang dari rantau ini. Mereka bukan rakyat Thai kerana rakyat Thai tidak akan mengajar pembunuhan sekejam itu,' kata Kolonel Akara. - AP, AFP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
HIMPUNAN LEBIH 5 ORANG DIHARAM DI KARACHI EKORAN GANAS BERTERUSAN
KARACHI: Pihak berkuasa Pakistan semalam mengharamkan perhimpunan melebihi lima orang di Karachi, selepas keganasan berhubung penggantungan jawatan Ketua Hakim, Encik Iftikhar Muhammad Chaudhry, menyebabkan 41 orang terkorban kelmarin.
'Kami telah mengharamkan perhimpunan melebihi lima orang di seluruh Karachi hari ini (Isnin),' kata Setiausaha Dalam Negeri wilayah Sindh, Brigedier Ghulam Muhammad Muhtaram, kepada AFP.
Askar-askar separa tentera sudah diberi arahan supaya menembak para perusuh, manakala 3,000 askar tambahan dihantar ke Karachi, menjadikan jumlah kesemuanya 13,000 orang askar.
Keganasan meletus Sabtu lalu selepas aktivis propemerintah menghalang Hakim Chaudhry berucap kepada para penyokong beliau dalam rapat membantah penyingkirannya oleh Presiden Pervez Musharraf pada 9 Mac lalu.
Mogok yang dilancarkan parti pembangkang semalam menyebabkan kedai, pasar dan sekolah ditutup di bandar-bandar utama di Pakistan, termasuk Karachi, Lahore, Peshawar, Rawalpindi dan Quetta.
Di Lahore, 8,000 penunjuk perasaan membakar boneka Presiden Musharraf dan menuntut beliau meletak jawatan.
Di Islamabad, sidang Mahkamah Agung berhubung petisyen Encik Chaudhry mengenai pertuduhan salah laku ke atas dirinya, ditangguhkan ke hari ini selepas seorang hakim menarik diri kerana bimbang sidang itu berat sebelah.
Awal daripada itu, seorang pegawai kanan Mahkamah Agung ditembak mati di rumahnya di Islamabad semalam. - AP, AFP, Reuters. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
LEBIH 30 JUTA WARGA FILIPINA BUANG UNDI
MANILA: Lebih 33 juta penduduk Filipina, atau 75 peratus daripada pengundi berdaftar, keluar mengundi semalam bagi melantik separuh, iaitu 12, anggota Dewan Senat dan 275 anggota Dewan Perwakilan, selain 17,500 datuk bandar, gabenor dan para pegawai, dalam pilihan raya separuh penggal negara itu yang dikawal ketat.
Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Filipina semalam, menjadikan 120 orang kesemuanya terkorban sejak kempen bermula tiga bulan yang lalu.
Tetapi angka itu lebih rendah daripada 189 orang yang terbunuh dalam pilihan raya 2004.
Pilihan raya itu melibatkan semua jawatan pemerintah kecuali jawatan presiden dan naib presiden.
Keputusan awal bagi jawatan daerah mungkin diketahui seawal lusa, tetapi bagi kerusi Senat dan Dewan Perwakilan keputusan akan diketahui dalam masa tiga minggu.
Presiden Gloria Arroyo berharap dapat mengekalkan majoriti dalam Dewan Perwakilan dan memenangi kebanyakan daripada 12 kerusi Dewan Senat yang dipertandingkan.
Parti-parti pro-Arroyo dijangka dapat mengekalkan majoriti yang mencukupi dalam Dewan Perwakilan untuk memastikan tidak ada usul pendakwaan terhadap Cik Arroyo.
Parti pembangkang dijangka meningkatkan majoriti dalam Dewan Senat dengan memenangi sebahagian besar daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan pengundian di beberapa bandar disebabkan beberapa masalah.
Enam orang bersenjata menyerang sebuah pusat mengundi di kampung Gambar, dalam wilayah Shariff Kabunsuan, selatan Filipina, dan melemparkan kotak undi ke dalam sungai berdekatan, kata ketua polis daerah, Superintendan Joel Goltiao. - AP, AFP, Reuters. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
AMARAN IRAN AKAN BALAS JIKA DISERANG AS
ABU DHABI: Presiden Iran, Encik Mahmoud Ahmadinejad, memberi amaran bahawa Iran akan bertindak balas jika Amerika Syarikat menyerang negaranya.
