BESUT - Keluarga Wan Mohd. Baharul Nizam Wan Bakar, 35, yang maut bersama isterinya terkejut dengan kehilangan dua insan tersebut serentak secara tiba-tiba dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor semalam.
Ibu Wan Mohd. Baharul Nizam, Siah Mohamad, 65, berkata, mereka sekeluarga juga terkilan kejadian tragis itu berlaku terlalu hampir dengan majlis resepsi sebelah perempuan dan menyambut menantu yang dijadual berlangsung pada Ahad ini dan Rabu depan.
"Kali terakhir saya berhubung dengannya (Wan Mohd. Baharul Nizam) pada malam sebelum kejadian. Saya memintanya membeli pinggan berwarna putih di Ikea.
"Pinggan itu untuk mengisi lauk-pauk untuk kenduri menyambut menantu dia dan isterinya yang dijadual pada hari kedua Tahun Baru Cina ini. Kebetulan kanopi dan tirai pelamin yang ditempah juga berwarna putih," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Felda Tenang, Hulu Besut dekat sini hari ini.
Siah berkata, Wan Mohd. Baharul Nizam yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik bernikah dengan isteri, Norwahidah Abdul Hamid, 28, pada akhir November lalu.
Ujarnya, pasangan suami isteri itu sepatutnya mula bercuti pada Sabtu lalu untuk menguruskan majlis resepsi kedua-dua belah pihak namun terpaksa menangguhkannya kerana tuntutan kerja masing-masing sebagai kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya. - K! ONLINE