|
Fasha, Apek saingan Mawi
Oleh Norhadiani Baharom
[email protected]
BINTANG Paling Popular 2006, Mawi bersama Fasha Sandha dan Saiful Apek antara disebut bakal diiktiraf Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH06) yang akan berlangsung esok, jam 8.30 malam di Arena Of Stars Genting Highlands.
Ramai menjangka Mawi bakal mendominasi kategori ini sekali lagi kerana ketika ini jejaka kelahiran Felda Taib Andak ini paling popular berdasarkan kejayaan mendadak dalam kerjaya seninya.
Mawi tidak henti-henti menerima tawaran selain kerap muncul di iklan dalam televisyen mahupun surat khabar sebagai duta produk. Tambahan pula Mawi mendapat sokongan padu daripada peminat setianya yang punya kuasa mutlak mengundi artis kesayangan mereka.
Walaupun sering dihambat kontroversi, kepercayaan peminatnya tidak pernah goyah. Ini terbukti berdasarkan sambutan peminat sepanjang kemunculannya menjayakan promosi jelajah ABPBH06 di Pulau Pinang dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Mawi juga dijangka menang mudah menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Berkumpulan/Duo Popular bergandingan dengan Jamal Abdillah. Sekali gus menundukkan, KRU, Nikki & Zahid, Spider dan V.E.
Selain barang kemas sumbangan Habib Jewels yang bernilai RM150,000, Bintang Paling Popular (ABPBH06) juga akan memandu pulang kereta Naza Sorento 2.5 (A) bernilai RM143,000.
Manakala Fasha yang kian meniti di bibir peminat drama dan filem apabila wajahnya sering menghiasi televisyen dan layar perak juga ada harapan untuk dipilih bagi kategori itu.
Lakonannya paling mantap dan menonjol melalui Natasha 1 dan 2 sebagai wanita teraniaya dan dikatakan membawa sial melayakkan Fasha disenaraikan Top 5 Pelakon TV Wanita Popular dan juga Pelakon Filem Wanita Popular.
Terbaru, bintang Cicak-Man ini juga terpilih sebagai duta produk Maybelline sebagai generasi baru artis selepas Siti Nurhaliza. Itu semua membuatkan peminat mungkin menyenaraikannya dalam kategori utama yang pernah dimenangi Datuk Siti Nurhaliza, Rosyam Nor dan Apek.
Sementara itu, jenaka selamba Saiful Apek dalam setiap persembahan pentas dan lakonan yang sentiasa dekat di hati peminat tidak mustahil dia juga boleh membawa pulang anugerah utama itu untuk kali kedua.
Seperti Mawi, Saiful juga tidak sunyi dilanda kontroversi serta masalah disiplin. Namun, komedinya yang unik dan menjadi ikutan peminat mengetepikan segala prasangka buruk yang menambah undian.
Bakat Saiful Apek tidak boleh disangsikan kerana pencapaian program kendaliannya, Gitu Gitu Apek di Astro Ria sehingga mencatat rating tertinggi membuktikan dia adalah pesaing yang patut digeruni.
Apek turut bertanding dalam dua lagi kategori Artis Komedi Lelaki Popular membariskan seperti Afdlin Shauki, Mazlan Pet Pet, Wahid dan Yassin Yahya. Ramai menjangkakan Apek punya peluang cerah untuk kategori ini.
Termasuk, Pelakon Filem Lelaki Popular yang mencalonkan empat lagi nama seperti Afdlin Shauki, Farid Kamil, Que Haidar dan Rosyam Nor.
Untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular nama Rosyam Nor berpeluang cerah menguasainya kerana lambakan filem dibintanginya termasuk mutu persembahan lakonannya yang diiktiraf.
Rosyam juga dijangka melakar kemenangan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular yang membariskan saingan hebat, Ako Mustapha, Arash Mohamad, Fahrin Ahmad dan Zed Zaidi.
Antara kategori lain menjadi perhatian tentunya Penyanyi Wanita Popular. Gerak hati mengatakan Siti Nurhaliza akan terus mempertahankan gelaran yang diunggulinya sejak 1996. Beliau disaing hebat oleh Erra Fazira, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor dan Misha Omar.
Selain itu, Pengacara TV Lelaki dan Wanita Popular serta Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular antara kategori paling sukar meramalkan pemenang.
Berdasarkan pencapaian sebelum ini, Linda Onn dijangka menang mudah bagi kategori Penyampai Radio Popular meskipun menerima tentangan daripada Farah Fauzana (Hot FM), Aleya (Hot FM), Abby Fana (Sinar FM) dan Nana (Era FM). Sekali gus terus mempertahankan kejayaan yang dikecapinya lima tahun berturut-turut.
Bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular, pula apakah pemenang tahun lalu Fara Fauzana mampu mempertahankannya? Apatah lagi, pengacara Melodi itu menerima saingan hebat insan yang berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan Raja Azura, kedua-duanya bekas pengacara Melodi.
Bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, trofi kemenangan berkemungkinan besar bertukar tangan kepada Faizal Ismail dari Hot FM atau Khairil Rashid (Era FM). Dulu pemenangnya adalah Halim Othman (Sinar FM).
Ini berdasarkan, populariti yang diraih mereka bukan setakat juruhebah saja bahkan juga dikenali sebagai penyanyi melalui kumpulan Kafi. Kebanyakan lagu kedua-dua sahabat ini mendapat sambutan hangat pendengar.
Manakala Pengacara TV Lelaki Popular, Aznil Nawawi bakal melalui laluan sukar untuk mempertahankan gelaran itu apabila AC Mizal turut dicalonkan dalam kategori ini. Tambahan pula program AC Di Sini cukup popular hingga nama AC disebut-sebut menggantikan Aznil sebagai pengacara Akademi Fantasia musim kelima (AF5).
Persaingan hebat turut berlaku dalam kategori Penyanyi Baru Lelaki dan Wanita. Fazli Zainal dan Faizal AF4 diramal berentap. Fazli lebih dinilai dari segi bakat dan populariti lagu berhantunya, Harapan manakala juara AF4 itu lebih kepada auranya yang dikatakan bakal menggantikan Mawi.
Sementara kategori Artis Baru Wanita Popular, Ina Naim dan Farawahida menunjukkan keyakinan mengungguli kategori itu. Dari segi bakat mungkin Farawahida lebih berhak apatah lagi, baru-baru ini peminat digemparkan dengan berita perkahwinannya dengan pengurusnya sendiri, Julfekar.
Kategori Penyanyi Nasyid Popular, juga punya tarikan tersendiri. Rabbani dan Mirwana berkemungkinan menguasai kategori ini. Turut bertanding, Hijjaz, In Team, Rabbani dan Raihan.
Menariknya, di hari terakhir penganjuran ABPBH kali ini, siapakah di antara Raja Azura (Kak Engku) dan Sheila Rusly akan merangkul trofi kategori Pelakon Komedi Wanita Popular? Sama-sama kita nantikan ABPBH06 yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV3, jam 9 malam esok. |
|