'Mereka sedar jika mereka membuat kesilapan serupa itu, tindak balas Iran cukup dahsyat dan mereka pasti menyesal,' katanya dalam satu sidang akhbar di Amiriah Arab Bersatu (UAE).
'Semua orang tahu mereka tidak boleh menyerang kami kerana rakyat Iran berupaya mempertahan diri dan bertindak balas,' tegas beliau.
Encik Ahmadinejad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Amerika, Encik Dick Cheney, di atas kapal perang di Teluk Parsi Jumaat lalu bahawa Amerika dan sekutu-sekutunya tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear dan menguasai rantau Timur Tengah.
Beliau menyifatkan amaran Encik Cheney sebagai 'bukan satu perkara baru'.
Encik Ahmadinejad berkata kuasa Barat tidak boleh menghalang Teheran meneruskan program nuklearnya.
'Kuasa-kuasa besar tidak boleh menghalang kami memiliki tenaga ini,' tegasnya.
Beliau semalam berkata negara-negara Teluk Parsi harus 'menyingkir' askar-askar asing yang menyebabkan keadaan tidak mantap di rantau itu, sehari selepas menggesa agar askar Amerika meninggalkan rantau Timur Tengah.
'Kita di Teluk Parsi berdepan dengan banyak masalah dan musuh. Mereka tidak mahu penduduk rantau ini hidup aman. Keamanan akan dicapai hanya de ngan menyingkir askar asing,' katanya. - AP, AFP, Reuters. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
AKHBAR: JURULATIH KRIKET PAKISTAN BUKAN MATI DIBUNUH
KINGSTON (Jamaica): Sekumpulan penyiasat dari Scotland Yard merumuskan jurulatih pasukan Pakistan bagi kriket Piala Dunia mati akibat serangan sakit jantung dan bukan kerana dicekik, sebagaimana yang dirumuskan polis setempat, menurut laporan akhbar kelmarin.
Di London, Scotland Yard enggan mengulas mengenai laporan dalam akhbar Jamaica Gleaner itu, dan berkata ia tidak akan membincangkan analisis ujian toksikologi yang dijalankan bagi pihak berkuasa Jamaica.
'Ini satu siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Jamaica,' kata seorang jurucakap Scotland Yard.
'Terserah pada mereka untuk mengulas perkembangan yang berlaku,' tegasnya.
Seorang jurucakap Ibu Pejabat Polis Jamaica mengkritik laporan tersebut tetapi berkata tidak ada apa-apa maklumat tambahan yang akan didedahkan mengenai siasatan itu pada saat ini.
Laporan dalam akhbar Jamaica Gleaner itu adalah laporan bercanggah terbaru sejak Bob Woolmer, seorang warga Britain, dijumpai tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik hotel di Kingston dan kemudian diisytiharkan meninggal dunia di hospital pada 18 Mac lalu. - AP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Pendakwa Indon terdedah kepada rasuah
JAKARTA: Empat daripada lima pendakwa di Indonesia terdedah kepada rasuah, akui Peguam Negara baru, Encik Hendarman Supandji, dalam wawancara dengan mingguan Tempo semalam.
Menurutnya, kempen membasmi rasuah akan menjadikan pejabat pendakwa sasaran kerana mereka ada sejarah rasuah.
Para pendakwa dilaporkan menerima rasuah daripada sesetengah suspek sebagai imbalan bagi mengemukakan kes lemah terhadap mereka atau menyarankan hukuman ringan. - AFP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Isteri Thaksin tidak mengaku salah elak cukai
BANGKOK: Isteri mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, semalam tidak mengaku salah terhadap dakwaan mengelak cukai berhubung satu jual beli saham, dalam kes jenayah pertama terhadap keluarganya sejak rampasan kuasa tentera September lalu.
Cik Pojaman Shinawatra, saudaranya, Encik Banpot Damapong, dan setiausaha peribadinya, Cik Kanchanapa Honghern, tidak mengaku salah terhadap dakwaan itu dan membuat pengakuan palsu.
Mahkamah mengarahkan peguam mengemukakan bukti dan senarai saksi pada 25 Mei. - AFP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
'Saya lebih aman dalam penjara'
ROME: Seorang lelaki Sicily yang diletakkan di bawah penahanan dalam rumah memanggil polis untuk mengheretnya ke penjara kerana tidak tahan lagi dengan pertengkaran antara ibunya dengan bapa tirinya, kata satu laporan Sabtu lalu.
Marcello Lazzara, yang diletakkan di bawah penahanan dalam rumah kerana terbabit dengan penjualan CD cetak rompak, lebih suka keluar daripada rumahnya dan ditangkap daripada terpaksa berada bersama keluarganya di Palermo, kata laporan agensi berita Ansa.
'Saya bernasib baik bertemu anda,' kata lelaki itu kepada polis apabila mereka tiba untuk menangkapnya di luar rumahnya. - AFP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Gali lubang masuk sendiri?
WELLINGTON: Seorang penceroboh yang memecah masuk ke sebuah balai polis New Zealand yang kosong, secara tidak sengaja terkunci dalam sebuah penjara tetapi dapat melepaskan diri sebelum polis tiba.
Sarjan Graham McGurk semalam berkata orang itu memecah masuk ke balai polis di bandar Matamata di Pulau Utara New Zealand pada Sabtu lalu menerusi pejabat hadapan.
Dia kemudian merayau ke kawasan penjara sebelum terkunci selepas pintu penjara itu tertutup.
Sedang polis bergegas ke tempat itu selepas terdengar bunyi kecemasan, penceroboh itu memecahkan tingkap dan membebaskan dirinya. - AP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Plat kereta sampai $10 juta
ABU DHABI: Sebuah plat kereta satu angka dilelongkan dengan harga lebih AS$6.8 juta ($10.3 juta) di Amiriah Arab Bersatu (UAE) Sabtu lalu, mengatasi satu rekod dunia sebelumnya sebanyak 10 kali ganda.
Plat nombor '5' itu dibeli dengan harga 25.2 juta dirham ($10.3 juta) di Abu Dhabi, kata laporan agensi WAM.
Seorang peniaga, Encik Talal Khouri, menawarkan harga tertinggi dalam lelong yang kali pertama diadakan UAE itu, dan hasil kutipannya akan disalurkan kepada projek kebajikan. - AFP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
MAUT DIHEMPAP POKOK KETIKA BERSENAM
Oleh
Nazri Hadi Saparin
SESI bersenam rutin di taman bertukar menjadi tragik bagi Cik Ho Siew Lan.
Cik Ho, 43 tahun, seorang pembantu klinik gigi, meninggal dunia apabila sebatang pokok tumbang dan menghempapnya di Bukit Batok Nature Park sekitar 7 pagi semalam.
Dua temannya yang sedang bersenam bersama mendiang ketika itu, Cik Ting Kim Hong, 47 tahun, dan Cik Leong Lan Ming, 48 tahun, terselamat dan hanya cedera ringan.
Mereka dirawat di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Cik Ho, ibu dua orang anak, memang gemar bersenam dan baru-baru ini telah menyertai kelas Yoga di kelab masyarakat berhampiran rumahnya.
Ketika ditemui di flatnya di Bukit Batok, suami mendiang, Encik Quek Lye Seng, 54 tahun, berkata beliau menerima panggilan daripada klinik itu apabila isterinya tidak datang kerja seperti biasa pagi semalam.
'Saya dan anak langsung ke taman untuk mencarinya kerana kami tahu beliau sering bersenam di sana.
'Kami kemudian nampak ada pokok tumbang dan kawasan itu dikepung polis,' katanya sambil menitiskan air mata.
Dalam kenyataannya, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), berkata pegawainya terpaksa menggunakan gergaji berkuasa tinggi untuk memotong pokok itu bagi melepaskan Cik Ho yang terperangkap di bawahnya.
Cik Ho disahkan mati di tempat kejadian.
Sementara itu, di NUH, Cik Ting dan Cik Leong, menerima kunjungan Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Hong Kah, Encik Ang Mong Seng.
Awal daripada itu, Encik Ong juga telah mengunjungi tempat kejadian dan bertemu suami dan anak-anak mendiang Ho.
Bagaimanapun, Cik Ting dan Cik Leong, enggan bertemu media dan hanya memberi butiran kejadian itu melalui Encik Ang.
Menurut Encik Ang, dua wanita itu tahu bahawa teman mereka telah meninggal dunia.
'Mereka ingin pulang ke rumah selepas hujan mula turun. Cik Ting dan Cik Leong berjalan di hadapan, manakala Cik Ho pula berjalan di belakang.
'Sedang mereka berjalan, tiba-tiba pokok di sebelah mereka tumbang dan menghempap Cik Ho.
'Mereka cuba cari cara melepaskan mendiang tetapi tidak berjaya,' kata Encik Ang.
Beliau menambah bahawa badan akar umbinya telah menyumbang $2,000 kepada keluarga mendiang Ho bagi membantu mereka mengurus mayatnya. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
KERJASAMA SERANTAU PERLU BAGI TANGANI INSIDEN MARITIM
ANGKATAN laut negara-negara serantau perlu mengambil langkah praktikal seperti mengongsi maklumat dan mengadakan latihan bersama supaya dapat menangani dengan berkesan insiden-insiden kecemasan maritim yang mungkin berlaku.
Sejauh ini, angkatan laut negara-negara tersebut telah pun berjaya mengukuhkan hubungan kerjasama melalui latihan dan operasi dua hala dan melibatkan pelbagai negara.
Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkata demikian semasa berucap merasmikan Pameran Pertahanan Maritim Antarabangsa 2007 (Imdex 2007) di Singapore Expo, semalam.
Beliau berkata perkembangannya telah dapat dilihat dalam hubungan kerjasama itu.
Dr Ng menyifatkan Simposium Angkatan Laut Pasifik Barat (WPNS) sebagai contoh baik kerana ia mengumpulkan angkatan laut daripada 18 negara.
Menurutnya, sempena Imdex tahun ini, para anggota WPNS akan menyertai Latihan Laut Pelbagai Negara Kedua dan seminar Pertukaran Maklumat Keselamatan Maritim.
Inisiatif-inisiatif kerjasama yang lain termasuk Perjanjian Kerjasama Antilanun Serantau di Asia (ReCAAP) dan penubuhan Pusat Perintah dan Kawalan Changi yang dijangka beroperasi dalam 2009.
'Kita mempunyai kepentingan bersama untuk terus memastikan laut bebas bagi navigasi dan perdagangan, untuk memajukan kemakmuran dan mempertahankan sumber-sumber laut,' kata Dr Ng.
Dr Ng yang ditemani Menteri Negara (Pertahanan), Profesor Madya Koo Tsai Ker, turut meninjau kapal-kapal perang beberapa negara yang berlabuh di Pangkalan Laut Changi. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
MENDIANG FAN SELAMAT DISEMADIKAN
ANGGOTA perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang terkorban dalam kejadian jet terhempas di Taiwan, Jumaat lalu, telah selamat disemadikan semalam.
Mendiang Prebet Fan Yao Jin, 23 tahun, disemadikan dalam upacara penuh istiadat tentera di rumah bakar mayat Bright Hill.
Lebih 200 pegawai SAF dan Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) hadir bersama ahli keluarga mendiang di majlis penuh syahdu itu.
Di awal upacara, keranda mendiang Prefet Fan yang diselimuti bendera negara telah dibawa menggunakan penatang meriam sebelum diusung ke dalam dewan. Tiga das tembakan tanda hormat mengirinya.
Mendiang Prebet Fan terkorban bersama Allahyarham Sarjan Ketiga Isz Sazli Sapari, 19 tahun, apabila sebuah jet pejuang F-5F tentera Taiwan terhempas di stor tempat mereka berada pada 6.25 pagi, Jumaat lalu.
Jet itu sedang menjalani latihan semasa kejadian.
Mendiang Prebet Fan mula bertugas di Taiwan setahun lalu dan sepatutnya tamat perkhidmatan negara akhir tahun ini.
Jenazah Allahyarham Sarjan Ketiga Isz Sazli telah selamat dikebumikan, Sabtu lalu.
Sembilan lagi pegawai NSF turut tercedera dalam kemalangan tersebut. Dua daripadanya parah sementara yang lain hanya mengalami cedera ringan.
Dua yang parah mengalami lecur antara 40 dengan 50 peratus tubuh mereka dan telah pun dibawa pulang ke tanah air.
Kejadian di pangkalan tentera Hukou, yang terletak kira-kira 50 kilometer ke selatan Taipei itu turut mengorbankan dua juruterbang Taiwan.
Kementerian Pertahanan dan SAF masih menjalankan siasatan. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|